#5191: Memakan Bintang Rapuh (Brittle Star)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat sejenis haiwan laut yang dipanggil sebagai bintang rapuh atau brittle star. Soalan saya halalkah ia dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sedikit penerangan berkenaan haiwan bernama bintang rapuh atau brittle star ini. Dari segi pengelasan saintifik, bintang rapuh dikelaskan dalam filum Ekinodermata. la tergolong dalam kelas Ofiuroidea. Bintang rapuh ialah haiwan laut yang menyerupai tapak sulaiman. Banyak haiwan ini hidup di sepanjang dasar lautan di dunia dan di air cetek dekat pantai. la jarang-jarang kelihatan kerana ia hidup di bawah batu atau di celah-celah karang atau membuat lubang dalam lumpur atau pasir. Kebanyakan spesies bintang rapuh mempunyai lima tangan. Tangannya lebih panjang dan lebih fleksibel daripada tangan tapak sulaiman.

Gambar di atas: Bintang rapuh di Kona, Hawaii.[1]

Bintang rapuh kadang-kadang dinamakan tapak sulaiman ular kerana tangannya seperti ular. Bintang rapuh dinamakan “rapuh” kerana bahagian tangannya mungkin tertanggal apabila dipegang atau diganggu. Kemudian, tangan baru akan tumbuh. Haiwan ini menggunakan tangannya untuk membawa makanan ke dalam mulut yang terletak di tengah-tengah badan di sebelah bawah. Mulutnya adalah satu-satunya bukaan ke perut yang berbentuk seperti karung. Tidak seperti tangan tapak sulaiman, tangan bintang rapuh tidak mempunyai organ penghadaman atau organ pembiakan.

Bintang rapuh memakan haiwan kecil yang hidup atau mati. Bintang rapuh mempunyai tiub kurus yang dinamakan kaki tiub di sebelah bawah tangannya. la menggunakannya untuk bernafas, untuk membuat pergerakan kecil, untuk merasa persekitarannya, dan untuk membantu membawa makanan ke mulut. Tidak seperti tapak sulaiman, bintang rapuh tidak mempunyai ceper penyedut pada kaki tiubnya. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 4/56).

Gambar di atas: Bintang rapuh hijau (Ophiarachna incrassata).[2]

Bintang rapuh tidak dijadikan sebagai makanan, walaupun ia tidak toksik, kerana rangkanya yang kuat. Walaupun sesetengah spesies mempunyai duri tumpul, tidak ada bintang rapuh yang diketahui berbahaya mahupun beracun. Tiada ada bukti menunjukkan bahawa ia memberi bahaya kepada manusia, dan sekalipun dengan pemangsa mereka, satu-satunya cara pertahanan bintang rapuh adalah dengan melarikan diri atau menanggalkan lengannya.[3]

Selain itu, bintang rapuh mempunyai hubungan yang terhad dengan manusia, kerana ia biasanya tidak dimakan mahupun diternak bagi tujuan komersial. Haiwan laut ini merupakan sejenis invertebrat yang agak popular dalam kalangan peminat ikan. Mereka dapat berkembang dengan baik dalam akuarium marin dan dikenali untuk membiak dengan cepat, menjadikannya tambahan biasa kepada tangki air masin. Malah, bintang rapuh mikro sering dianggap sebagai “hitchhiker” kerana ia boleh melekat dengan mudah pada batu hidup dan merambat di dalam tangki.

Tambahan lagi, secara umumnya bintang rapuh selamat untuk disentuh kerana ia tidak agresif dan berbahaya. Walaupun selamat untuk disentuh, tidak selamat bagi bintang rapuh untuk disentuh kerana ia agak rapuh. Lengan mereka mudah terputus secara tidak sengaja. Malah, mereka mungkin sengaja melepaskan salah satu lengan mereka sebagai mekanisme pertahanan apabila mereka merasakan bahaya. Adalah lebih baik untuk mengelak daripada menyentuh makhluk rapuh ini.

Selain daripada itu, terdapat beberapa fakta menarik berkenaan bintang rapuh ini. Di antaranya, sesetengah spesies bintang rapuh mampu menghasilkan cahaya mereka sendiri melalui bioluminesensi. Di samping itu, terdapat lebih daripada 3000 spesies bintang rapuh. Malah, bintang rapuh juga adalah di antara beberapa spesies tertua yang diketahui di Bumi, dengan rekod fosil sejak lebih dari 500 juta tahun.[4]

Hukum Memakan Bintang Rapuh (Brittle Star)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, hukum asal bagi apa-apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada makanan adalah halal. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Akan tetapi para ulama berselisih pendapat berkenaan apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada haiwan bukan ikan kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Ulama mazhab Hanafi berpendapat, jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[5] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).

Manakala jumhur ulama pula berpendapat, bangkai hidupan air adalah halal dimakan tidak kira daripada jenis ikan mahupun selainnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) haiwan/hidupan air itu terbahagi kepada dua jenis.

Pertamanya, haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i).

Keduanya, hidupan air  yang tidak dalam bentuk kebiasaan ikan (sebagaimana yang biasa dikenali) maka terdapat tiga pendapat masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i mengenai kehalalannya sebagaimana disebutkan oleh pengarang dalam al-Tanbih, begitu juga al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya turut menyatakan bahawa terdapat tiga pendapat mengenainya. Pendapat pertama iaitu pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan. Ini adalah sebagai dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan Ikhtilaf al-‘Iraqiyyin kerana sebetulnya perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Pendapat kedua, haram memakannya dan ini juga adalah mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat ketiga menyatakan, jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan seumpamanya, maka ia juga turut halal dimakan. Jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya tidak dimakan dagingnya seperti babi air dan anjing laut, maka ia juga haram dimakan. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal mengikut apa yang kami telah sebutkan berdasarkan dalil yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ketiga ini, tidak halal dimakan haiwan yang menyerupai keldai, meskipun terdapat di daratan, keldai liar yang boleh dimakan. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Sabbagh, al-Baghawi dan selain kedua-duanya. Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya melainkan katak.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan, ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31-33).

Ulama mazhab Maliki berpendapat, diharuskan untuk memakan haiwan yang keluar/ditangkap dari laut, tidak kira ia dalam keadaan terapung ataupun tidak. Ini sebagaimana dinyatakan dalam al-Mudawwanah (1/452), Imam Malik menyebutkan, dimakan semua haiwan dalam air tidak kira ia terapung ataupun tidak terapung (ketika ditangkap) yang terdiri daripada buruan laut sekalipun ia ditangkap oleh orang yang dalam ihram.

Seterusnya, ulama mazhab Hanbali pula berpendapat, diharuskan untuk memakan semua haiwan laut kecuali katak kerana ia dianggap sebagai haiwan yang jijik, begitu juga buaya (tidak dimakan) kerana ia haiwan yang memiliki taring yang memburu dengan taringnya mengikut salah satu pendapat, dan begitu juga semua haiwan yang mempunyai bandingannya yang diharamkan di daratan seperti babi (juga tidak dimakan). Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah dalam al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad (1/558).

Di samping itu, turut dinyatakan dalam al-Syarh al-Kabir (11/87) bahawa semua haiwan laut adalah diharuskan untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 96 (sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas) kecuali katak, ular dan buaya. Ibn Hamid menambah, kecuali ikan jerung. Semua buruan laut adalah harus untuk dimakan kecuali katak. Ini juga adalah pendapat Imam al-Syafi‘i. Selain itu, al-Imam Abu al-Barakat Majduddin Ibn Taimiyyah al-Harrani al-Hanbali dalam al-Muharrar fi al-Fiqh (2/189) juga ada menyatakan, diharuskan untuk memakan haiwan laut kesemuanya kecuali katak, manakala berkenaan keharusan untuk memakan buaya ada dua riwayat (pendapat).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa secara umumnya bintang rapuh atau brittle star termasuk dalam jenis haiwan laut dan ia juga termasuk dalam keumuman nas al-Quran dan al-Sunnah yang mengharuskan memakan semua hidupan laut dan juga bangkainya selagi mana tidak terdapat dalil lain yang menunjukkan sebaliknya seperti memudaratkan pemakannya, beracun dan seumpamanya.

Meskipun begitu, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya ia tidak dimakan kerana bintang rapuh atau brittle star tidak dikenali sebagai haiwan yang dijadikan sebagai makanan yang dimakan oleh manusia/orang ramai walaupun ia tidak toksik, tidak beracun dan tidak berbahaya. Bahkan dikatakan juga ia tidak sesuai dijadikan sebagai makanan kerana rangkanya yang kuat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Brittle_star#/media/File:Brittle_starfish_in_kona.jpg. Diakses pada 18 Disember 2023.

[2] Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Brittle_star#/media/File:Greenbrittlestar.jpg. Diakses pada 18 Disember 2023.

[3] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Brittle_star#. Diakses pada 18 Disember 2023.

[4] Lihat https://oceanfauna.com/brittle-star-ophiothrix-fragilis-habitat-diet-anatomy-and-facts/. Diakses pada 18 Disember 2023.

[5] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *