Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang suami itu memasukkan jarinya ke dalam faraj isterinya ketika melakukan hubungan intim? Maaf atas soalan begini. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur. ( Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/84)

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’i (8942)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya.”

Riwayat Ahmad (9733)

Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya:Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?

Riwayat al-Bukhari (2967)

Justeru, para ulama berpendapat bahawa diharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Zainuddin al-Malibari — murid kepada Ibn Hajar al-Haitami — bahawa:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya:Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (yakni dengan cara meliwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.” (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 482)

Begitu juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (32/90) dinyatakan, para fuqaha telah bersepakat  bahawa diharuskan bagi seorang suami menyentuh kemaluan isterinya. Ibn ‘Abidin menyebutkan bahawa Abu Yusuf bertanya kepada Abu Hanifah berkenaan seorang lelaki yang menyentuh kemaluan isterinya, manakala isterinya juga menyentuh kemaluan suaminya agar menggerak-gerakkannya ke atas isterinya. Adakah engkau berpendapat perbuatan tersebut suatu dosa? Abu Hanifah menjawab: “Tidak, sebaliknya aku berharap pada perbuatan itu terdapatnya pahala yang besar.”

Manakala larangan mendatangi isteri pada dubur bermaksud meliwatnya yang melibatkan penembusan. Sekiranya sekadar menikmati secara seksual pada dubur isteri, ia dibenarkan dengan syarat tidak melibatkan penembusan sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari. (Lihat Asna al-Matalib, 3/113) Selain itu juga, beliau juga menyebutkan bahawa seorang suami boleh menikmati segenap tubuh isterinya, termasuklah diharuskan untuknya — yakni suami itu — beronani dengan tangan isterinya, sekalipun perbuatan onani itu tidak dibolehkan untuk dilakukan dengan tangannya. Begitu juga dia boleh menikmati isterinya dengan menggunakan tangannya, termasuklah dengan memasukkan jarinya ke dalam faraj isterinya. (Lihat al-Gharar al-Bahiyyah, 4/170)

Walau bagaimanapun, perkara tersebut terikat dengan syarat selagi mana tidak merosakan dan mendatangkan kemudaratan, sama ada kepada pihak isteri mahupun suami.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan bagi suami untuk menikmati isterinya dengan menggunakan tangannya, termasuklah sehingga memasukan jarinya ke dalam faraj isterinya ketika melakukan hubungan intim. Walau bagaimanapun, perkara ini terikat dengan syarat selagi mana tidak merosakan dan mendatangkan kemudaratan sama ada kepada pihak isteri mahupun suami. Begitu juga tidak dibenarkan bagi seorang suami untuk melakukan sebarang penembusan pada dubur isterinya sekalipun bukan dengan zakar seperti menggunakan jari dan sebagainya kerana ia dilarang dalam syarak.

Begitulah juga, diharuskan untuk bermain-main secara seksual dengan menggunakan mulut dan lain-lain dengan syarat tidak membawa kepada penyakit dan masalah kesihatan, dilakukan secara konsensual, tidak membawa kepada kerosakan dan dilakukan dengan penuh adab. Apatah lagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram seperti meliwat dan menelan najis.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *