#5182: Meminum Kopi Joss

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum minum kopi joss? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan atau apa yang dimaksudkan dengan kopi joss. Kopi jos atau kopi joss adalah minuman kopi khas Yogyakarta yang dihidangkan dengan arang panas. Arang panas dicampur dengan kopi hitam dan gula kemudian dihidangkan. Kopi ini biasanya dijual di angkringan di Yogyakarta. Secawan kopi jos berharga sekitar 5 ribu rupiah.[1] Namanya itu diambil daripada bunyi “joss” apabila arang panas dimasukkan ke dalamnya.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, secara umumnya, meminum kopi adalah termasuk dalam perkara yang diharuskan. Ini kerana hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Keduanya, sekalipun pada asalnya sesuatu makanan dan minuman itu diharuskan, namun jika terbukti ia memudaratkan kepada pemakannya atau peminumnya, maka hukumnya boleh berubah menjadi haram.

Ini kerana kopi yang dimasukkan arang panas atau bara arang ini berisiko memudaratkan peminumnya. Ini jelas sebagaimana dinyatakan bahawa pakar kesihatan melahirkan kebimbangan terhadap tindakan meminum minuman kopi yang dimasukkan bara arang kerana boleh mengundang kesan buruk seperti kanser, berikutan sifatnya yang karsinogenik serta kemungkinan usus tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa lama. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), arang panas (bara arang) yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan, yang lazimnya digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat untuk digunakan.

Bahkan, kopi yang dimasukkan bara arang adalah menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Menurut KKM lagi, mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan. Ini kerana kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Adapun arang tidak dikategorikan sebagai makanan.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami cenderung kepada pendapat bahawa kopi joss atau kopi yang dimasukkan bara arang, tidak dibenarkan untuk diminum kerana ia mendedahkan peminumnya kepada mudarat dan bahaya. Apatah lagi arang itu sendiri tidak dikategorikan sebagai makanan dan bahan yang selamat untuk dimasukkan dalam minuman/makanan. Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Selain itu, perkara ini juga bertepatan dengan hadith Nabi SAW agar kita menjauhi daripada sebarang bentuk kemudaratan sebagaimana sabdanya:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Tambahan lagi, terdapat kaedah menyebutkan:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Bahkan, tidak syak lagi, perkara ini juga adalah selaras dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita supaya bukan sahaja perlu memilih makanan atau minuman yang halal tetapi juga mesti berkualiti dan selamat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Kopi_Jos. Diakses pada 18 Disember 2023.

[2] Lihat https://www.remarkableindonesiancoffee.com/kopi-joss-joss-coffee#. Diakses pada 18 Disember 2023.

[3] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1181834/hidang-kopi-joss-satu-kesalahan-boleh-didenda-rm10000-penjara-dua. Diakses pada 18 Disember 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *