#5153: Kekeliruan Antara Zakat Simpanan dan Zakat Pendapatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah saya perlu membayar zakat pendapatan sekiranya saya telah membayar zakat simpanan melalui (simpanan di TH) dan ia bersandarkan pada hadith tiada dua zakat dalam setahun. Mohon pencerahan. Terima kasih.

ihsanabdshakur@gmail.com

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)

Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

(Surah al-Baqarah: 267)

Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya zakat pendapatan dan zakat simpanan adalah dua jenis zakat yang berbeza walaupun dari sumber yang sama. Zakat pendapatan dikira dari sumber pendapatan semasa manakala zakat simpanan dikira selepas genap setahun simpanan tersebut dan mencukupi nisab.[1]

Dalam erti kata lain, zakat pendapatan adalah mal mustafad (harta yang diperolehi). Zakat dikeluarkan daripada baki setelah ditolak perbelanjaan mesti. Jika baki melebihi nisab, maka dikeluarkan zakat pendapatan sebanyak 2.5%. Manakala zakat wang simpanan merupakan zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah cukup haul (genap setahun) dan cukup nisabnya sama ada di dalam akaun simpanan biasa, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, amanah saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lain-lain yang dikategorikan dalam bentuk simpanan. Zakat simpanan dikira sebanyak 2.5% seperti mana zakat emas dan perak dan diambil kira baki terendah dalam simpanan seseorang yang telah cukup syarat-syaratnya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa zakat pendapatan dan zakat wang simpanan adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, zakat pendapatan masih perlu dibayar jika cukup syarat-syaratnya berdasarkan kepada dalil yang kami telah sebutkan di atas.

Begitu juga apa yang sudah dibayar di tabung haji, maka wang simpanan itu tidak perlu dikeluarkan lagi zakatnya bagi tahun tersebut. Adapun jika masih ada simpanan atau wang lain yang belum dizakatkan dan memenuhi syarat-syaratnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami katakan kepada pembayar zakat dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://zakatpenang.com/zakat-simpanan-vs-zakat-pendapatan/. Diakses pada 15 Disember 2023.

1 thoughts on “#5153: Kekeliruan Antara Zakat Simpanan dan Zakat Pendapatan

  1. rosbiru says:

    As-salam. Dari pembacaan saya wang simpanan yang wajib dikeluarkan zakatnya ialah wang simpanan yang mendatangkan hasil spt ASB. Bagaimana pula dgn simpana yang tidak berkembang dan ianya semakin berkurang setiap masa. Simpanan ini digunakan sebagai perbelanjaan harian. Mohon pencerahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *