Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada dengar kuliah bahawa jika dosa yang diceritakan sendiri oleh pelaku atau kita mengetahui secara tidak langsung  kecurangan suami kemudian menceritakan kepada orang lain dikatakan membuka aib suami. Tetapi jika kita mengetahui secara langsung daripada orang lain bukan si pelaku tapi menceritakannya kepada orang lain, contohnya ahli keluarga atau pegawai syariah untuk mendapat nasihat tidak dikira membuka aib? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu Muslim atau bukan Muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat: 12)

Ibn Kathir menyatakan, Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/377).

Al-Syaukani berkata: Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya. Ini sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya. Demikianlah keterangan daripada al-Zajjaj. (Lihat Fath al-Qadir, 8/132).

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya:Adakah kamu tahu apakah itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.’

Riwayat Muslim (2589)

Perkataan ghibah berasal daripada (اغْتَابَ – يَغْتَابُ), diambil daripada perkataan  (غَيَبَ) yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Hal ini kerana hakikat daripada perbuatan ghibah adalah mencela atau menyebut aib seseorang ketika orang yang dicela tidak ada di hadapannya. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 4/403; Minhah al-‘Allam, 10/238).

Imam al-Nawawi berkata:

وَالْغِيْبَةُ ذِكْرُ الإِنْسَانِ فِي غَيْبَتِهِ بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.”

Beliau berkata lagi: Ungkapan (بِمَا يَكْرَهُ)  mengandungi makna umum, iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan, sama ada ia berkait dengan masalah agama, atau masalah dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya.  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Para ulama telah sepakat bahawa ghibah termasuk dosa besar. Mereka berdalilkan dengan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”

Riwayat Muslim (3179)

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang dibenarkan oleh Syarak untuk menceritakan aib seseorang atau mengumpatnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

Maksudnya: “Hindun Ummu Mu‘awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik.’”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (1714)

Bahkan Imam al-Nawawi menyebutkan, mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar‘i terdapat enam jenis:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 432-433; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/142).

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa membuka aib seseorang atau mengumpatnya tidak dibenarkan dalam Islam sebagaimana yang ditunjukkan dalam nas kecuali dalam keadaan atau perkara yang dibenarkan oleh syarak. Justeru, sekiranya seseorang itu terpaksa menceritakan keburukan atau aib seseorang kepada orang yang dipercayai seperti ibu bapa atau pegawai syariah atau seumpamanya bagi mendapatkan nasihat dan pandangan, maka kami katakan ia adalah dibolehkan kerana ia termasuk dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak, tetapi ia masih lagi terikat untuk tidak boleh menyebut nama orang itu secara khusus jika tidak ada keperluan. Namun begitu, dalam keadaan yang lain, jika adanya keperluan untuk menyebut namanya secara khusus seperti kepada  pihak berautoriti agar tindakan dapat diambil atau sebab-sebab yang lain kerana kesalahan/kejahatan yang dilakukannya itu perlu dibendung segera atau seumpamanya, maka tidak mengapa melakukannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *