#5146: Isteri Bersetubuh dengan Suami Sebelum Mandi Wajib daripada Haid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kalau darah haid sudah kering, dan perempuan itu bersetubuh dengan suami sebelum mandi wajib. Mandi apa yang perlu didahului dahulu dan apakah yang perlu dibuat di atas ketelanjuran si isteri tanpa suami sedar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Ibn Kathir menyebutkan, para ulama bersepakat bahawa jika haid seseorang wanita itu berhenti, maka tidak halal untuk melakukan hubungan intim (suami isteri) sehinggalah dia mandi wajib (bagi mengangkat hadas besar kerana haid) dengan air ataupun bertayammum. Sekiranya terdapat keuzuran atau alasan bagi hal tersebut, maka boleh melakukannya dengan mengikut syarat-syaratnya. Kecuali Yahya bin Bukair daripada kalangan Malikiyyah, salah seorang guru (syeikh) Imam al-Bukhari, beliau berpendapat dibolehkan untuk bersetubuh dengan isteri sebaik sahaja haidnya berhenti. Di antara mereka juga yang menukilkannya daripada Ibn ‘Abd al-Hakam. Selain itu, al-Qurtubi juga ada menukilkannya daripada Mujahid dan ‘Ikrimah, dan begitu juga daripada Tawus. Melainkan Imam Abu Hanifah berpendapat, jika darah haid telah berhenti bagi tempoh sebanyak-banyaknya haid iaitu selama 10 hari menurutnya, maka wanita tersebut boleh melakukan hubungan intim (suami isteri) sebaik sahaja berhentinya haid tersebut tanpa perlu mandi terlebih dahulu dan tidak dibolehkan bagi haid yang berhenti kurang dari tempoh tersebut (yakni 10 hari). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/588).

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak boleh bersetubuh dengan isteri sebelum dirinya mandi wajib daripada haid. Wanita itu hendaklah mandi wajib selepas berhenti daripada haid, kemudian barulah dirinya halal untuk disetubuhi oleh suaminya.

Hal ini adalah juga sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya bahawa sekiranya wanita itu darah haidnya berhenti, maka janganlah menyetubuhinya sehinggalah dia mandi wajib. Dalam erti kata lain, bersetubuh dengan wanita haid sebelum dia mandi wajib (daripada haidnya itu) adalah haram sekalipun darah haidnya sudah berhenti mengikut pendapat kebanyakan ahli ilmu. Bahkan menurut Ibn al-Munzir, hal ini adalah seperti ijma‘ dalam kalangan mereka. Begitu juga Ahmad bin Muhammad al-Marruzi turut menyatakan, tidak diketahui adanya khilaf dalam perkara ini.

Dalilnya adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Iaitu apabila wanita itu sudah mandi wajib. Beginilah sebagaimana ditafsirkan oleh Ibn Abbas. Menurutnya lagi, disyaratkan dalam membolehkan persetubuhan itu sebanyak dua syarat iaitu berhentinya darah haid dan mandi wajib. Justeru, tidak halal (untuk menyetubuhinya) melainkan dengan dua syarat ini.

Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat, jika darah haidnya bagi tempoh sebanyak-banyaknya haid berhenti, maka halal atau dibolehkan untuk menyetubuhinya (sekalipun dia belum lagi mandi wajib). Namun, jika darahnya berhenti bagi tempoh kurang daripada itu, maka tidak halal dan tidak dibolehkan untuk menyetubuhinya sehinggalah wanita itu mandi wajib atau bertayammum atau sudah berlalu ke atasnya waktu solat. (Lihat al-Mughni, 1/419-420).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa ia termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama. Namun, menurut kami pendapat yang lebih kuat adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama iaitu tidak dibolehkan untuk menyetubuhi isteri yang baru berhenti daripada darah haid sehinggalah dia mandi wajib terlebih dahulu. Bahkan sebahagian ulama menukilkan ijma‘ akan hal tersebut.

Kemudian, sekiranya sudah jelas hal seperti ini,  kami katakan bahawa wanita tersebut perlu memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT atas keterlanjuran melakukannya. Begitu juga tidak ada apa-apa kaffarah dikenakan ke atas dirinya, mahupun ke atas suaminya, melainkan ulama Hanabilah mewajibkan kaffarah dalam hubungan intim ketika haid.

Al-Muwaffaq menukilkan daripada Qatadah dan al-Auza‘i mengenai kewajipan kaffarah dalam hal tersebut. Beliau menyebutkan, sekiranya seseorang menyetubuhi isterinya selepas sucinya daripada haid dan sebelum dia mandi wajib (daripada haid itu), maka tidak ada kaffarah ke atas dirinya. Namun, Qatadah dan al-Auza‘i berpendapat, dikenakan ke atasnya setengah dinar. (Lihat al-Mughni, 1/418).

Oleh yang demikian, kami berpendapat pendapat yang kuat adalah tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya. Hal ini kerana persetubuhan itu berlaku bukan ketika isterinya dalam keadaan haid tetapi sebaliknya ia berlaku sebelum dia mandi, maka ia dianggap sebagai dosa dan wajib ke atasnya bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Buhuti bahawa tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya dalam persetubuhan dengan isterinya selepas berhentinya haid dan sebelum mandi wajib (daripada haid itu). Hal ini adalah berdasarkan apa yang difahami daripada hadith, (yang dilarang) wanita itu dalam keadaan haid dan ini bukan dalam keadaan haid (kerana sudah berhenti darahnya). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/477).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَرِيْنَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang bertaubat serta mengamalkan kebersihan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *