Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang pemandu teksi. Saya ingin bertanya apakah hukum jika saya membawa seorang pelanggan. Tetapi, dalam beg pelanggan tersebut ada arak, adakah saya dikira bersubahat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak dengan zatnya itu adalah diharamkan dan nas al-Quran memerintahkan kita untuk menjauhinya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.”

Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.

Sabda Nabi SAW:

 لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukumnya dimaafkan kerana ketika itu tujuan anda adalah menjalankan tugas sebagai pemandu teksi sahaja dan bukannya bersekongkol membawa arak. Maka, dalam isu ini kita ambil kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya: “Pengikut adalah mengikuti.”

Oleh itu, berdasarkan kaedah di atas, dapat difahami bahawa pengikut mengambil hukum asalnya yakni yang diikut. (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah Baina Asliyyah wa Taujih, 15/1)

Begitu juga, asal tujuan anda adalah untuk membawa penumpang tersebut ke tempat destinasinya sahaja dan bukannya tujuan untuk membawa arak. Maka, ketika itu, ia dimaafkan oleh syarak.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *