#5169: Anjing Berjalan di dalam Rumah Terbakar yang Bertakung Air Selepas Dipadam Api

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya tentang hukum iaitu sebagai seorang ahli forensik bomba yang menyiasat rumah terbakar, rumah sudah dipenuhi air bertakung atas lantai selepas dipadamkan oleh anggota bomba. Kemudian, kami pihak forensik gunakan khidmat anjing untuk membantu mengesan bahan seperti petrol dalam rumah tersebut. Anjing akan berjalan ke seluruh rumah tersebut yang bertakung dengan air di sana sini. Soalan saya, adakah perlu sertu atau samak jika kita melalui kawasan air yang dilalui oleh anjing tadi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan terlebih dahulu bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”

Riwayat al-Bukhari (174)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika benda najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan benda-benda lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang mengandungi bulu anjing yang dalam keadaan kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185).

Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap.

Begitu juga turut dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis[1] bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.

Justeru, jika kawasan air bertakung dalam rumah itu dilalui oleh anjing, maka secara tidak langsung ia telah menajiskan kawasan berkenaan, serta kawasan yang dilalui oleh anjing tersebut dalam keadaan basah.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, sebagaimana yang dimaklumi, rumah yang terbakar kebiasaannya mengalami kerosakan yang memerlukan pembaikpulihan, pembersihan dan seumpamanya. Justeru, kami berpendapat bahawa jika tidak timbul kesukaran atau masyaqqah bagi tuan rumah untuk membersihkan kawasan basah yang dilalui oleh anjing tersebut sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu basuhan tersebut air bercampur tanah, maka ia hendaklah dilakukan. Inilah sebaik-baiknya dengan mengambil jalan keluar daripada khilaf, serta pendapat yang selari dengan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i.

Namun, jika adanya masyaqqah atau kesukaran untuk membersihkannya sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan itu air bercampur tanah, maka memadailah untuk membasuhnya sebanyak sekali dengan air dengan bertaqlid dengan pendapat lain yang mengharuskannya. Terdapat kaedah menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Lebih-lebih lagi, ini bertepatan dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Terdapat kaedah menyebutkan:

المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْر

Maksudnya: Kesukaran mendatangkan kepada kemudahan.

Begitu juga firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Sesuatu yang terkena najis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *