#6 Nama dan Warna Anjing Ashab al-Kahfi

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah nama anjing Ashab al-Kahfi dan warnanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah anjing ashab al-Kahfi ini ada dirakamkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya:Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.”[1]

Menurut Imam al-Baghawi, kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat (وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ) adalah merujuk kepada anjing. Namun, terdapat pendapat bahawa ia adalah merujuk kepada binatang buas sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Juraij bahawa ia ialah singa dan dinamakan singa sebagai “anjing”. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu ‘Aqrab al-Bakri al-Kinani berkenaan doa Nabi SAW kepada ‘Utbah bin Abu Lahab:

اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ، فقتلَهُ الأسدُ

Maksudnya:Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)-Mu.” Lalu dia telah dibunuh oleh singa.[2]

Sekalipun begitu, pendapat yang pertama — yakni anjing — adalah umum diketahui. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa ia ialah seekor anjing yang berwarna kelabu terang. Diriwayatkan mengenainya bahawa ia lebih besar daripada anjing jenis baka poodle dan lebih kecil daripada anjing jenis baka Kangal Kurdish.[3]

Terdapat beberapa pendapat mengenai warna anjing ini. Di antaranya ialah:[4]

  • Ibn Abbas menyebutkan bahawa warnanya ialah kelabu terang.
  • Dikatakan juga bahawa Ibn Abbas berpendapat warnanya ialah merah terang.
  • Manakala menurut Muqatil pula bulunya berwarna kekuningan.
  • Al-Qurtubi menambah lagi dengan menyatakan, warna kuningnya kemerah-merahan.
  • Al-Kalbi menyebutkan, warnanya antara merah dan kuning.
  • Dikatanya juga warnanya seperti warna langit (kemungkinan putih kebiru-biruan atau kelabu kehitaman seperti langit mendung).
  • Dikatakan juga warnanya seperti warna batu (kemungkinan hitam).
  • Dikatakan juga warnanya putih kehitam-hitaman serta kemerahan.

Adapun namanya pula, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Di antaranya ialah:[5]

  • Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, namanya ialah Qitmir.
  • Manakala Ali R.A berpendapat, namanya ialah Rayyan.
  • Selain itu, al-Auza‘i pula berpendapat namanya ialah Yathur.
  • Disebutkan juga bahawa al-Auza‘i berpendapat namanya ialah Musyir.
  • Al-Suddi pula berpendapat namanya ialah Yur.
  • Disebutkan juga bahawa al-Suddi berpendapat nama anjing itu ialah Tun.
  • Ka‘ab pula berpendapat namanya ialah Sahban.
  • Disebutkan juga bahawa juga bahawa Ka‘ab berpendapat namanya ialah Sabhan.
  • Sa‘id al-Hammal berpendapat namanya ialah Harr
  • Abdullah bin Kathir menyebutkan nama anjing mereka — yakni ashab al-Kahfi — ialah Qatmur.
  • Abdullah bin Salam menyebutkan bahawa namanya ialah Basit.
  • Wahb pula berpendapat namanya ialah Naqiyya.
  • Dikatakan juga namanya ialah Qatfir.
  • Selain itu, ada juga yang berpendapat namanya ialah Qutaifir.

Seterusnya, mengenai hal ini Ibn Kathir ada menjelaskan bahawa ramai tukang-tukang cerita dan ahli-ahli tafsir menyebutkan tentang anjing ini dengan berita dan cerita yang panjang lebar. Kebanyakkannya diambil daripada kisah Israiliyyat. Banyak daripadanya adalah palsu dan tidak ada apa-apa faedah seperti khilaf mereka mengenai nama dan warna anjing tersebut.[6]

Justeru, jelaslah di sini bahawa terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan kisah anjing ashab al-Kahfi. Sebahagian dalam kalangan mereka membahaskannya dengan kupasan yang terperinci manakala sebahagiannya lagi hanya berhenti kepada apa yang disebutkan dalam al-Quran semata-mata.

Lebih-lebih lagi guru kami, Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti ada menyebutkan bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh para ahli tafsir berkenaan nama anjing Ashab al-Kahfi seperti sebahagian mereka berpendapat namanya ialah Qitmir, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat namanya ialah Humran dan lain-lain. Kami tidak memanjangkan perbahasan tentangnya kerana ia tidak membawa apa-apa faedah. Dalam al-Quran, terdapat banyak perkara yang tidak diperincikan oleh Allah SWT kepada kita, begitu juga Rasul-Nya, juga tidak sabit apa-apa dalil yang menjelaskannya. Justeru, perbahasan mengenainya tidak perlu dipanjangkan dan ia tidak memberi apa-apa faedah.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa perbahasan mengenai nama dan warna anjing Ashab al-Kahfi ini tidak perlu dipanjangkan mahupun diperincikan. Cukuplah kita berpada dengan apa yang telah disebutkan di dalam wahyu. Hal ini kerana perbahasan itu sangat sedikit faedahnya buat kita dan tidak memberi apa-apa kesan kepada hukum-hakam agama. Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ‎(21)‏ سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا

Maksudnya:Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa Hari Kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu, maka (sebahagian daripada) mereka berkata: ‘Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka.’ Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: ‘Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.’ (21) (Sebahagian daripada) mereka akan berkata: ‘Bilangan Ashab al-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka,’ dan setengahnya pula berkata: ‘Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka,’ — secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: ‘Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit.’ Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun daripada golongan (yang membincangkannya).”[8]

Lebih-lebih lagi, perkara utama yang sepatutnya difokuskan ialah apa yang disimpulkan oleh Allah SWT berkenaan kisah Ashab al-Kahfi ini iaitu pengajaran dan faedah daripada kisahnya sendiri. Pesan-pesan tauhid dan konsisten atas jalan Islam dalam kisah inilah yang wajar diberi perhatian yang serius, sesuai dengan tuntutan zaman kini.

Walau bagaimanapun, kami meraikan dan amat menghormati kedua-dua sudut pandangan kerana ia sendiri menzahirkan kekayaan perbendaharaan ilmu Islam dalam membahaskan satu-satu isu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Kahfi: 18

[2] Riwayat al-Hakim (3984); Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (6926); Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa riwayat ini adalah hasan. (Lihat Fath al-Bari, 4/48)

[3] Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184.

[4] Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184; Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2/389.

[5] Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184; Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/642

[6] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/115.

[7] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/226.

[8] Surah al-Kahfi: 21-22.

-40%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM50.00RM110.00
Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00

Leave a Reply

Your email address will not be published.