#5192: Pertembungan Dua Manfaat Kesihatan Antara Suami dan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai kemudahan perubatan bagi diri saya seluruh ahli keluarga di klinik-klinik atau hospital-hospital kerajaan. Sebelum berkahwin, isteri saya telah mengambil insurans kesihatan (medical card) untuk dirinya. Adakah bayaran bulanan insuran tersebut dikira sebagai salah satu nafkah wajib bagi saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Al-Sabuni telah menukilkan daripada Ibn Juzai al-Kalbi katanya: “Ayat ini menerangkan kadar infaq yang dimaksudkan hendaklah seorang suami memberi nafkah kepada isterinya juga anaknya yang kecil mengikut kadar kemampuan dan kadar keluasan hartanya.” Katanya di dalam kitab al-Tashil: “Ia merupakan arahan supaya infaq setiap seorang mengikut kadar halnya tanpa membebankan suami akan perkara yang tidak mampu juga tidak mengabaikan hak isteri dalam apa jua keadaan sekalipun. Ayat ini menjadi dalil bahawa nafkah mengikut keadaan kemampuan manusia.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/67)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya dan janganlah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzkikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya. Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 871)

Maksud Kad Perubatan (Medical Card) dalam Insurans Kesihatan

Kad perubatan bermaksud satu kad yang akan memberikan kemudahan kepada seseorang untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, dari pembedahan, rawatan susulan dan lain-lain (mengikut pelan yang dipilih) dengan segala kos ditanggung oleh syarikat insurans/takaful. Jika seseorang memiliki kad perubatan ini, antara kelebihannya ialah, dia tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Kad perubatan berfungsi untuk meringankan beban kewangan seseorang sekiranya menghidap sebarang penyakit dan perlu mendapatkan rawatan di hospital kerana kosnya akan ditanggung oleh syarikat insurans tersebut.

Adakah Kad Perubatan (Medical Card) Termasuk Nafkah Wajib Ditanggung oleh Suami?

Berkenaan persoalan di atas, adakah ia termasuk dalam senarai nafkah yang wajib ditanggung oleh suami, maka kami nyatakan seperti berikut:

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, nafkah adalah sara hidup, dari segi kewangan, makanan, dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup. Menurut istilah syara‘ pula, nafkah merujuk kepada makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan demikian kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat Hasyiyah al-Bajuri ‘ala Ibn Qasim, 2/185)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

 أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلاَ تُقَبِّحْ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ.

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Adakah Belanja Perubatan Isteri Termasuk Nafkah yang Wajib ke Atas Suami?

Para ulama’ berbeza pandangan tentang belanja perubatan isteri, adakah wajib ke atas suami membiayainya atau tidak. Terdapat dua pandangan ulama’ seperti berikut:

Pandangan pertama: Tidak wajib bagi suami untuk menangung belanja perubatan dan doktor untuk isteri. (Lihat Hasyiyah Radd al-Mukhtar, 3/575; al-Syarh al-Kabir, 2/511; Nihayah al-Muhtaj, 7/195; Kassyaf al-Qina’, 5/536)  Sebaliknya belanja untuk perubatan isteri adalah daripada harta si isteri sendiri atau ke atas individu selain suami yang wajib memberi nafkah untuk isteri seperti bapa dan datuk. Inilah pandangan jumhur fuqaha’ berdasarkan firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).”

(Surah al-Talaq: 7)

Berdasarkan ayat di atas, bentuk penghujahan  yang diambil oleh jumhur ulama adalah di mana Allah SWT telah mewajibkan terhadap suami untuk mengeluarkan nafkah yang berterusan kepada isteri. Manakala nafkah perubatan tidaklah termasuk di dalamnya kerana keperluan perubatan adalah sesuatu yang bersifat mendatang dan bukan berterusan. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 4/20; Hasyiyah al-Dusuqi, 2/511) Begitu juga, membeli ubat-ubatan adalah bertujuan untuk memperbaiki tubuh badan, maka ia tidak boleh diwajibkan terhadap suami. (Lihat al-Mughni, 9/235; Kassyaf al-Qina’, 5/536; Mughni al-Muhtaj, 3/431)

Pandangan Kedua: Wajib terhadap suami untuk mengeluarkan atau menanggung belanja perubatan isteri mengikut yang makruf. Ini adalah pandangan Imam al-Syaukani dalam al-Sail al-Jarrar (2/448). Begitu juga pandangan sebahagian ulama’ semasa. Mereka berhujahkan dengan keumuman nas, antaranya firman Allah SWT:

 وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Berdasarkan ayat di atas, bentuk penghujahan adalah dengan mengambil umum sighah  yang ada pada ayat tersebut. (Lihat al-Raudhah al-Nadiyyah, 2/79) Selain itu, kewajiban nafkah untuk isteri yang ditanggung oleh suami adalah bagi memelihara kesihatan isteri. Manakala ubat-ubatan itu pula termasuk bertujuan untuk memelihara kesihatan dan keselamatan isteri. Oleh itu, ia menyerupai nafkah. Imam al-Syaukani menyebut: “Adapun, mewajibkan memberi ubat kepada isteri, maka bentuk penghujahannya adalah kerana kewajiban nafkah ke atas suami adalah bertujuan untuk menjaga kesihatan isteri. Maka ubat termasuk dalam perkara yang bertujuan memeliharan kesihatan seorang isteri.” (Lihat al-Sail al-Jarrar, 2/448)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyokong pandangan ini dan berkata: “Yang jelas bagi saya, pada zaman dahulu, mendapatkan rawatan tidaklah termasuk dalam keperluan asas. Kebiasaannya orang-orang dahulu tidak memerlukan kepada rawatan, kerana mereka kuat mematuhi disiplin-disiplin kesihatan dan pencegahan. Maka (dalam perkara seperti ini), ijtihad ulama’ dibina berdasarkan uruf (kebiasaan) yang berlaku pada zaman mereka. Adapun sekarang, mendapatkan perubatan telah menjadi satu keperluan, sama seperti keperluan kepada makanan, bahkan mendapatkan rawatan itu lebih penting lagi. Hal ini kerana seorang yang ditimpa sakit kebiasaannya lebih memerlukan ubat berbanding perkara lain. Bagaimana dia hendak menjamah makanan sedangkan dia sedang menderita dan menanggung penyakit yang mengancam nyawanya? Kerana itu, saya berpandangan wajibnya nafkah ubat ditanggung oleh suami, sama seperti kewajiban nafkah yang lain yang wajib (seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal). Sama juga seperti wajibnya nafkah ubat untuk anak ke atas bapanya dengan kesepakatan semua ulama’. Apakah seorang suami dikira bergaul secara baik dengan isterinya (seperti yang disuruh dalam al-Quran), jika dia hanya berseronok dengan isterinya ketika si isteri sihat, kemudian memulangkan si isteri kepada keluarganya apabila dia sakit?” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/110)

Dalam menjawab persoalan di atas, sekiranya ia membebankan, maka boleh dibincang semula bersama isteri tentang pembayaran tersebut. Akan tetapi, jika tidak membebankan, dan suami sanggup untuk membayarnya kerana mungkin ada benefit tambahan, maka ia adalah baik.

Justeru, kami katakan seperti noktah berikut:

  • Jika jumlah bayaran tidak membebankan dan benefit yang didapati adalah ekstra daripada yang suami serta keluarga perolehi, maka sayugia diteruskan oleh pihak suami.
  • Jika sekiranya apa yang diperolehi oleh suami jauh lebih baik daripada apa yang dibuat oleh isteri melalui takaful tersebut, sewajarnya hendaklah difikirkan semula dan berhenti lebih baik dengan mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak agar lebih harmoni.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua, dan kami doakan semoga pembinaan keluarga terus utuh dan kekal menjadi keluarga bahagia. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *