#643 Mengecop Ruangan Solat Tertentu dalam Masjid

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum menempah (mengecop) tempat tertentu dalam ruangan solat di dalam masjid, biasanya saf awal? Adakah perkara tersebut dibenarkan?  Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya:Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”[1]

Al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan, orang yang mengimarahkan masjid merupakan Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.[2]

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Di antaranya seperti mendirikan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Begitu juga termasuk dalam maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya.[3]

Bagi menjawab persoalan yang diajukan, kami bahagikan ia kepada tiga situasi berikut:

Situasi Pertama: Seseorang yang bangun dari tempat duduknya untuk sesuatu urusan yang ringkas atau keperluan seperti menunaikan hajat, mengambil wuduk, meletakkan al-Quran atau seumpamanya, lalu dia menandakan tempat duduknya itu dengan rehal atau menghamparkan sejadahnya atau seumpamanya.

Bagi situasi ini, orang tersebut berhak berbuat demikian. Hal ini kerana dia lebih berhak ke atas tempat tersebut dan tidak boleh sesiapapun mengambilnya. Sekiranya dia kembali (setelah selesai urusannya itu) dan mendapati ada orang lain sedang duduk di tempatnya, maka dia boleh meminta orang itu bangun dan beredar dari tempatnya itu. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu ‘Awanah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مِنْ مَجْلِسِهِ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang bangun dari tempat duduknya, kemudian dia kembali semula kepada tempat itu, maka dia lebih berhak dengannya (tempat tersebut).[4]

Imam al-Nawawi menyatakan, hadith ini adalah berkenaan orang yang duduk pada suatu tempat di dalam masjid, lalu dia tinggalkan sekejap tempat itu untuk kembali semula, bagi tujuan untuk berwuduk atau menunaikan suatu keperluan yang sedikit. Kemudian dia kembali, maka tidak terbatal haknya ke atas tempat tersebut. Bahkan sekiranya dia kembali, dia lebih berhak ke atas tempat itu untuk solat. Begitu juga, jika ada orang lain yang duduk di tempatnya, dia boleh membangunkan orang tersebut. Manakala bagi orang yang duduk pula hendaklah bangun dan beredar dari tempat tersebut berdasarkan hadith ini. Inilah pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab Syafi‘i iaitu wajib ke atas orang yang duduk itu untuk beredar dari tempat tersebut, sekiranya orang yang awal kembali semula (dan mahu duduk di tempat itu).[5]

Malah menurut Imam al-Nawawi lagi, ulama mazhab Syafi‘i tidak membezakan antara orang yang bangun dari tempatnya dengan meninggalkan padanya sejadah, pakaian atau seumpamanya (sebagai tanda) ataupun tidak (yakni tidak meninggalkan apa-apa tanda) kerana orang ini lebih berhak dengan tempat tersebut dalam kedua-dua keadaan itu. Begitu juga, mereka tidak membezakan sama ada dia bangun kerana suatu keperluan selepas masuknya waktu solat atau sebelum masuknya waktu solat. Namun, jika dia meninggalkan tempat duduknya itu tanpa sebarang keuzuran, maka haknya ke atas tempat duduk itu terbatal tanpa sebarang khilaf.[6]

Situasi Kedua: Seseorang itu meletakkan tanda pada ruangan tertentu dalam masjid dengan rehal atau menghamparkan sejadahnya atau seumpamanya bagi menunjukkan bahawa ruangan tersebut sudah ada orang, sedangkan dia belum lagi sampai atau belum lagi berada dalam kawasan masjid melalui wakil yang dihantarnya.

Bagi situasi ini, para ulama berbeza pendapat akan keharusan melakukannya. Namun menurut mazhab al-Syafi‘i, seseorang itu boleh menghantar orang lain bagi mengambil tempat duduk bagi pihaknya dalam masjid. Apabila dia sudah sampai, maka wakilnya itu akan berganjak dan memberikan ruangan tersebut kepadanya. Begitu juga, dia (wakil tersebut) boleh untuk menghamparkan pakaian atau seumpamanya buat orang yang diwakili (sebagai tanda), kemudian dia datang dan solat di tempatnya. Apabila dia sudah menghamparkannya, maka tidak boleh untuk orang lain solat di atasnya. Akan tetapi dia boleh untuk mengalihkannya (hamparan itu) dan duduk pada tempat tersebut. Namun, dia hendaklah mengalihkannya dengan cara tidak mengangkatnya dengan tangannya. Sekiranya dia tetap melakukannya, maka dia termasuk dalam penjaminnya.[7]

Situasi Ketiga: Seseorang itu tidak meletakkan sebarang tanda yang menunjukkan bahawa itu adalah tempat duduknya dan dia juga belum lagi berada dalam kawasan masjid. Akan tetapi, tempat tersebut merupakan tempat duduknya setiap kali dia memasuki masjid.

Bagi situasi ini, dia tidak boleh membangunkan orang lain yang datang lebih awal daripadanya yang duduk di tempat kebiasaannya itu kerana dia tidak mempunyai hak langsung ke atas tempat tersebut. Sebaliknya orang yang datang lebih awal itu lebih berhak ke atas tempat tersebut berbanding dirinya (sebagaimana situasi pertama yang telah dinyatakan di atas). Selain itu, masjid merupakan rumah Allah dan milik-Nya. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang mengkhususkan suatu tempat hanya untuk dirinya semata-mata. Hal ini juga berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha, di mana beliau bertanya kepada Rasulullah SAW untuk mendirikan sebuah tempat berteduh buat Baginda di Mina. Lalu Baginda menjawab:

لَا، مِنًى مُنَاخُ مَنْ سَبَقَ

Maksudnya:Jangan (membinanya untuk aku). Mina itu adalah tempat persinggahan siapa sahaja yang lebih dahulu (sampai kepadanya).” Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hasan.[8]

Al-Mubarakfuri mengulas hadith ini dengan mengatakan bahawa Baginda SAW melarang untuk dibina buatnya binaan tersebut di Mina kerana Mina bukanlah tempat yang dikhususkan untuk sesiapapun. Akan tetapi ia merupakan tempat untuk beribadah yang terdiri daripada melontar, menyembelih haiwan korban, bercukur dan seumpamanya.[9]

Namun, di sana terdapat pengecualian tertentu yang diberikan kepada para ulama yang melazimi suatu tempat tertentu bagi mengadakan pengajiannya atau tempat tersebut sememangnya menjadi tempat berkumpul untuk membaca al-Quran. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut mazhab Syafi‘i sesiapa yang melazimi suatu tempat tertentu di dalam masjid untuk memberi fatwa atau membaca al-Quran (yakni mengajarkannya) atau mengajar lain-lain ilmu daripada cabang ilmu-ilmu syarak, maka dia lebih berhak dengan tempat tersebut. Sekiranya dia hadir, maka orang lain tidak boleh untuk duduk di tempatnya itu.[10]

Justeru, jelaslah bahawa dalam situasi ini, mereka lebih berhak ke atas tempat tersebut berbanding orang lain dan boleh untuk membangunkan orang yang duduk di situ supaya tidak mambantutkan pengajian ilmu yang hendak dijalankan dan menghilangkan kesempatan buat para penuntut ilmu bagi mendapatkan manfaat daripada pengajian atau kelas tersebut.[11]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[1] Surah al-Taubah: 18

[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228.

[3] Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Ali al-Kabir, 2/66.

[4] Riwayat Muslim (2179)

[5] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/161-162.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/547; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/162.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/547.

[8] Riwayat al-Tirmizi (881)

[9] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/529.

[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/162.

[11] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=1865#.YVw9XppBxPb. Diakses pada 5 Oktober 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *