#5367: Mengeluarkan Zakat Sebelum Waktu Wajib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh bagi kita mengeluarkan zakat sebelum waktu wajib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, saya mengucapkan syabas kepada anda kerana melakukan ibadat dan keinginan yang besar agar dapat dilaksanakannya walaupun waktu yang wajib belum lagi tiba. Hal ini mengingatkan kami kepada firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 148)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/10) berkata: Perkataan zakat (الزَّكَاة) diambil daripada (زَكَا الشَّيْء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”

 (Surah al-Syams: 9)

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Pendapat ulama yang sahih menyatakan bahawa zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum ibadah puasa Ramadhan difardhukan ke atas umat Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11).

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, zakat mempunyai beberapa syarat wajib. Di antaranya ialah:

  • Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
  • Memiliki nisab.
  • Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).

Tiga syarat ini ada dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:

Pertamanya, Islam. Orang kafir tidak diwajibkan berzakat. Ini berdasarkan hadith Mu‘az R.A sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Kewajipan berzakat dituntut setelah mereka menerima dakwah dan masuk Islam. Ini berdasarkan kata-kata Abu Bakar R.A:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَها رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ini adalah kewajipan berzakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.

            Riwayat al-Bukhari (1386)

Perkataan “ke atas orang Islam” itu jelas menunjukkan bahawa orang kafir tidak dituntut berzakat. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat harta. Namun begitu, bagi zakat fitrah pula, mereka wajib mengeluarkannya untuk keluarga mereka yang beragama Islam serta yang berada di bawah tanggungannya.

Keduanya, memiliki nisab. Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki.

Ketiganya, cukup setahun haul (حَوْل) Qamariah memiliki nisab. Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.

Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan zakat yang dikeluarkan sebelum waktu wajib, jika pemilik harta ingin mengeluarkan zakat sebelum tiba waktu wajib, mereka hendaklah melihat keadaan berikut (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/54):

Pertama: Sekiranya dia mengeluarkan zakat sebelum cukup nisabnya, ia tidak dikira dan tidak dianggap sebagai zakat. Ini bererti apabila hartanya mencukupi nisab dan genap setahun, dia wajib mengeluarkan zakat tanpa mengira harta yang telah dikeluarkan sebelum itu.

Ini kerana nisab yang menjadi sebab wajib zakat, tidak ada sama sekali. Perbuatan seperti itu umpama membayar harga sebelum berakad membeli barang. Pembayaran itu tidak dianggap sebagai harga dan tidak terlepas daripada wajib menyelesaikan hutang tersebut.

Kedua: Sekiranya zakat dikeluarkan setelah cukup nisab tetapi tidak genap setahun, ia tetap dikira sebagai zakat. Ini bermakna dia tidak perlu mengeluarkan zakat apabila tempoh nisabnya cukup setahun nanti. Ini berdasarkan hadith:

أَنَّ الْعَبَّاسَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ سَأَلَ رَسُول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي تَعْجِيلِ صَدَقَتِهِ قَبْلَ أَنْ تَحِلَّ, فَرَخَّصَ لَهُ فِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Ibn Abbas RA bertanya kepada Rasulullah SAW tentang zakatnya yang dikeluarkan sebelum tiba masanya. Baginda telah memberi kemudahan kepadanya dalam perkara tersebut.”

Riwayat Abu Daud (1624), al-Tirmizi (678) dan Ibn Majah (1795)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *