#5409: Hadith 40: Beriman & Istiqamah Serta Aplikasinya dalam Kehidupan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Boleh Dato syarah secara ringkas hadith berkaitan iman dan istiqomah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

يَا رَسُوْلَ اللهِ ! قُلْ لِي فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun se- lainmu.”Sabda Baginda: Katakanlah – آمَنْتُ بِالله ‘ Aku beriman kepada Allah’ kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al- Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Betapa lobanya para sahabat untuk membetulkan ke- hidupannya mengikut syariah Islam dengan merujuk kepada sumber hukum yang sebenar, iaitu Rasulullah SAW. Beliau hanya mahu bertanya kepada Rasulullah SAW semata-mata.

Kedua: Betapa berakalnya sahabat ini iaitu Abu Amrah RA kerana bertanya persoalan yang besar yang terdapat padanya kesudahan sebuah kehidupan, sehingga tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapapun.

Ketiga: Jawapan Nabi SAW dengan iman yang memberi isyarat betapa pentingnya iman itu. Kami perincikan perbahasan Iman di sini:

Iman dari segi bahasa adalah kepercayaan dan membenarkan. Kata Ibn Manzur di dalam kitab Lisan al-Arab. Para ulama bahasa arab dan yang lainnya telah sepakat menyatakan bahawa pengertian iman adalah percaya dan membenarkan hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَنتَ بِمُؤْمِنٍ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَدِقِينَ

Maksudnya: Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar.

(Surah Yusuf: 17)

Hadis ini juga menggesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat-sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana ia boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah.

Keempat: Antara bentuk istiqamah ialah:

  • Melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  • Menambahkan ibadat yang sunat.
  • Menjauhi perkara yang haram.
  • Melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Sebahagian ulama menyebut: “Istiqamah dengan makna thabit atau tetap tanpa gundah gulana dan luntur semangat. Contohilah semut. Ketika mengambil gula di dalam botol meskipun kita mengusirnya, namun ia tidak lari sebelum mendapat gula tersebut. Dengan bersusah payah, akhirnya dia berjaya membawa gula yang lebih besar dari tubuhnya. Dari kehidupan binatang pun kita dapat menirunya. Semut yang tidak mempunyai akalpun boleh mencapai kejayaan apatah lagi kita manusia yang mempunyai akal!”

Perkataan istiqamah mengandungi maksud mujahadah. Istiqamah terhadap agama tidak akan datang melainkan selepas kesusahan dan kesabaran.

Kami nyatakan di sini mutiara hikmah:

Pujangga berkata: “Jangan sia-siakan usia anda dengan sering bertukar ganti kerjaya dan pekerjaan. Sikap suka bertukar ganti seperti ini menunjukkan bahawa anda tidak pernah berjaya dalam apa jua hal pun.”

Pujangga berkata: “Jangan jadi seperti lalat yang hanya hinggap di atas luka. Jangan mempermainkan kehormatan orang lain, memperkotak katik aib mereka, merasa senang dan bahkan menginginkan kejatuhan mereka.”

Sebahagian ulama berkata: “Mereka beristiqamah pada perkataan sebagaimana mereka beristiqamah pada perbuatan. Begitu juga mereka beristiqamah dalam keadaan secara sembunyi sebagaimana mereka beristiqamah dalam keadaan nyata dan terang. Benarlah pesanan Nabi SAW:

اسْتَقِيمُوا وَلَنْ تُحْصُوا ، وَاعْلَمُوا أَنَّ خَيْرَ أَعْمَالِكُمُ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu beristiqamah; walaupun kamu tidak akan berupaya (untuk istiqamah dengan sempurna). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan kamu adalah solat.

Riwayat Ibn Majah (277) dan Ahmad (22378). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad (22328) m nyatakan hadis ini sahih.

Seorang ulama iaitu al-Hasan al-Basri apabila membaca ayat ber- kenaan dengan istiqamah ini akan membaca doa:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا، فَارْزُقْنَا الإِسْتِقَامَةَ

Maksudnya: “Ya Allah Engkaulah Tuhan kami, maka kurniakanlah kami dengan istiqamah.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 7/172)

Semoga Allah kurniakan kepada kita iman dan istiqamah dalam melayari kehidupan di dunia ini agar kita beroleh keredhaan daripada Nya. Amin.

Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *