#5408: Fadhilat Puasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan fadhilat dari pensyariatan puasa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara fadhilat berpuasa adalah:

  1. Puasa itu sebagai perisai

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصِّيامُ جُنَّةٌ

Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai.”

Riwayat al-Bukhari (1894) dan Muslim (1151)

Berkenaan dengan maksud perisai di sini, terdapat beberapa tafsiran para ulama:

  • Ibn Abd al-Bar berpendapat, ia sebagai pelindung dan perisai daripada api neraka. Ini dikuatkan dengan beberapa riwayat, seperti riwayat al-Baihaqi dan lain-lain.
  • Ia sebagai pelindung yang menyelamatkan tuannya daripada mengikut nafsu syahwat. Ini juga disokong dengan dalil seperti yang dinyatakan oleh Ibn al-Athir dalam kitabnya al-Nihayah.
  • Al-Qadhi Iyadh berpendapat, ia adalah pelindung daripada sebarang dosa.
  • Al-Munawi berkata: “Penjagaan (dari Allah) di dunia ialah daripada melakukan maksiat dengan disekat nafsu syahwat dan menjga anggota (daripada maksiat). Adapun penjagaan di akhirat dijauhkan daripada api neraka.” (Lihat Ramadhan al-Mubarak: Fadhilat dan Hukum Puasa, 72-73)
  1. Puasa Adalah Pintu Ibadat

Daripada Abi Darda’ dengan sanad yang dhaif, bahawasa- nya Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ شَيْءٍ بَابٌ وَبَابُ العِبَادَةِ الصَّومُ

Maksudnya: “Bagi setiap sesuatu mempunyai pintu dan pintu ibadat itu ialah puasa.”

Riwayat Ibn Mubarak dalam al- Zuhd, daripada tariq Abi Syeikh dalam al-Thawab.

Hal ini dapat difahami dengan mudah di mana seseorang yang melakukan ibadat puasa pada ghalib- nya mudah melakukan acara ibadat yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir, ke masjid, bertarawih, bersedekah dan lain-lain.

  1. Waktu khatam al-Quran

Sebahagian ulama memilih waktu tertentu untuk khatamkan al-Quran sama ada dalam ibadah atau lainnya. Dinukilkan di sini cara dan waktu mereka khatam al-Quran.

  • Mansur Bin Zadan dari kalangan tabiin khatam al-Quran antara Zohor dan Asar begitu juga dilakukannya antara Maghrib dan Isyak.
  • Syeikh Said Bin Musfir al-Qahtani khatam pada siang Ramadan dengan bacaan dimulakan selepas Subuh tanpa henti kecuali untuk wuduk dan solat hingga hampir solat Maghrib.
  • Syeikh Muhammad Bin Abdul Rahman Bin Qasim khatam al-Quran sehari sekali. Beliau membaca al-Quran selepas Subuh hingga waktu Jumaat. Dikatakan beliau khatam al-Quran 2 kali sehari ketika berada di Mekah.
  • Mujahid dalam kalangan tabiin khatam al-Quran antara Maghrib dan Isyak.
  • Ali al-Uzdi khatam al-Quran antara Maghrib dan Isyak pada setiap malam Ramadan.
  1. Pahala dilipat gandakan.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat Ahmad, al-Tirmizi (807) dan al-Nasa’ie (3331)

  1. Puasa boleh memberi kesihatan.

Sabda Nabi SAW:

 صُومُوا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Berpuasalah, maka kamu akan sihat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8312) dan Abu Nu’aim dalam al-Tibb al-Nabawi (113). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (3/108) menyatakan isnadnya dha’if.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *