#5481: Makruh dan Pembahagiannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah definisi makruh, pembahagian dan contohnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Makruh

Asal perkataan makruh atau karahah ialah benci atau tidak disukai. Digunakan karahah dengan maksud sunat tidak dilakukannya. Makruh ini apabila ditinggalkan mendapat pahala, manakala melakukannya tidak mendapat dosa. (Lihat Matan al-Waraqat, hlm. 7; Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul fi Ilm Usul, 1/64)

Pembahagian Makruh

Makruh terbahagi kepada dua jenis:

Makruh tahrim: Ialah perkara yang syarak menuntut supaya ditinggalkan secara muktamad. Tetapi tahap tuntutan tersebut kurang daripada tuntutan meninggalkan perkara haram, dan diberikan pah pahala jika ditinggalkan semata-mata mematuhi perintah Allah SWT. Namun dikenakan balasan seksa jika melakukannya, tetapi tidak sama dengan balasan seksa melakukan perkara yang haram.

Contohnya melakukan solat sunat mutlaq ketika matahari terbit atau ketika terbenam, hukumnya makruh tahrim.

Makruh tanzih: Perkara yang dituntut oleh syarak supaya ditinggalkan secara tidak muktamad, dan diberi pahala apabila ditinggalkannya kerana mematuhi perintah Allah SWT. Namun tidak dikenakan balasan azab jika dilakukan.

Contohnya, berpuasa pada hari Arafah bagi jemaah haji. Mereka yang meninggalkannya akan diberi pahala kerana mematuhi perintah Allah SWT dan tidak dikenakan balasan seksa jika melakukannya.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

1 thoughts on “#5481: Makruh dan Pembahagiannya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *