Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan hakikat sebenar Imam Mahdi menurut pandangan Ahli Sunnah? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara tanda-tanda besar kedatangan Hari Kiamat adalah munculnya Imam Mahdi. Disebut bahawa pada akhir zaman, akan keluar seorang lelaki dari kalangan Ahlul Bait, di mana Allah akan mengukuhkan agama Islam dengannya. Dia akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun. Bumi akan dipenuhi dengan keadilan. Seluruh umat akan merasa kenikmatan pada zamannya dengan kenikmatan yang belum dirasakan sebelumnya. Bumi mengeluarkan pelbagai tumbuhan, langit menurunkan hujan dan harta dilimpah-ruahkan tanpa batas. ()Lihat Asyrat al-Sa’ah, Yusuf al-Wabil, hlm. 257

Nama dan Kelahiran al-Mahdi

Menurut Ibn Kathir, nama beliau ialah Muhammad bin Abdillah al-‘Alawi al-Fathimi al-Hasani. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Hal ini sepertimana disebut dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.

Al-Munawi berkata: Di dalam hadith ini, terdapat penolakan terhadap golongan Rafidhah. Padanya bangkangan yang keras terhadap pendapat golongan Rafidhah bahawa Mahdi ialah Imam Abu al-Qasim Muhammad al-Hujjah Ibn al-Imam Abi Muhammad al-Hasan al-Khalis, bahawa ia adalah Mahdi yang dinanti. Ini kerana, jika sekiranya namanya bersamaan, tetapi nama ayahnya tidak serupa dengan nama ayah Nabi. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/332)

Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa al-Tibi berkata: “Tidak disebut al-‘ajam (selain Arab) sedangkan mereka juga dimaksudkan (dalam hadith ini) adalah kerana apabila bangsa Arab memerintah dan bersatu padu, maka mereka akan menguasai seluruh umat.” Menurut al-Qari pula: “Boleh jadi, disebut bangsa Arab sahaja disebabkan penguasaan dan dominasi mereka pada zaman tersebut, atau kerana kemuliaan mereka, atau kerana dalam bentuk lafaz berpada di mana sebenarnya ia juga bermaksud bangsa Arab dan selain Arab.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/485)

Berkenaan tempat kelahiran al-Mahdi, para ulama’ khilaf kepada beberapa pendapat. Dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus.

Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib R.A bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah. (Lihat Asyrath al-Sa’ah, Maher, hlm. 36)

Sifat Keperibadian al-Mahdi

Antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:

  • Beliau merupakan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW. (Lihat al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Muhammad bin Rasul al-Husaini al-Barzanji, hlm. 85)

Menurut Abu Nu’aim pula, antara ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi adalah:

  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun. (Lihat al-Sa’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Abu Nu’aim al-Asfahani, hlm. 85)

Waktu Kemunculan al-Mahdi

Dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim, Ibn Kathir berkata: Aku mengira bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa AS. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: “Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Riwayat Muslim (247)

Syeikh al-‘Azim Abadi berkata: Pada hadis-hadis ini, telah datang riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang menunjukkan dua perkara:

Pertama: Bahawa ketika turunnya Isa AS dari langit, maka orang yang memerintah urusan umat Islam ketika itu adalah seorang lelaki dari kalangan mereka.

Kedua:  Beliau hadir memimpin mereka untuk solat dan mengimami solat kepada seluruh umat Islam. Ini adalah permintaan daripada Nabi Isa AS ketika turunnya untuk menjadi imam solat, lalu ditunjuk kepada lelaki ini kerana kesesuaiannya. Sekalipun tidak dinyatakan dengan jelas lafaz al-Mahdi, tetapi ia menunjukkan sifat lelaki soleh yang menjadi imam bagi umat Islam ketika itu.

Telah datang dalam banyak hadis sama ada dalam al-Sunan atau Musnad dan selainnya, yang mentafsirkan hadith dalam dua kitab sahih. Ini menunjukkan bahawa lelaki yang soleh itu bernama Muhammad bin Abdillah, dan dikatakan itulah al-Mahdi. Sunnah mentafsirkan sebahagiannya dengan yang lain. Daripada hadis-hadis yang menunjukkan demikian itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Harith bin Abi Usamah dalam musnadnya, dengan sanadnya daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ينزلُ عيسى ابنُ مريمَ فيقولُ أميرُهمُ المهديُّ: تعالَ صلِّ بِنا، فيقولُ: لا إن بعضَهم أميرُ بعضٍ، تَكرِمةُ اللهِ لهذه الأمةِ

Maksudnya: “Isa bin Maryam akan turun dan pemerintah mereka al-Mahdi berkata: “Marilah, solatlah mengimami kami.” Lantas kata Nabi Isa: “Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan Allah untuk umat ini.”

 Riwayat al-Harith dalam al-Musnad sepertimana dalam al-Manar al-Munif (hlm. 147), Abu ‘Awanah dalam al-Musnad (317) dan Abu Ya’la sepertimana dalam Majma’ al-Zawa’id oleh al-Haithami (7/291). Hadis ini seperti kata Ibn Qayyim dalam al-Manar al-Munif, sanadnya baik.

Tempat Keluar al-Mahdi

Al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ؛ كُلُّهُمْ اِبْنُ خَلِيْفَةٍ، ثُمَّ لاَ يَصِيْرُ إِلَـى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّوْدُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُوْنَكُمْ قِتْلاً لَمْ يَقْتُلْهُ قَوْمٌ… (ثُمَّ ذكر شَيْئًا لاَ أَحْفَظُهُ، فَقَالَ:) فَإِذَا رَأَيْتُمُوْهُ؛ فَبَايِعُوْهُ، وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ؛ فَإِنَّهُ خَلِيْفَةُ اللهِ اَلْمَهْدِيُّ.

Maksudnya: “Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Riwayat Ibn Majah (4084), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/464) dan beliau berkata: “Hadith ini sahih dengan syarat al-Syaikhan.” Hal ini disepakati oleh al-Zahabi. Ibn Kathir berkata: Sanadnya kuat dan sahih. (Lihat al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka’bah. Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-‘Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/16)

Ibn Kathir turut menegaskan: “Al-Mahdi akan muncul dari arah timur, dan bukan dari Gua Samira’ sepertimana yang disangkakan oleh Syi’ah (Rafidhah). Mereka menunggu hingga sekarang, sedangkan sangkaan golongan Rafidhah tersebut hanyalah igauan semata-mata dan pemikiran yang sangat lemah. Sangkaan tersebut tidak ada landasan sama sekali daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Apa yang mereka sangkakan tersebut sangat tidak logik dan tidak selari dengan akal yang sihat. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/17)

Tempoh Pemerintahan al-Mahdi

Dalam sebuah hadis, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ فِي أُمَّتِي الْمَهْدِيَّ يَخْرُجُ يَعِيشُ خَمْسًا ، أَوْ سَبْعًا ، أَوْ تِسْعًا ‏‏

Maksudnya: “Sesungguhnya, pada umatku terdapat al-Mahdi. Dia akan muncul, hidup (berkuasa) selama lima, tujuh, ataupun sembilan (yakni terdapat keraguan daripada salah seorang periwayat hadith ini, iaitu Zaid berkenaan bilangan tahun yang disebutkan).

Riwayat al-Tirmizi (2232) dan beliau berkata, hadis ini hasan.

Al-Mubarakfuri menjelaskan: “Dalam riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri dalam Sunan Abu Daud, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun, dengan lafaz yang tiada keraguan daripada perawi. Begitu juga dalam hadis Ummu Salamah, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun dan ia juga tanpa ada keraguan daripada perawi. Daripada sini, hadis yang menggunakan lafaz yang pasti, lebih diutamakan daripada lafaz yang masih ada keraguan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/487)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:

‏ يَكُونُ فِي أُمَّتِي الْمَهْدِيُّ إِنْ قُصِرَ فَسَبْعٌ وَإِلاَّ فَتِسْعٌ

Maksudnya: “Akan datang pada umatku al-Mahdi, apabila masanya pendek, maka tujuh tahun. Sekiranya tidak, maka sembilan tahun.”

Riwayat Ibn Majah (4083) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8675)

Berdasarkan perbezaan riwayat ini, maka Ibn Kathir berpendapat bahawa tempoh masa kepimpinan atau kekuasaan Imam Mahdi yang paling lama adalah selama sembilan tahun. Manakala tempoh paling sedikit adalah lima atau tujuh tahun. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/18)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَخرُجُ في آخِرِ أُمَّتي المَهديُّ، يَسْقيه اللهُ الغيْثَ، وتُخرِجُ الأرضُ نَباتَها، ويُعْطي المالَ صِحاحًا، وتَكثُرُ الماشيةُ، وتَعظُمُ الأُمَّةُ، يَعيشُ سَبعًا، أو ثَمانيًا، يَعْني حِجَجًا.

Maksudnya: “Al-Mahdi akan keluar daripada generasi akhir umatku. (Ketika pemerintahannya), Allah menurunkan banyak hujan dan bumi mengeluarkan banyak tumbuhan. Dia memberikan harta dengan adil, haiwan ternakan menjadi banyak, dan umat manusia menjadi mulia. Dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.” (Riwayat Abu Daud (4285), Ahmad (11130) dan al-Hakim (8673). Syeikh Syu’aib al-Arnauth dalam Takhrij Sunan Abi Daud (6/343) menyatakan isnadnya sahih.)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa tempoh masa kehadiran Imam Mahdi dalam kehidupan manusia tidak begitu lama. Tempoh kehadiran Imam Mahdi yang paling pendek adalah lima tahun, manakala tempoh yang paling lama adalah sembilan tahun.

Hadis-hadis Tentang Kedatangan al-Mahdi

Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad berkata: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya:

“Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama.

Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.” (Lihat al-Radd ‘Ala Man Kazaba bi al-Ahadith al-Waridah fi al-Mahdi, Abd al-Muhsin Abbad, hlm. 157)

Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ  حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي  أَوْ ‏‏ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي ‏يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Maksudnya: “Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.”

Riwayat Abu Daud (4282)

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: Dalam hadith ini, terdapat keterangan bahawa sebelum kemunculan al-Mahdi, maka dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Kemudian setelah kedatangannya, zaman akan berubah dengan dipenuhi oleh keadilan dan tersebarnya kebaikan. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 1/2))

  • Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ

Maksudnya: “Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.”

Riwayat Abu Daud (4285)

Al-Qari berkata: Hidung beliau tidaklah penyek kerana bentuk hidung seperti ini kurang disukai. (Lihat Aun al-Ma’bud, 11/252)

  • Daripada Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ

Maksudnya: Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah.

Riwayat Abu Daud (4284), Ibn Majah (4085) dan Ahmad (646)

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan bahawa al-Hafiz ‘Imad al-Din berkata: Hadis-hadis menunjukkan bahawa al-Mahdi merupakan dari kalangan Ahl al-Bait, daripada zuriat Fatimah, dan daripada keturunan al-Hasan, bukan al-Husain. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 11/374)

  • Daripada Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami – ahli bait – yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.

Riwayat Ibn Majah (4085)

Ibn Kathir berkata: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

  • Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي

Maksudnya: “Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.” 

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Lafaz ‘السُّودِ’ di sini, boleh jadi juga adalah bentuk kinayah (kiasan) terhadap ramainya tentera-tentera umat Islam dari arah Khurasan. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/3447)

Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam. Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.

Disebut di dalam kitab Asyrat al-Sa’ah oleh Maher Ahmad al-Sufi: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya.

Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib R.Anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 30)

Golongan yang Mengingkari Kemunculan al-Mahdi

Dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat pertama: Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesama mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan. Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Ibn Khaldun berkata: Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya. ( Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 555)

Pendapat kedua: Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.

Syeikh Yusuf al-Wabil berkata: Terdapat sebahagian penulis[1] pada zaman sekarang yang mengingkari kemunculan al-Mahdi. Mereka menyifatkan pelbagai hadith tentangnya dengan kontradiktif dan kebatilan (tidak benar), dan mendakwa bahawa sesungguhnya al-Mahdi hanyalah cerita bohong yang dilakukan oleh kaum Syiah, kemudian masuk ke dalam kitab-kitab Ahli Sunnah.

Para penulis tersebut telah terpengaruh dengan pendapat yang telah masyhur daripada Ibn Khaldun, seorang ahli sejarah rahimahullah, di mana beliau telah mendha’ifkan hadith-hadith tentang al-Mahdi. Sedangkan Ibn Khaldun bukanlah pakar dalam bidang ini sehingga pendapatnya dalam mensahihkan dan mendha’ifkan hadith boleh diterima. Seandainya satu hadith sahaja yang sahih, maka hal tersebut sudah cukup sebagai hujjah tentang adanya al-Mahdi. Lebih-lebih lagi, apabila hadith-hadith yang menyebut tentangnya adalah sahih bahkan mutawatir. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, Yusuf al-Wabil, hlm. 274)

Syeikh Ahmad Syakir berkata: “Sesungguhnya Ibn Khaldun tidak memahami dengan benar perkataan para ahli hadith ‘al-Jarh Muqaddamun ‘ala al-Ta’dil’. Seandainya dia menelaah perkataan para pakar hadith dan memahaminya, nescaya dia tidak akan pernah mengatakan apa-apa yang telah dia katakan. Mungkin juga, sebenarnya dia telah membaca dan mengetahuinya, namun dia melemahkan hadith al-Mahdi kerana keadaan politik yang menekannya ketika itu.” (Lihat ta’liq (komentar) Syeikh Ahmad Syakir dalam kitab Musnad Imam Ahmad, 5/197-198)

Sebahagian yang lain pula mengingkari hadith-hadith tentang al-Mahdi dengan berhujahkan hadith berikut:

 لاَ يَزْدَادُ اْلأَمْرُ إِلاَّ شِدَّةً، وَلاَ الدُّنْيَا إِلاَّ إِدْبَارًا، وَلاَ النَّاسُ إِلاَّ شُحًّا، وَلاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ، وَلاَ الْمَهْدِيُّ إِلاَّ عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ.

Maksudnya:Suatu urusan tidak akan bertambah melainkan akan semakin sulit, dunia semakin mundur dan manusia semakin bakhil. Tidaklah Kiamat terjadi kecuali kepada manusia yang paling buruk, dan tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa bin Maryam.”

Riwayat Ibn Majah (2/1340) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/441)

Jawapan atas pernyataan mereka adalah, apabila diteliti, hadith tersebut adalah dha’if kerana semuanya bersumber daripada Muhammad bin Khalid al-Jundi. Imam al-Zahabi berkata: “Dia adalah munkar al-hadith.” Abu ‘Abdillah al-Hakim berkata: “Dia adalah majhul.” Imam al-Zahabi turut berkata: “Hadith ‘tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa bin Maryam adalah khabar yang munkar, diriwayatkan oleh Ibn Majah.” (Lihat Mizan al-I’tidal, 3/535 dan Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 280)

Namun, terdapat ulama’ yang menyatakan bahawa hadith-hadith tersebut adalah tidak bertentangan sama sekali. Ini sepertimana disebut oleh Abu ‘Abdillah al-Qurtubi, katanya: “Dimungkinkan bahawa yang dimaksudkan daripada sabda Baginda SAW, “Dan tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa,” adalah tidak ada al-Mahdi yang sempurna, yang maksum kecuali ‘Isa. Dengan kefahaman tersebut, maka pelbagai hadith dapat disatukan dan hilang pertentangan kerananya.” (Lihat al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, hlm. 617)

Syeikh Yusuf al-Wabil menyimpulkan, katanya: Seandainya hadith tersebut benar-benar tetap, maka ia tidak mampu mengalahkan banyak hadith yang tetap berkenaan al-Mahdi, yang semuanya lebih sahih daripada hadith yang diperselisih oleh ulama’ berkenaan sahih dan tidaknya. Wallahu a’lam. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 280)

Syeikh Abd al-Aziz bin Baz pernah berkata: Isu Imam Mahdi adalah perkara yang maklum dan hadith berkenaan dengannya adalah amat banyak, bahkan mutawatir. Ia telah dinukilkan bukan seorang dari kalangan ahli ilmu, sebaliknya mutawatir maknawi kerana banyak jalannya. Berdasarkan nas, lelaki yang dijanjikan dengannya sebagai Imam Mahdi adalah sabit dan pasti keluar. Dinamakan dengan Muhammad bin Abdullah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Talib yang keluar pada akhir zaman memimpin umat ini dengan keadilan dan kebenaran serta mencegah kezaliman. Allah tebarkan dengannya bendera kebaikan kepada ummah, keadilan, hidayah taufik dan memberi petunjuk kepada manusia.

Para ulama’ yang terdahulu, yang telah mengkaryakan berkaitan isu Imam Mahdi amat ramai, antaranya:

  • Al-Hafiz Abu Nu’aim
  • Imam al-Suyuti dengan kitabnya bertajuk al-‘Urfu al-Wardi fi Akhbar al-Mahdi. Begitu juga kitab al-Hawi li al-Fatawi.
  • Al-Hafiz Ibn Kathir menyebut dalam kitabnya al-Fitan wa al-Malahim
  • Al-Hafiz Ibn Hajar mengarang dengan tajuk al-Qaul al-Mukhtasar fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar
  • Al-Muttaqi al-Hindi
  • Al-Son’ani
  • Mar’i bin Yusuf al-Hanbali

Bahkan, Syeikh Abd al-Husin Abbad telah menghitung kitab-kitab Sunnah yang mengeluarkan hadis-hadis ini dan mendapatinya sehingga 36 kitab. Apa yang disebut daripadanya oleh Ashab al-Sunan al-Arba’ah, Imam Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam Mustadraknya, Ibn Hibban dalam Sahihnya. Begitu juga beliau menghitung bilangan sahabat yang meriwayatkan hadis berkenaan Mahdi sehingga mencecah 26 orang sahabat.

Beza Antara Imam Mahdi Ahli Sunnah dan Syiah

Mengikut kepercayaan Syiah Imamiyyah, bahawa al-Mahdi di sisi mereka ialah imam mereka yang terakhir, iaitu imam yang ke-12, yang digelar Muhammad bin al-Hasan al-Askari. Dan dia di sisi mereka adalah anak kepada al-Husain bin Ali, bukan daripada anak al-Hasan. Antara iktikad mereka bahawa Muhammad bin al-Hasan al-Askari telah masuk ke dalam Gua Samira’ sejak lebih seribu seratus tahun dalam usianya ketika itu 5 tahun.

Antara iktikad mereka bahawa ia hadir di banyak tempat walaupun ghaib pada mata kasar. Dia lah Imam Mahdi yang mereka nantikan kembalinya. Sedangkan tiada dalil demikian itu dalam kitab Allah atau Sunnah Rasulullah SAW. Dan tidak terdapat satu riwayat pun daripada ulama kita Ahli Sunnah sependapat dengan pendapat ini.

Imam Ibn Kathir membantah Imam Mahdi versi Syiah ini dengan katanya: “Masalah Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman, yang menjadi seorang daripada khalifah-khalifah yang lurus dan imam-imam yang mendapat petunjuk, beliau bukanlah Imam Mahdi golongan Syiah yang mereka harap akan muncul dari Gua Samira. Ini kerana, semua itu tidak sesuai dengan realiti, tidak terlihat wujudnya, dan tidak pula ada tanda-tandanya. Mereka menganggap Imam Mahdi itu adalah Muhammad bin al-Hasan al-Askari yang masuk ke gua.

Kemudian beliau turut berkata: “Al-Mahdi akan keluar dari arah masyriq, bukan dari Gua Samira seperti anggapan orang-orang bodoh dalam kalangan Rafidhah (Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah). Mereka menganggapnya sudah ada pada waktu sekarang dan mereka terus menunggu waktu keluarnya al-Mahdi pada akhir zaman. Sungguh, ini adalah cakap-cakap kosong dan kehinaan yang dilemparkan oleh syaitan. Ini kerana, tidak ada dalil, bukti daripada al-Quran dan al-Sunnah, serta tidak juga daripada akal yang sihat. Tidak juga daripada istihsan.” (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Al-Safarayani turut mengemukakan bantahan yang sama, katanya: “Anggapan Syiah yang mengatakan bahawa nama Imam Mahdi adalah Muhammad bin al-Hasan, iaitu Muhammad bin al-Hasan al-Askari hanyalah cakap-cakap kosong. Ini kerana, Muhammad bin al-Hasan sudah meninggal dunia dan warisan bapanya sudah diambil oleh bapa saudaranya, Ja’far. (Lihat Lawami’ al-Anwar, 2/84)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa ciri-ciri dan hakikat Imam Mahdi telah diceritakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang terdapat dalam nas Nabawi. Berkenaan dengan dakwaan seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi, kami akan menjawabnya di dalam artikel akan datang yang bertajuk #533 Dakwaan Sebagai Imam Mahdi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Kami menutup perbincangan ini untuk sama-sama mengajak semua bagi mengangkat tangan memohon doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H

[1] Antaranya ialah Syeikh Muhammad Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar (9/499-504), Muhammad Farid Wajdi dalam Da’irah al-Ma’arif fi al-Qarn al-‘Isyrin (10/480), Ahmad Amin dalam Dhuha al-Islam (3/237), Muhammad Abdullah ‘Annan dalam Mawaqif Hasimah fi Tarikh al-Islam (hlm. 359), Muhammad Fahim Abu ‘Ubayyah dalam ta’liqnya terhadap al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim oleh Ibn Kathir (1/37) dan beberapa lagi.

Leave a Reply