#688 Puasa Pada Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana seseorang itu ingin berpuasa pada pertengahan bulan, iaitu pada hari putih, tetapi dia hanya berpuasa pada sehari sahaja dan kebetulan hari tersebut merupakan hari jumaat. Ini juga sebagaimana pada hari 15 Syaaban 1443H yang jatuh pada hari jumaat ini. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat larangan daripada Nabi SAW untuk berpuasa pada hari Jumaat secara khusus sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا يَصُومَنَّ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ

Maksudnya:Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali jika kamu berpuasa pula pada hari sebelum atau selepasnya.”

Riwayat al-Bukhari (1849) dan Muslim (1929)

Begitu juga dengan hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ إِلا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ

Maksudnya:Janganlah khususkan malam Jumaat dengan solat malam tertentu yang tidak dilakukan pada malam-malam lainnya. Janganlah kamu khususkan hari Jumaat dengan puasa tertentu yang tidak dilakukan pada hari-hari lainnya kecuali jika terdapat puasa yang dilakukan kerana sebab pada ketika itu.”

Riwayat Muslim (1144)

Daripada Juwairiyah binti al-Harith R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَهِيَ صَائِمَةٌ فَقَالَ أَصُمْتِ أَمْسِ قَالَتْ لا قَالَ تُرِيدِينَ أَنْ تَصُومِي غَدًا قَالَتْ لا قَالَ فَأَفْطِرِي

Maksudnya: Nabi SAW masuk menemuinya pada hari Jumaat dan beliau dalam keadaan berpuasa. Nabi SAW bertanya: “Adakah engkau berpuasa semalam?” Juwairiyah menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Beliau menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Berbukalah.”

Riwayat al-Bukhari (1986)

Maksud Larangan Puasa pada Hari Jumaat

Imam al-Nawawi menyatakan, “Ulama al-Syafi’iyah berpendapat bahawa dimakruhkan berpuasa pada hari Jumaat secara bersendirian. Namun jika diikuti puasa sebelum atau selepasnya atau bertepatan dengan kebiasaan puasa seperti berpuasa nazar disebabkan sembuh daripada sakit dan bertepatan dengan hari Jumaat, maka tidaklah makruh untuk berpuasa pada hari Jumaat.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al Muhaddzab, 6/309)

Syaikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata, “Larangan mengkhususkan puasa pada hari Jumaat dimaksudkan kerana sebahagian orang menyangka terdapat keutamaan untuk berpuasa pada hari tersebut. Dijelaskan di sini bahawa puasa pada hari Jumaat itu dilarang sebagaimana berpuasa pada hari raya juga juga dilarang. Hal ini disebabkan hari Jumaat juga merupakan hari raya bagi setiap minggu. Manakala perintah agar tidak berpuasa pada hari itu adalah supaya kita kuat menjalani ibadah dengan tenang dan juga terdapat hikmah-hikmah yang lain. Sebab larangan (‘illah) ini juga hilang jika hari Jumaat tidak dikhususkan untuk berpuasa seperti dengan menambah puasa pada hari sebelum atau selepasnya. Dibolehkan juga jika kebiasaan baginya berpuasa seperti orang yang sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa (Puasa Nabi Dawud) atau bertepatan dengan puasa hari-hari putih (13, 14, 15 Hijriyah) dan seumpamanya.” (Lihat Syarh ‘Umdah al-Ahkam, hlm. 366)

Imam al-Suyuti menukilkan kata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

“Pendapat yang paling sahih menurut mazhab kami dan ini termasuk pendapat jumhur ulama’ bahawa puasa hari Jumat makruh jikalau tidak berpuasa sebelum dan selepasnya. Sebahagian pendapat mengatakan tidak makruh kecuali bagi orang yang terhalang ibadahnya disebabkan oleh puasa dan juga menyebabkan tubuhnya lemah.” (Lihat Nur al-Lum’ah fi Khasais al-Jumu’ah, hlm. 12)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa puasa pada hari jumaat dibolehkan jikalau ia bertepatan dengan hari dan sebab tertentu sepertimana puasa hari putih, puasa ‘Arafah, puasa 10 Muharram dan seumpamanya. Tambahan pula 15 syaaban pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Adalah lebih baik juga jika dilengkapkan puasa 15 syaaban bersama dengan 13 dan 14 Syaaban juga. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya:Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”

Riwayat Abu Dawud (2449)

Justeru, sesiapa yang ingin berpuasa pada hari jumaat disebabkan oleh sebab yang tertentu, maka dibolehkan untuk dia berpuasa. Berkenaan dengan puasa Nisfu Sya’ban, kami telah menjawabnya dalam artikel bertajuk Puasa Nisfu Sya’ban.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *