#5145: Kiraan Zakat Perniagaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berapakah  jumlah kewangan  yang kita ada yang diwajibkan membayar zakat perniagaan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Ayat di atas merupakan antara dalil yang menunjukkan kepada kewajipan zakat perniagaan. Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan pada ayat ini ialah zakat pada harta perniagaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/697) Imam al-Tabari dan Imam al-Mawardi juga menukilkan pendapat yang sama seperti di atas iaitu zakat pada harta yang diniagakan. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran, 5/558 dan Tafsir al-Mawardi, 1/342)

Syeikh al-Maraghi menyebut, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, bahawa:

كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُنا أن نُخْرِجَ الزَّكاةَ مِمَّا نعدُّهُ للبَيعِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.”

Riwayat Abu Daud (1562). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Imam al-Saharanfuri menyebut yang dimaksudkan dengan sedekah dalam hadith ini ialah zakat wajib daripada harta yang diniagakan. (Lihat Bazl al-Majhud, 6/317)

Kewajiban berzakat ke atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:

  • Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
  • Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini setiap individu yang mempunyai perniagaan diwajibkan ke atasnya mengeluarkan zakat sekiranya harta dan keuntungan dari perniagaan tersebut telah mencapai nisab dan haul iaitu cukup setahun pemilikan. Nisab zakat bergantung pada keadaan semasa dan ia berbeza mengikut negeri. Sebagai contohnya nisab yang ditetapkan oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP bagi Wilayah Persekutuan pada tahun 2023 adalah RM21,626.00 ,  Negeri Selangor RM23,035 dan bagi negeri Pahang pula RM 24,846.39.

Di sini kami sertakan contoh pengiraan bagai zakat perniagaan  sepertimana berikut:

ITEM PERNIAGAANRM
+Tunai (Jumlah di tangan & di institusi kewangan)60,000.00
+Penghutang3,500.00
+Stok Jualan2,500.00
-Pemiutang + Kos Perbelanjaan1,000.00
Baki65,000.00
Baki x 2.5% = Jumlah Zakat Perniagaan1,625.00

Justeru, setelah menolak semua kos atau belanja bagi satu tahun perniagaan, seperti gaji pekerja, bayaran sewa pejabat atau tapak jualan, bil elektrik dan sebagainya, serta kos pemiutang jika ada, jika setelah penolakan tersebut jumlah harta dan keuntungan bersih masih melebihi nisab, maka  diwajibkan ke atasnya  membayar zakat sebanyak 2.5% dari jumlah baki tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa kepada pemberi zakat:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *