#5286: Memakan Platipus

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat sejenis haiwan seperti memerang tetapi mempunyai muncung seperti itik yang dipanggil sebagai platipus. Soalannya, apakah hukum memakannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan sedikit pengenalan berkenaan platipus ini. Platipus tergolong dalam famili Ornitorinkida dalam order mamalia Monotremata. Nama saintifiknya ialah Ornithorhynchus anatinus. Platipus ialah satu daripada hanya dua mamalia yang membiak dengan bertelur. Satu lagi mamalia yang bertelur ialah ekidna atau tenggiling berduri. Platipus juga sering dikenali sebagai paruh itik kerana mempunyai muncung yang lebar, leper, dan tidak berbulu yang menyerupai paruh itik.

Gambar

Platipus tinggal di sepanjang anak sungai di Australia. la mempunyai kaki renang dan ekor yang lebar dan leper yang membantunya berenang. Platipus menggunakan paruhnya untuk mengaut cacing, kerang-kerangan kecil, dan haiwan lain dari dasar anak sungai. Platipus dewasa tidak bergigi. la menghancurkan makanannya dengan pad berbelulang di belakang rahangnya.[1]  Platipus membesar daripada kira-kira 40 hingga 56 sentimeter panjangnya, termasuk ekornya sepanjang 10 hingga 13 sentimeter. Beratnya kira- kira 2.5 kilogram tetapi ia kelihatan lebih berat kerana bulunya yang tebal berwarna perang. Platipus mempunyai cakar di kaki depan dan kaki belakang, tetapi selaput kaki depannya boleh dikembangkan menjangkaui cakar. Selaput ini dilipatkan pada telapaknya semasa berjalan di darat atau menggali tanah. Platipus jantan juga mempunyai taji berongga bak cakar di belakang setiap buku lalinya. Taji ini bersambung dengan kelenjar racun yang membesar semasa musim mengawan. Ahli sains percaya bahawa platipus jantan mungkin menggunakan taji untuk mempertahankan dirinya.

Gambar

Platipus tinggal dalam lubang yang digali di tebing anak sungai. Lubang ini boleh jadi sepanjang 26 meter. Kecuali platipus betina dan anaknya, setiap platipus tinggal dalam lubangnya sendiri. Ketika musim mengawan, platipus betina membina sarang daripada daun kering dan rumput di hujung lubangnya. Sebelum bertelur, platipus menyekat jalan masuk ke lubang ini dengan tanah. Platipus betina bertelur dari satu hingga tiga biji pada satu-satu masa. Telurnya kira-kira 1.5 sentimeter diameter dan berkulit liat. la menetas selepas kira-kira 10 hari. Anak platipus tinggal di dalam lubang selama kira-kira empat bulan dan menyusu daripada ibunya. Satu masa dahulu, platipus diburu untuk mendapatkan bulunya. Sejak tahun 1920-an, membunuh platipus telah dilarang oleh undang-undang. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 17/701).

Selain daripada itu, platipus mempunyai racun. Dikatakan, racun ini tidak membawa maut kepada manusia, jadi ia tidak sepenuhnya beracun atau berbahaya. Walau bagaimanapun, racun platipus boleh menjadi sangat kuat sehingga boleh membunuh mamalia lain, seperti anjing dan kucing.

Tidak dinafikan bahawa platipus adalah haiwan yang sangat menarik. Melihat kepada rupa fizikalnya sahaja, anda tidak akan mudah mengetahui apa itu platipus – mamalia, burung atau reptilia? Platipus mempunyai tubuh mamalia yang dilitupi bulu, kaki berselaput seperti memerang, paruh itik dan ekor memerang. Malah bertelur seperti reptilia dan tidak mempunyai perut. Akan tetapi yang lebih menarik ialah platipus adalah salah satu daripada beberapa mamalia yang mempunyai racun.

Oleh kerana platipus tidak mempunyai mulut tipikal yang direka seperti mamalia, mereka juga tidak mempunyai gigi. Mereka mempunyai bill (paruh/mulut) seperti itik yang membantu mereka mencedok dan menghancurkan makanan mereka. Oleh kerana mereka tidak mempunyai gigi, platipus tidak boleh menggigit. Walau bagaimanapun, platipus jantan mempunyai taji tajam dan runcing pada tumit salah satu kaki belakangnya. Taji ini bersambung dengan kelenjar yang menahan dan merembeskan racun. Ia bertindak seperti penyengat untuk menusuk musuh, pemangsa, pemburu dan manusia. Oleh itu, tidak seperti haiwan dan mamalia lain, platipus tidak menghantar racun melalui gigitan mereka tetapi melalui taji di kaki mereka.

Racun platipus diketahui menyebabkan bengkak yang melampau dan kesakitan yang teruk, tetapi ia selalunya tidak berbahaya atau mengancam nyawa manusia. Namun, ia boleh berbahaya kepada haiwan lain, terutamanya mamalia yang lebih kecil. Memandangkan taji platipus mempunyai hujung yang runcing, sengatan platipus terasa seperti tusukan kecil. Taji dipenuhi dengan racun, menyebabkan kesakitan pada luka yang dicucuk. Racun platipus tidak cukup kuat untuk membunuh manusia, dan belum ada rekod kematian manusia yang dibawa oleh racun platipus lagi. Walau bagaimanapun, tusukan taji boleh menyebabkan bengkak dan kesakitan yang luar biasa yang mungkin berlangsung selama beberapa hari atau bahkan minggu. Namun, orang yang mempunyai sistem imun yang lemah boleh mengalami gejala yang lebih teruk termasuk peningkatan kepekaan terhadap kesakitan atau hiperalgesia, loya, berpeluh sejuk, oksigen darah rendah, hiperventilasi dan sawan, bergantung pada jumlah racun yang dikeluarkan oleh platipus ke dalam badan.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya, platipus mungkin mempunyai racun yang dirembeskan melalui taji runcingnya, tetapi sengatan dan racunnya tidak cukup kuat untuk membunuh manusia atau menyebabkan kerosakan kekal. Akan tetapi jangan berfikir bahawa sengatan itu tidak menyakitkan atau mempunyai kesan yang berkekalan. Seorang lelaki berusia 57 tahun di Australia telah dirawat oleh doktor kerana sengatan platipus selepas mengendalikannya, dan mengalami kesakitan yang disifatkannya sebagai lebih teruk daripada luka serpihan yang pernah dialaminya dalam perkhidmatan tentera yang lalu. Dia menghabiskan enam hari di hospital dan dia mempunyai jari yang sakit serta bengkak yang mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh.

Tambahan lagi, para saintis telah menemui bahawa racun platipus jantan, yang mengandungi lebih 80 toksin berbeza, adalah serupa dengan racun ular, biawak, anemon laut, tapak sulaiman, dan juga labah-labah. Jenis toksin ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kerosakan saraf, pembekuan darah, keradangan, dan pengecutan otot.

Gambar

Beberapa kelompok Orang Asli di negara asal mereka, Australia, memburu platipus untuk makanan. Walau bagaimanapun, platipus dilindungi di seluruh dunia, dan memakannya adalah sangat dilarang. Selain disebabkan terdapatnya undang-undang yang melarang, kebanyakan orang mengelak daripada memakan daging platipus kerana racunnya mungkin mengandungi toksin yang tidak baik untuk badan.

Sekalipun begitu tidak semua platipus mempunyai racun. Hanya platipus jantan yang mempunyai racun kerana mereka menggunakannya untuk melawan jantan lain semasa musim mengawan. Inilah sebabnya mengapa platipus mempunyai lebih banyak racun semasa musim mengawan. Platipus betina tidak mempunyai racun tetapi dilahirkan dengan taji penyengat di kaki belakangnya. Apabila platipus betina mencapai usia dewasa, taji ini jatuh, dan keupayaannya untuk menyengat dan mengeluarkan racun hilang dengannya.[2]

 

Hukum Memakan Platipus

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, platipus termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak yang jelas mengenai pengharamannya. Jadi, pada asalnya ia adalah halal dan diharuskan untuk memakannya.

Apatah lagi ia juga bukanlah haiwan yang memburu haiwan lain sebagai makanan. Benar sekali bahawa Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas bertaring yang menerkam mangsanya atau berparuh yang menyambar mangsanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Namun, yang dimaksudkan dengan haiwan bertaring itu adalah yang memburu dengan taringnya. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Syafi‘i bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272).

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa platipus adalah harus dan halal untuk dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak membahayakan orang yang memakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Tambahan lagi, meskipun ia dikatakan mempunyai racun tetapi racunnya itu hanya berada pada bahagian tajinya yang berada di kaki belakang dan racun tersebut tidak berbahaya atau mengancam nyawa manusia sekalipun sengatan taji itu sangat menyakitkan. Sementelahan lagi, taji beracun itu hanya terdapat pada platipus jantan sahaja, sedangkan taji platipus betina akan jatuh apabila ia dewasa serta keupayaannya untuk menyengat dan mengeluarkan racun hilang dengannya.

Selain itu, kami juga melihat hujah yang menyatakan bahawa kebanyakan orang mengelak untuk memakan daging platipus kerana racunnya mungkin mengandungi toksin yang tidak baik untuk badan adalah hujah yang lemah kerana ia adalah sesuatu yang belum pasti dan hanyalah berbentuk sangkaan, sedangkan hal sebaliknya menunjukkan bahawa racunnya tidak berbahaya atau mengancam nyawa manusia. Apatah lagi racunnya itu hanya terhad pada bahagian taji di kakinya sahaja.

Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya ia mestilah disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain, dan bukan seperti mana haiwan air yang halal bangkainya. Keadaannya persis haiwan yang dipanggil beaver dan juga itik, yang pernah kami bahaskan sebelum ini. Bagi pembaca yang ingin mendapatkan maklumat tambahan bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan yang bertajuk: #1313: Memakan Daging Beaver[3] dan #2834: Dalil Daging Itik adalah Halal.[4]

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Australia dan lain-lain, adakah di sana terdapat undang-undang yang melarang daripada membunuh dan memburunya. Tidak dapat dinafikan lagi, platipus adalah spesies yang dilindungi di Australia (negara asalnya). Justeru, memburu dan membunuhnya dianggap sebagai suatu kesalahan. Menjadi tanggungjawab rakyat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah kerana pihak pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahat tertentu. Terdapat satu kaedah fiqh yang masyhur menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Namun, sekiranya tiada larangan tersebut atau adanya kebenaran untuk menyembelihnya (bagi tujuan memakannya) maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan platipus tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat juga https://a-z-animals.com/blog/what-does-the-platypus-eat/ dan https://www.wildlife.vic.gov.au/__data/assets/pdf_file/0017/114038/Platypus.pdf. Diakses pada 9 Januari 2024.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/blog/are-platypuses-poisonous-or-dangerous/. Diakses pada 9 Januari 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1318-memakan-daging-beaver/. Diakses pada 9 Januari 2024.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/2834-dalil-daging-itik-adalah-halal/. Diakses pada 9 Januari 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *