#5514: Maksud (الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ) dalam Surah al-Isra’ Ayat 1

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud (الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ) dalam Surah Al-Isra’ ayat 1?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (Surah al-Isra’: 1)

Lafaz “الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ” (iaitu yang Kami berkati sekelilingnya) ditafsirkan seperti berikut:

  • Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Yang kami jadikan sekelilingnya keberkatan bagi penduduknya dalam kehidupan, makan, minum dan hasil mahsul tanaman dengan kebun-kebun mereka.” Begitu juga yang disebut oleh Ibn Kathir bahawa mmaknanya ialah “Kami jadikan sekelilingnya dengan keberkatan pada tanam-tanaman dan buah-buahan.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/12; lihat juga Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/5).
  • Mujahid menyatakan, dinamakannya dengan mubarak atau yang diberkati kerana ia merupakan tempat kediaman para nabi. Begitu juga padanya malaikat turun dan juga wahyu serta padanya satu batu (sakhrah). Dan daripadanya manusia dikumpulkan pada hari kiamat. (Lihat Tafsir al-Tha‘labi, 1/1315).
  • Manakala al-Qurtubi pula menyatakan, terdapat banyak maksud dan tafsiran berkenaan ayat di atas. Di antaranya:
    1. Dengan buah-buahan dan pengairan sungai.
    2. Dengan siapa yang dikebumikan di sekelilingnya daripada para nabi dan orang soleh. Justeru, dijadikan di sini sebagai tempat yang disucikan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/212).

Abu Hayyan ketika menafsirkannya menyatakan: “Yang kami berkati sekelilingnya merupakan sifat pujian bagi menghilangkan sebarang bentuk syarat yang mendatang dan keberkatannya dikhususkan daripada sebarang bentuk kebaikan agama seperti kenabian, syariat dan rasul yang mana mereka berada di kawasan tersebut atau sekitarnya.  Begitu juga berkat dunia pula kerana banyaknya tumbuhan pohon kayu, sungai-sungai dan tanahnya yang subur.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 7/322).

  • Selanjutnya Ibn Juzai pula menyebutkan, berkat di sekelilingnya mempunyai dua maksud iaitu:
    1. Keberkatan padanya dan sekitarnya dengan para nabi
    2. Banyaknya buah-buahan dan tanam-tanaman yang Allah khususkan di bumi Syam. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/877).
  • Al-Maraghi pula berkata: “Yang kami berkati penghidupan penduduk di sekelilingnya termasuk makanan, tanaman dan ladang mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3883).
  • Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Allah sifatkannya kerana mengandungi kebesarannya dan itulah menjadi tumpuan kerana Allah kurniakan padanya kebesaran dan keagungan dengan air dan juga tanam-tanaman.” (Lihat al-Siraj al-Munir, 1/2022) .
  • Ibn ‘Asyur berkata: “Ayat ini sebagai sifat bagi Masjidil Aqsa dan didatangkan pada sifat dengan mausul sebagai qasad bagi kemasyhuran yang disifatkan yang mengandungi hubungan atau silah sehingga seolah-olah apa yang disifatkan menjadi masyhur dengan silah di sisi pendengar. Maksudnnya supaya mendapat keberkatan di sekelilingnya. Sighah ini didatangkan atas wazan mufa‘alah yang memberi makna mubalaghah (amat banyak pada memberi maksud satu-satu perbuatan).

Beliau juga berkata: “Manusia lupa berkenaan kelebihan Masjidil Aqsa. Sebagai contoh orang Arab tiada ilmu dan pengetahuan tentang hal ini sedangkan orang Nasrani menyembunyikan kesannya kerana bimbang kebencian orang Yahudi. Sedangkan orang Yahudi menjauhkan daripadanya dan putus asa untuk kembali. Justeru, dijelaskan pemberitaan ini dengan keberkatannya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/252).

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti menyebutkan, tafsiran yang paling zahir pada ayat, “الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ” (iaitu yang Kami berkati sekelilingnya) ialah kami perbanyakannya kebaikan, keberkatan dengan pohon kayu, buah-buahan dan sungai. Banyak ayat-ayat yang menunjukkan demikian itu. Inilah pendapat jumhur ulama. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/103)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *