#689 Puasa Nisfu Sya’ban
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar bahawa pada hari Nisfu Sya’ban disunatkan untuk berpuasa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ibn Majah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا
Maksudnya: “Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…”
Riwayat Ibn Majah (1388) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3542)
Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadith ini dinilai sebagai palsu oleh kebanyakan ulama’ hadith. Hal ini kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Sabrah. Berikut adalah komentar ulama al-Jarh wa al-Ta’dil[2] terhadapnya:
- Ahmad bin Hanbal: Pemalsu hadith dan pendusta. Hadithnya tiada nilai.
- Ibn al-Madini berkata: Dhaif, perawi hadith munkar (Munkar al-Hadith)
- Imam al-Bukhari berkata: Dhaif, perawi hadith munkar (Munkar al-Hadith)
- Ibn Ma’in berkata: Pemalsu Hadith
- Al-Nasaie berkata: Matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)
- Ibn Hibban berkata: Beliau meriwayatkan hadith palsu (dan menyandarkannya kepada perawi thiqah), tidak halal meriwayatkan darinya dan berhujah dengannya sama sekali.
- Ibn ‘Adiyy berkata: Beliau antara pemalsu hadith. (Lihat al-Dhuafa’ wa al-Matrukin li al-Nasaie, hlm. 114; al-Majruhin li Ibn Hibban, 2/407; al-Jarh wa Ta’dil Ibn Abi Hatim, 7/306; Tarikh Baghdad, 14/370-371; al-Kamil fi al-Dhu’afa’ li Ibn ‘Adiyy, 7/297; Mizan al-I’tidal, 4/503-504; Tahzib al-Tahzib li Ibn Hajar al-‘Asqalani, no. perawi: 138)
Justeru, jelaslah bahawa Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Sabrah dikategorikan sebagai pendusta yang memalsukan hadith. Tambahan pula hadith ini diriwayatkan daripada jalurnya sahaja.
Namun begitu, terdapat juga penilaian daripada Ibn Rajab dan al-Iraqi yang menyatakan hadith ini dhaif, namun begitu, tidak ada percanggahan antara penilaian Ibn Rajab dan al-Iraqi dengan penilaian ulama yang menghukum hadith ini sebagai palsu atau terlalu daif. Hal ini kerana hadith palsu adalah satu cabang dari hadith dhaif. Maka tidak hairan jika mereka menghukumkan riwayat ini dhaif, sedangkan terdapat ulama hadith yang menghukumnya sebagai palsu. Bahkan Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri mempertahankan Ibn al-Solah dan al-Khattabi ketika beliau menyatakan bahawa hadith palsu (maudhu’) adalah seburuk-buruk cabang hadith dhaif. Hal ini membuktikan bahawa hadith palsu adalah salah satu cabang daripada hadith dhaif. Hal ini juga dipersetujui oleh al-Suyuti, Ibn Jamaah, al-Iraqi dan al-Sakhawi. (Lihat Muqaddimah Ulum al-Hadith li Ibn Solah, hlm. 201; al-Taqyid wa al-Idhah li al-Iraqi, hlm. 63; al-Nukat, 1/838; Tadrib al-Rawi, 1/ 274; Fath al-Mughith, 1/252-253)
Tetapi, hal ini bukan bermakna kita perlu menolak semua hadith yang dinilai dhaif oleh ulama sebagai palsu. Ia juga tidak bermakna kita menolak hadith dhaif yang ringan secara mutlak. Hadith dhaif yang ringan boleh diamalkan dalam Fadhail al-A’mal (fadhilat-fadhilat amal) dengan syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh para ulama.
Semua penilaian hadith mestilah melihat kepada sebabnya secara terperinci dengan melihat status perawi menurut ulama al-Jarh wa al-Ta’dil. Namun begitu, dalam hal ini, penilaian daif oleh Ibn Rajab dan al-Iraqi mesti difahami bahawa ia palsu kerana perawi yang meriwayatkan hadith ini dihukum pendusta oleh ramai ulama al-Jarh wa al-Taadil.
Galakan Berpuasa Pada Pertengahan Bulan
Hari yang afdhal untuk melakukan puasa ialah pada malam bulan penuh, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Hal ini kerana malam pada hari-hari tersebut merupakan malam yang terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1981)
Begitu juga dengan hadith daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.”
Riwayat al-Tirmizi (761)
Daripada Qatadah bin Milhan R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”
Riwayat Abu Dawud (2449)
Hukum Berpuasa Pada Nisfu Syaaban
Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Lataif al-Maarif menekankan bahawa puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hari-hari putih. (Lihat Lata’if al-Maarif, hlm. 151)
Justeru, walaupun hadith “Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…” merupakan hadith palsu, namun puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hadith galakan berpuasa pada hari putih.
Bahkan bulan Sya’ban merupakan bulan yang paling digalakkan untuk berpuasa sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW berpuasa, kami merasakan Baginda tidak akan berbuka (kerana Baginda puasa secara berterusan), dan apabila Baginda tidak berpuasa kami merasakan Baginda tidak akan berpuasa lagi. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding pada bulan Sya’ban.”
Riwayat al-Bukhari (1969)
Kesimpulan
Kesimpulannya, hadith “Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…” telah jelas palsu kerana terdapat perawi bernama Abu Bakar bin Abdillah bin Abi Sabrah yang dikategorikan sebagai perawi pendusta. Namun begitu, puasa pada hari nisfu Sya’ban tetap digalakkan dan disunatkan berdasarkan hadith umum mengenai puasa hari-hari putih pada setiap pertengahan bulan Islam.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a`lam
Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H