#5154: Menolak untuk Bersama Suami Disebabkan Istihadhah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum suami meminta untuk bersama dengan isteri namun ditolak oleh isteri disebabkan ada darah istihadhah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Istihadhah

Dari segi syarak, istihadhah ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim, yang dikenali sebagai ‘العاذل’ selepas tempoh maksimum haid atau selepas tempoh maksimum nifas, darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/96)

Darah istihadhah bukanlah darah haid, dan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ

Maksudnya: “Darah istihadhah itu hanyalah keringat (suci), dan bukan (seperti) darah haid.”

Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (333), Abu Daud (282), al-Tirmizi (125), al-Nasa’ie (212), Ibn Majah (621) dan Ahmad (25681)

Ulama menyatakan bahawa wanita yang dalam keadaan istihadhah adalah sama hukumnya dengan wanita yang dalam keadaan suci. Imam al-Nawawi menyebut:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Maksudnya: “Wanita yang istihadhah (hukumnya) sama seperti wanita yang dalam keadaan suci pada melaksanakan solat, puasa, iktikaf, baca al-Quran dan selainnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan majoriti fuqaha’ mazhab termasuk al-Syafi’i berpendapat bahawa harus menyetubuhi isteri yang dalam keadaan istihadhah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/87)

Hal ini berdasarkan beberapa riwayat, antaranya daripada Ikrimah, katanya:

كَانَتْ أُمُّ حَبِيبَةَ تُسْتَحَاضُ فَكَانَ زَوْجُهَا يَغْشَاهَا

Maksudnya: “Ummu Habibah dalam keadaan istihadhah dan suaminya menggaulinya.”

Riwayat Abu Daud (309) dan al-Baihaqi (1622)

Imam al-Nawawi menjelaskan:

يَجُوزُ عِنْدَنَا وَطْءُ الْمُسْتَحَاضَةِ في الزَّمَنِ الْمَحْكُومِ بِأَنَّهُ طُهْرٌ وَإِنْ كان الدَّمُ جَارِيًا وَهَذَا لَا خِلَافَ فيه عِنْدَنَا

Maksudnya: “Boleh menurut kami (al-Syafi’iyyah) bersetubuh dengan isteri yang dalam keadaan istihadhah, dalam masa di mana dia dihukumkan suci, walaupun darahnya masih mengalir. Perkara ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ kami (al-Syafi’iyyah).”(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Justeru, kami nyatakan hukum menyetubuhi isteri ketika istihadhah adalah harus. Namun, dalam isu isteri menolak untuk bersama ketika istihadhah, kami sarankan perkara ini meskipun hukumnya harus, sebaiknya dibawa bincang bersama agar masing-masing memahami isi hati sesama pasangan. Boleh jadi isteri menolak ketika itu kerana dia tidak berasa selesa dengan darah tersebut atau seumpamanya. Maka, nasihat kami berbincanglah dengan baik agar masing-masing tidak terasa hati dan menerima dengan redha.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan aku daripada kalangan orang yang bersuci.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *