#5513: Cara Nabi SAW Dimi‘rajkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara Nabi SAW dinaikkan ke langit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat riwayat-riwayat yang dha‘if, yang menjelaskan mengenai wasilah khusus yang digunakan oleh Nabi SAW untuk naik ke langit, iaitu melalui al-Mi‘raj. Maksud al-Mi‘raj di sini ialah tangga yang digunakan untuk naik ke atas. Apa yang pastinya, ia bukanlah seperti tangga-tangga di dunia, sebagaimana buraq juga bukanlah seperti haiwan-haiwan dunia.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani telah menghimpunkan riwayat-riwayat ini dalam Fath al-Bari (7/208). Selepas beliau menyebutkan riwayat Anas daripada Malik bin Sa‘sa‘ah R.Anhuma, beliau menyatakan pula, adapun naik ke langit, dalam riwayat selain daripada riwayat ini menyatakan bahawa Baginda SAW tidak menunggang buraq. Sebaliknya Baginda menaiki Mi‘raj iaitu tangga sebagaimana yang dinyatakan secara jelas dalam hadith Abu Sa‘id R.A, yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Dala’il. Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ دَخَلْتُ أَنَا وَجِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَصَلَّى كُلُّ وَاحِدٍ مِنَّا رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ أُتِيتُ بِالْمِعْرَاجِ الَّذِي تَعْرُجُ عَلَيْهِ أَرْوَاحُ بَنِي آدَمَ

Maksudnya:Kemudian aku dan Jibril AS memasuki Baitul Maqdis. Lalu kami masing-masing mendirikan solat dua rakaat. Selepas itu, aku dibawakan Mi‘raj yang dinaiki ruh anak-anak Adam.” (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, 2/391).

Manakala dalam riwayat Ibn Ishaq daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا فَرَغْتُ مِمَّا كَانَ فِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ أُتِيَ بِالْمِعْرَاجِ، فَلَمْ أَرَ قَطُّ شَيْئًا كَانَ أَحْسَنَ مِنْهُ، وَهُوَ الَّذِي يَمُدُّ إِلَيْهِ الْمَيِّتُ عَيْنَيْهِ إِذَا حُضِرَ، فَأَصْعَدَنِي صَاحِبِي فِيهِ حَتَّى انْتَهَى بِي إِلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ السَّمَاءِ

Maksudnya:Apabila aku selesai melakukan semua yang perlu dilakukan di Baitul Maqdis, dibawakan pula (kepadaku) Mi‘raj. Aku tidak pernah melihat sesuatu pun yang lebih indah daripadanya. Ia akan membuatkan orang yang mati memandang dengan kedua matanya seperti ibarat orang yang dalam sakaratul maut, apabila dibawakan (diperlihatkan kepadanya). Lalu teman musafirku (Jibril) membawaku menaikinya sehinggalah aku sampai di salah satu pintu langit.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/403).

Seterusnya dalam riwayat Ka‘ab R.A, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Fadha’il Bait al-Maqdis:

فَوُضِعَتْ لَهُ مَرْقَاةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَمَرْقَاةٌ مِنْ ذَهَبٍ، حَتَّى عَرَجَ هُوَ وَجِبْرِيلُ

Maksudnya:Lalu diletakkan (didatangkan) buat Nabi SAW tangga daripada perak dan tangga daripada emas, sehinggalah Baginda SAW dan Jibril AS menaikinya.” (Lihat Fadha’il Bait al-Maqdis oleh Ibn al-Marja, hlm. 159-160).

Manakala dalam riwayat Abu Sa‘id R.A, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Syaraf al-Mustafa:

أَنَّهُ أُتِيَ بِالْمِعْرَاجِ مِنْ جَنَّةِ الْفِرْدَوْسِ، وَأَنَّهُ مُنَضَّدٌ بِاللُّؤْلُؤِ، وَعَنْ يَمِينِهِ مَلاَئِكَةٌ وَعَنْ يَسَارِهِ مَلاَئِكَةٌ

Maksudnya:Baginda SAW dibawakan mi‘raj (tangga) dari syurga Firdaus, dan mi‘raj tersebut bertatahkan mutiara. Terdapat di sebelah kanan dan kirinya para Malaikat.” (Lihat Syaraf al-Mustafa oleh Abu Sa‘ad, 2/169).

Selain daripada itu, perlu diperhatikan juga beberapa perkara yang menyokong perpindahan Rasulullah SAW ke langit melalui jalan Mi‘raj. Antaranya:

Pertama: Riwayat-riwayat ini, walaupun dha‘if, tetapi ia mempunyai jalur-jalur yang berbeza yang menguatkan antara satu sama lain.

Kedua: Dalam riwayat al-Bukhari, daripada Abu Zar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِي، فَعَرَجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

Maksudnya: Seterusnya Jibril memegang tanganku dan membawaku naik ke langit dunia.

Riwayat al-Bukhari (349)

Dalam riwayat ini, tidak dinyatakan mengenai perihal buraq, sebaliknya Rasulullah SAW menggunakan lafaz “ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِي” menunjukkan bahawa kemunasabahan Baginda SAW naik ke atas dengan menggunakan Mi‘raj (tangga) adalah lebih banyak berbanding menunggang Buraq.

Ketiga: Ketika disifatkan berkenaan naiknya ke langit, maka bahasa yang paling baik digunakan ialah “العروج” dan bukannya “المعراج”. Hal ini kerana  “العروج” bermaksud naik, manakala “المعراج” pula ialah nama alat untuk dinaiki, iaitu “السُّلَم” yang bermaksud tangga. Sesungguhnya lafaz yang masyhur dalam kalangan para muhaddithin dan penulis sirah adalah lafaz “المعراج” bagi menunjukkan berkenaan rehlah ini. Tambahan lagi, Imam al-Bukhari telah menulis dalam kitab Sahihnya dalam bab al-Mi’raj; di samping para ulama yang mensyarahkannya turut menggunakan kalimah “العروج” apabila mereka menyifatkan berkenaan keadaan naiknya Rasulullah SAW ke langit. Hal ini kesemuanya menunjukkan kesan bahawa yang masyhur dalam kalangan para Imam hadith yang terdahulu ialah rehlah ini terjadi melalui pendakian di atas “المعراج” iaitu tangga. Sekiranya Baginda SAW naik ke langit melalui Buraq, pastilah rehlah ini lebih utama untuk dinamakan sebagai al-Isra’ wa al-‘Uruj (الإسراء والعروج). Malah perkara itu juga adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Kathir, al-Salihi dan selain keduanya dalam kalangan ulama sirah.

Ibn Kathir menyatakan bahawa maksudnya adalah apabila Rasulullah SAW selesai urusannya di Baitul Maqdis, dibawakan kepadanya mi‘raj iaitu tangga. Lalu Baginda SAW menaikinya untuk ke langit, dan bukannya naik ke langit dengan menunggang buraq sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang. Apatah lagi buraq tersebut diikat pada pintu Masjid Baitul Maqdis, supaya Baginda SAW boleh kembali semula ke Makkah dengan menunggangnya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/138).

Begitu juga al-Suyuti juga ada menyebutkan, pendapat yang sahih sebagaimana yang telah diputuskan daripada hadith-hadith yang sahih bahawa cara Baginda SAW naik ke langit itu adalah dengan menggunakan mi’raj (tangga) dan bukannya dengan menunggang buraq. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 60).

 

Keempat: Firman Allah SWT:

مِّنَ اللَّهِ ذِي الْمَعَارِجِ (3) تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Maksudnya:Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik. Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

(Surah al-Ma‘arij: 3-4)

Tafsiran para ulama berkenaan maksud “الْمَعَارِجِ” (tempat-tempat turun naik) adalah berbilang-bilang dan tidak disepakati mengenainya. Begitu juga tafsiran “naiknya para Malaikat”, tafsiran berkenaan maksud yang dikehendaki dengan lafaz ruh, dan tafsiran “hari yang tempohnya 50 ribu tahun.” Akan tetapi kami berpendapat, konteksnya menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan “الْمَعَارِجِ” di sini adalah cara atau wasilah yang digunakan oleh para Malaikat untuk naik ke langit (atau turun darinya). Hal ini kerana Allah SWT menyatakan dalam ayat selepasnya, “تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ” (yang dilalui oleh para Malaikat). Justeru, ia merupakan penjelasan bagi maksud yang dikehendaki untuk lafaz “الْمَعَارِجِ” dalam ayat sebelumnya, dan bukanlah maksudnya sebagai suatu kedudukan (darjat) yang dekat dengan Allah atau darjat-darjat syurga sebagaimana yang ditafsirkan oleh sebahagian ulama.

Begitu juga lafaz “ الروح” (Ruh) dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai Jibril AS sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian ulama,[1] dan ia (yakni dengan makna ini) sesuai untuk dihimpunkannya bersama para malaikat. Selain itu, boleh jadi juga maksudnya adalah ruh-ruh orang beriman yang dibawa naik ke langit ketujuh selepas kematian mereka, kemudian dibawa kembali ke bumi. Sekalipun begitu, kami cenderung kepada tafsiran bahawa ia merujuk kepada Jibril AS, dan dialah yang dilihat sesuai untuk dihimpunkan bersama para malaikat. Justeru, mengikut tafsiran ini juga kami berpendapat, maksud “hari yang tempohnya 50 ribu tahun” adalah merujuk kepada kepantasan (kelajuan) naiknya Jibril dan sebahagian malaikat kepada Allah SWT, dan bukanlah maksudnya di sini merujuk kepada hari kiamat atau selainnya. Seolah-olah jadilah maknanya, Jibril dan sebahagian malaikat naik dari bumi ke langit dalam satu hari seperti yang dilalui manusia dalam tempoh lima puluh ribu tahun, dan ini adalah kelajuan (kepantasan) perjalanan Mi‘raj yang berlaku — wallahu a‘lam — di mana Jibril AS adalah teman permusafiran Baginda di dalam perjalanan tersebut.

Di samping itu, apa yang mendorong kami untuk berpendapat bahawa hal ini khusus untuk sebahagian malaikat bersama Jibril AS, dan bukannya semua malaikat kerana Allah SWT turut menyebut perkiraan kelajuan (kepantasan) ini dalam ayat-ayat yang lain. Di antaranya firman Allah SWT:

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Maksudnya:Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya; (bagi melaksanakan tadbir-Nya itu Dia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuan-Nya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

(Surah al-Sajdah: 5)

Ayat ini membahaskan berkenaan pengaturan Tuhan sekalian alam bagi urusan bumi dan ini adalah melalui para malaikat. Konteks ayat menunjukkan bahawa para malaikat turun dengan perintah daripada Allah SWT, kemudian kembali semula kepada-Nya sekali lagi — iaitu pergi dan pulang — dalam tempoh sehari yang sama dengan seribu tahun mengikut hari-hari manusia. Dalam erti kata lain, pendakian atau kenaikan sahaja berlaku dalam tempoh lima ratus tahun manusia. Jadi, ini bermakna apa yang dicapai manusia dalam tempoh lima ratus tahun, boleh dicapai oleh malaikat dalam satu hari. Ini bermakna kepantasan (kelajuan) Jibril AS adalah seratus kali ganda lebih pantas berbanding kebanyakan malaikat yang lain, dan ia adalah sesuatu boleh berlaku (munasabah) kerana dia ialah malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu. Maka termasuk dalam tabiat tugasannya itu, untuk turun membawa perintah (wahyu) daripada Allah SWT sejurus selepas berlakunya sesuatu peristiwa tersebut. Betapa banyaknya peristiwa-peristiwa dalam sirah yang berlaku, di mana Jibril AS turun membawa wahyu kepada Rasulullah SAW sebaik sahaja Baginda perlu mengetahui perintah Allah SWT.

 

Kelima: Perkara ini juga dikuatkan lagi dengan kewujudan mi‘raj bagi ruh orang-orang mati. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ibn Majah, daripada Ummu Salamah R.Anha, katanya:

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ فَأَغْمَضَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ

Maksudnya: Ketika Abu Salamah meninggal, Rasulullah SAW datang ke rumah kami untuk melihat jenazahnya. Saat itu, mata Abu Salamah tengah terbeliak, maka Baginda SAW pun menutupnya. Kemudian Baginda SAW bersabda: ‘Apabila ruh telah dicabut, maka penglihatan akan mengikutinya.’

Riwayat Muslim (920) dan Ibn Majah (1198)

Begitu juga dengan riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW menyifatkan berkenaan dengan pergerakan Malaikat yang membawa ruh mati orang yang beriman:

فَيَصْعَدُونَ بِهَا، فَلاَ يَمُرُّونَ، يَعْنِي بِهَا، عَلَى مَلإٍ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ، إِلاَّ قَالُوا: مَا هَذَا الرُّوحُ الطَّيِّبُ؟

Maksudnya:Malaikat lantas membawa naik ruh tersebut, hingga tidaklah mereka melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka bertanya-tanya: ‘Ruh siapakah yang wangi ini?’

Riwayat Ahmad (18534). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih sebagaimana dalam Takhrij al-Musnad (18534).

Dalam hal ini, tidak dijelaskan kalimah “الصعود” berkenaan proses naiknya ruh tersebut ke langit menggunakan tangga atau mi’raj.

Keenam: Di sana terdapat riwayat Huzaifah bin al-Yaman R.A yang memberi gambaran bahawa naiknya Baginda SAW ke langit adalah dengan menunggang buraq, dan ini bertentangan dengan apa yang kita telah sebutkan sebelum ini. Sesungguhnya Zir bin Hubaisy — dan dia merupakan salah seorang kibar al-Tabi‘in — ada meriwayatkan daripada Huzaifah R.A bahawa Nabi SAW:

أُتِيَ بِالْبُرَاقِ، وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ، يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ، قَالَ: فَلَمْ يُزَايِلْ ظَهْرَهُ هُوَ وَجِبْرِيلُ حَتَّى أَتَيَا بَيْتَ الْمَقْدِسِ، وَفُتِحَتْ لَهُمَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَرَأَيَا الْجَنَّةَ وَالنَّارَ، قَالَ: وَقَالَ حُذَيْفَةُ: وَلَمْ يُصَلِّ فِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ، قَالَ زِرٌّ: فَقُلْتُ: بَلَى قَدْ صَلَّى، قَالَ حُذَيْفَةُ: مَا اسْمُكَ يَا أَصْلَعُ؟ فَإِنِّي أَعْرِفُ وَجْهَكَ وَلَا أَدْرِي مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: قُلْتُ: أَنَا زِرُّ بْنُ حُبَيْشٍ، قَالَ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ وَهَلْ تَجِدُهُ صَلَّى؟ قَالَ: قُلْتُ: لِقَوْلِ اللهِ: {سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ} [الإسراء: ١] الْآيَةَ، قَالَ: وَهَلْ تَجِدُهُ صَلَّى؟ لَوْ صَلَّى فِيهِ صَلَّيْنَا فِيهِ كَمَا نُصَلِّي فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَقِيلَ لِحُذَيْفَةَ: رَبَطَ الدَّابَّةَ بِالْحَلَقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهَا الْأَنْبِيَاءُ، فَقَالَ حُذَيْفَةُ: أَوَ كَانَ يَخَافُ أَنْ تَذْهَبَ، وَقَدْ آتَاهُ اللهُ بِهَا؟

Maksudnya:Dibawakan Buraq, dan ia seekor binatang yang berwarna putih dan tinggi. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya.” Beliau berkata: “Baginda dan Jibril tetap berada di belakangnya sehinggalah kedua-duanya sampai di Baitul Maqdis, dibukakan untuk kedua-duanya pintu-pintu langit, dan kedua-duanya melihat syurga dan neraka.” Zir berkata: Huzaifah berkata: “Baginda tidak solat di Baitul Maqdis.”  Zir berkata: Aku berkata: “Bahkan Baginda mendirikan solat.” Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Apakah nama engkau, wahai si botak? Sesungguhnya aku mengenali wajah engkau, tetapi aku tidak tahu nama engkau.” Zir berkata: Aku menjawab: “Aku bernama Zir bin Hubaisy.” Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Bagaimanakah engkau tahu bahawasanya Rasulullah SAW mendirikan solat di masjid itu pada malam tersebut?” Zir berkata: Aku menjawab: “Berdasarkan firman Allah SWT: “سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ” (Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya — Muhammad.”)[Surah al-Isra’: 1] sehingga akhir ayat. Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Adakah engkau mendapatinya mendirikan solat? Kalaulah benar Baginda (diperintahkan) mendirikan solat di dalamnya, pasti kami juga akan mendirikan solat di dalamnya sebagaimana kami mendirikan solat di Masjidil Haram.” Dikatakan juga kepada Huzaifah bin al-Yaman: “Baginda mengikat haiwan tersebut di suatu tiang yang menjadi tempat biasa para Nabi mengikat haiwan tunggangannya. Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Apa mungkin Baginda risau haiwan tersebut pergi meninggalkannya, padahal Allah SWT telah memberikannya untuk Baginda?

Riwayat Ahmad (23343); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (38/369) menilai sanadnya sebagai hasan disebabkan oleh ‘Asim bin Bahdalah. Manakala baki perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih.

Riwayat di atas pada hakikatnya berbeza dengan riwayat-riwayat Isra’ dan Mi‘raj yang dinukilkan daripada Malik bin Sa‘sa‘ah, Anas bin Malik, Abu Zar al-Ghifari, Abu Sa‘id al-Khudri dan selain mereka dalam kalangan para sahabat R.Anhum. Perbezaan tersebut dalam banyak perkara (aspek). Di antaranya Huzaifah dalam riwayatnya menafikan bahawa Rasulullah SAW mendirikan solat di Baitul Maqdis, dan beliau menyatakan sebabnya adalah supaya ia tidak menjadi suatu kefardhuan ke atas kaum Muslimin. Begitu juga Huzaifah menafikan perbuatan Baginda SAW mengikat buraq di luar masjid. Begitu juga beliau menafikan perbuatan Baginda SAW meninggalkan belakang buraq sepanjang perjalanan Isra’ dan Mi‘raj. Perkara ini, kesemuanya menyalahi apa yang telah disebutkan oleh para sahabat yang lain. Malah beliau di sini tidak menyebutkan secara jelas bahawasanya ia adalah perintah (hadith) yang didengari daripada Rasulullah SAW sendiri. Justeru, ia adalah suatu ijtihad daripada dirinya sendiri, dan ijtihadnya itu telah bertentangan dengan ijma‘ sahabat. Begitu juga ‘illah (sebab) yang dinyatakan olehnya berkenaan ketiadaan solat di Masjid al-Aqsa juga menyalahi perbuatan para sahabat dan mereka benar-benar memahami perintah tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW dalam banyak tempat telah mengajarkannya kepada para sahabat, akan tetapi mereka tidak memahaminya bahawa solat di dalamnya itu sebagai wajib. Bahkan sebaliknya Umar bin al-Khattab R.A melarang daripada pergi ke tempat-tempat seperti ini (yakni mencari-mencari athar atau kesan tempat peninggalan Nabi) kerana bimbang salah seorang daripada kaum Muslimin menambah-nambah (suatu kewajipan yang asalnya bukan wajib pun) dalam agama dan sunnah.

Terdapat riwayat daripada Ma‘rur bin Suwaid al-Asadi, katanya: Aku telah bersama Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab dalam satu rombongan haji. Apabila beliau bertolak kembali ke Madinah, maka aku turut sama bertolak bersamanya. Beliau mengimamkan buat kami solat Subuh, dan beliau membaca di dalamnya (selepas surah al-fatihah): Surah al-Fil dan Surah al-Quraisy. Kemudian beliau melihat orang ramai pergi ke suatu tempat, lalu beliau bertanya: “Ke manakah mereka pergi?” Mereka menjawab: “Mereka pergi ke tempat sujud (solat) di sana, yang dahulunya Rasulullah pernah mendirikan solat di situ.” Maka Umar R.A berkata:

إِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِأَشْبَاهِ هَذِهِ؛ يَتَّبِعُونَ آثَارَ أَنْبِيَائِهِمْ، فَاتَّخَذُوهَا كَنَائِسَ وَبِيَعًا، وَمَنْ أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فِي شَيْءٍ مِنْ هَذِهِ الْمَسَاجِدِ الَّتِي صَلَّى فِيهَا رَسُولُ اللهِ، فَلْيُصَلِّ فِيهَا، وَلاَ يَتَعَمَّدَنَّهَا

Maksudnya:Sesungguhnya mereka sebelum daripada kamu dibinasakan disebabkan oleh perkara seumpama ini, mereka mengikuti kesan tinggalan nabi-nabi mereka, kemudian mereka menjadikannya sebagai gereja dan juga jualan. Maka sesiapa yang mengetahui sesuatu pun tempat daripada tempat yang Rasulullah solat, maka solatlah di situ, dan janganlah dia mewajibkannya.

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (2734), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7550), dan al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (12/545). Ibn Kathir menilai sanadnya sebagai sahih, wallahu a‘lam. (Lihat Musnad al-Faruq, 1/142; Thamar al-Mustatab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab, 1/471).

Maka, hujah Huzaifah R.A tidak thabit dan begitu juga tidak semestinya menjadi wajib solat di Baitul Maqdis sekalipun terbukti bahawa Rasulullah SAW solat di dalamnya. Apatah lagi, kaedah usul menetapkan, “الْمُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّافِي” (yang menetapkan lebih didahulukan kata-katanya berbanding yang menafikan). Sesungguhnya telah thabit daripada ramai sahabat bahawa Rasulullah SAW mendirikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, dan begitu juga terikatnya Buraq di luar Masjid al-Aqsa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Al-Mawardi ketika menafsirkan ayat “تَعْرُجُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ” menyebutkan, lafaz “تَعْرُجُ” bermaksud “تصعد” iaitu naik ke atas. Manakala maksud lafaz “الرُّوحُ” (Ruh) pula ada tiga pendapat:

  • Pendapat pertama, ia adalah ruh orang mati apabila dicabut. Ini adalah pendapat Qabisah bin Zu’aib, dan dia telah memarfu‘kan riwayat ini.
  • Pendapat kedua, ia adalah Jibril sebagaimana firman Allah SWT:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ

Maksudnya:Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.

(Surah al-Syu‘ara’: 193)

  • Pendapat ketiga, ia adalah salah satu makhluk ciptaan Allah seperti rupa manusia, tetapi bukannya manusia. Ini adalah pendapat Abu Soleh. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/90).

Manakala Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan, al-Ruh menurut jumhur ulama adalah Jibril AS, dan dikhususkan dengan menyebutnya (secara berasingan) adalah bertujuan untuk memuliakannya. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, 5/365). Begitu juga al-Qurtubi turut menyebutkan bahawa al-Ruh adalah merujuk kepada Jibril AS. Ini juga merupakan pendapat Ibn Abbas R.Anhuma. Dalilnya adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 193, Surah al-Syu‘ara’ seperti yang telah disebutkan di atas. Ada juga yang berpendapat, ia adalah malaikat yang lain, yang juga agung penciptaannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/281).

Ibn Kathir pula menyatakan, boleh jadi yang dimaksudkan dengan al-Ruh itu ialah Jibril AS, dan ia daripada bab menghubungkan lafaz khusus kepada lafaz umum (باب عطف الخاص على العام). Boleh jadi juga ia adalah Ism Jins (اسم جنس) bagi ruh anak-anak Adam kerana apabila ia dicabut, ia akan dibawa naik ke langit. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/221).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *