#5407: Tawakkal yang Hakiki

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kupas satu hadith berkaitan tawakal? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوْحُ بِطَانًا

Maksudnya: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana memberi rezeki kepada burung. Keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”

Riwayat Ahmad (4164) (370) (99), al- Tirmizi (2498) (2372), al-Nasaie (10488), Ibn Majah (4198), Ibn Hibban (730), dan al-Hakim (8008). Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan sahih

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Hakikat tawakkal adalah keyakinan hati yang benar kepada Allah SWT dalam mendapatkan kemaslahatan (kebaikan) dan menghindarkan mudharat (bahaya), sama ada berkenaan dengan urusan dunia mahupun akhirat. Adapun makna hadis tersebut adalah, bahawa jika manusia itu menanamkan rasa tawakkal kepada Allah dalam hatinya serta percaya sepenuhnya kepada-Nya untuk mendapatkan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka atau menghindarkan sesuatu yang berbahaya serta melakukan usaha yang bermanfaat, maka Allah akan menurunkan rezeki kepada mereka walaupun dengan usaha yang sangat mudah sebagaimana Allah menurunkan rezeki kepada burung-burung yang usahanya hanya keluar di waktu pagi dan kembali di waktu petang, dan itu adalah salah satu cara mencari rezeki, walaupun hanya dengan usaha yang sederhana. Mewujudkan rasa tawakkal itu tidak menafikan taqdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan yang sesuai dengan sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya, ini kerana sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kita untuk berusaha di samping itu juga memerintahkan untuk bertawakkal. Oleh yang demikian, berusaha melakukan urusan dengan anggota badan adalah bentuk ketaatan dan bertawakkal kepada Allah dengan hati adalah bentuk keimanan kepada-Nya.

Allah SWT berfirman:

  وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan bertakwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu bertawakkal.

(Surah al-Maidah: 11)

Dalam ayat tersebut Allah SWT menyebut bahawa tawakkal dengan takwa ialah dengan melakukan perkara yang diperintahkan, kerana bertawakkal sahaja tanpa melakukan perkara yang diperintahkan adalah sebuah ketidakmampuan walaupun seakan-akan seperti tawakkal. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya seorang hamba menjadikan rasa tawakkalnya itu sebagai ketidakmampuan dan menjadikan ketidakmampuannya itu sebagai bentuk rasa tawakkal. Yang sebenarnya adalah ia perlu menjadikan tawakkalnya itu didahului dengan daya dan usaha, ini kerana tawakkal tanpa usaha tidak akan tercapai. (Lihat Fatwa al-Lajnah al-Daimah. Fatwa (9580)).

Kedua: Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ

Maksudnya: Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan memberikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan memberikan kecukupan baginya.

(Surah al-Talaq: 2-3)

Ketiga: Hakikat tawakkal adalah benarnya penyerahan hati kepada Allah SWT dalam mengambil suatu kebaikan dan menghilangkan suatu keburukan daripada seluruh urusan dunia mahupun akhirat, dan beriman dengan seyakin-yakinnya bahawa tidak ada yang dapat memberi dan mencegah, serta memberikan keburukan dan manfaat kecuali hanya Allah sahaja.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Islam mengajar kepada kita agar bertawakkal kepada-Nya. Begitu juga dalam hadis ini Rasulullah SAW menerangkan hakikat dan mafhum tawakkal yang sebenar yang mesti disulami dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa dan juga kemalasan.

Mencari asbab dalam tindakan adalah sunnatullah yang mesti dipatuhi selain daripada berdoa dan berharap sepenuhnya kepada Allah.

Kesilapan umat Islam dalam memahami erti tawakkal menyebabkan mereka menjadi umat yang mundur, lesu, lemah, tidak berdaya saing dan terkebelakang. Akhirnya diinjak dan dipijak oleh umat yang lain. Justeru, marilah kita kembali kepada hakikat tawakkal yang sebenar.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *