#5366: Hadith 40: Niat dalam Amalan dan Aplikasinya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Boleh Dato jelaskan faedah hadith berkenaan niat dan pengaplikasian dalam kehidupan kita? Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهجرَته إِلَى مَا هَاجر إِلَيْهِ

Maksudnya: Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung ( العبادة  المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13).

Kedua: Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Ketiga: Imam al-Ghazali berkata: “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan membuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang tidak akan memperolehi apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah.”

Keempat: Waktu niat dan tempatnya. Waktu berniat adalah di permulaan ibadah seperti ketika takbiratul ihram bagi ibdah solat, dan ketika berihram bagi haji. Adapun ibadah puasa dibolehkan untuk berniat sebelum waktunya disebabkan kesukaran untuk memerhatikan waktu fajar.

Manakala tempat niat pula adalah di hati. Begitu juga tidak disyaratkan untuk melafazkan niat, akan tetapi perbuatan melafazkan niat itu disunatkan bagi membantu hati untuk menghadirkannya.

Begitu juga turut disyaratkan dalam niat tersebut agar menentukan apa yang diniatkan dan dibezakannya dengan yang lain. Justeru, tidak cukup seseorang itu hanya berniat untuk melakukan solat, tetapi mestilah dia menentukan solatnya itu, sama ada solat Zuhur atau Asar atau sebagainya. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13).

Kelima: Ikhlas ialah sesuatu yang paling mulia bagi setiap amalan ibadat. Amal yang didasarkan kepada niat yang baik dan ikhlas diterima Allah dan diberi ganjarannya. Imam al-Nawawi dalam keterangannya mengenai amal yang disertai dengan niat yang baik berkata: Sesungguhnya amal ini ada tiga bahagian, iaitu:

  • Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah SWT. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
  • Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
  • Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah SWT dan kerana melaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seseorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Hadis ini memerlukan dua perkara dalam kehidupan kita iaitu pertamanya, niat yang tulus agar diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Antara tujuan niat ialah membezakan antara adat dengan ibadat. Jika ibadat maka ia akan diganjarkan pahala oleh Allah SWT. Begitu juga seperti kata Syeikh Ali al-Tahtawi: “Bila mana betul niat maka betullah amalan. Sebaliknya jika rosak niat maka rosaklah amalan.”

Kedua, perlunya kita berhijrah daripada baik kepada yang lebih baik dan menggunakan hijrah untuk memperbaiki kehidupan kita. Sejarah telah membuktikan bagaimana bermulanya kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat selepas berhijrah.

Al-Syeikh al-Khidri berkata: “Dengan hijrah ini, telah sempurnalah bagi Rasul kita SAW mengikut sunnah saudaranya dalam kalangan para Nabi. Ini kerana sunnah mereka adalah berhijrah dari tempat kelahiran mereka. Sepertimana yang telah berlaku daripada Ibrahim A.S hinggalah kepada Nabi Isa A.S.”

Sepertimana kata Dr. Muhammad Abu Faris “Sesungguhnya hijrah adalah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh (sejarah) dakwah Islamiyah.”

Bagi kefahaman yang lebih jelas berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “ Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *