#743 Status Anak Angkat yang Disusu Ipar

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan berkaitan anak susuan. Adik perempuan saya ada mengambil anak angkat seorang bayi lelaki. Kemudian adik perempuan saya meminta isteri kepada adik lelaki saya yang baru melahirkan anak, untuk menyusukan anak angkatnya itu. Bagaimanakah status hubungan kami adik-beradik dengan bayi lelaki itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع)  menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. Manakala menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada’ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238; al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu”

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.”

Riwayat al-Bukhari (5099)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 10/23)

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai kesan penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan. Secara ringkasnya, terdapat dua hukum kepada hubungan kekeluargaan yang terjadi dengan sebab penyusuan, iaitu:

  1. Perkara yang haram kerana penyusuan

Penyusuan menjalinkan hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga ibu susuan. Hubungan ini memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini, sebagaimana hubungan keturunan, iaitu:

  • Ibu dan ke atas.
  • Anak perempuan dan ke bawah.
  • Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.

Sehubungan itu, apabila wujud hubungan kekeluargaan disebabkan penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur jalur ibu susuan juga haram dikahwini. Sebagaimana yang diketahui, hubungan keturunan menyebabkan haram persemendaan, iaitu:

  • Suami haram berkahwin dengan ibu mentua dan anak tirinya.
  • Seorang lelaki haram berkahwin dengan ibu tirinya dan juga menantunya.

Justeru, jika hubungan kekeluargaan adalah dengan sebab susuan, maka hukumnya haram persemendaan, sama dengan hubungan keturunan. Oleh itu, suami haram berkahwin dengan ibu susuan kepada isterinya dan anak susuan kepada isterinya. Seorang lelaki juga haram berkahwin dengan isteri kepada bapa susuannya dan isteri kepada anak susuannya, iaitu menantu susuan. Pengharaman perkahwinan tersebut adalah disebabkan persemendaan.

  1. Perkara yang halal kerana penyusuan

Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kerana keturunan halal juga kepada keluarga kerana susuan. Dengan itu, seseorang lelaki adalah halal apabila:

  • Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
  • Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
  • Bermusafir dengannya melebihi tiga hari

Meskipun begitu, hukum ini tidaklah bermakna seseorang lelaki harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan. Ini kerana pandangan dengan berahi adalah haram walaupun ahli keluarga sendiri. Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/210-212)

Berbalik kepada soalan di atas, hubungan antara anak angkat yakni bayi lelaki itu dengan saudari dan adik-beradik perempuan saudari adalah ibu saudara susuan sebelah bapa kerana adik lelaki saudari merupakan bapa susuan kepada bayi lelaki itu. Hubungan ini disebut sebagai “العمة من الرضاع”, iaitu setiap perempuan yang menyusu bersama dengan bapanya, atau yang menyusu daripada susu datuknya. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/34)

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ، فَلَمْ آذَنْ لَهُ، فَقَالَ: أَتَحْتَجِبِينَ مِنِّي وَأَنَا عَمُّكِ، فَقُلْتُ: وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي بِلَبَنِ أَخِي، فَقَالَتْ: سَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: صَدَقَ أَفْلَحُ ائْذَنِي لَهُ

Maksudnya:Aflah meminta izin kepadaku (untuk masuk), namun aku tidak mengizinkannya. Beliau berkata: ‘Adakah kamu hendak menghijab diri daripadaku, padahal aku adalah pakcikmu?’ Aku berkata: ‘Bagaimana itu boleh terjadi?’ Beliau berkata: ‘Kamu telah disusui oleh isteri saudara lelakiku, dengan air susu saudaraku.’ Aisyah berkata: ‘Aku bertanya hal itu kepada Rasulullah SAW.’ Maka Baginda bersabda: ‘Aflah benar, izinkanlah beliau’.

Riwayat al-Bukhari (2644)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hukum antara anak angkat yakni bayi lelaki itu dengan saudari serta adik- beradik perempuan saudari yang lain adalah sebagai ibu saudara susuan sebelah bapa. Justeru, terpakai hukum hakam mahram seperti aurat, diharuskan tinggal bersendirian dengannya, diharamkan berkahwin dengannya dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

1 thoughts on “#743 Status Anak Angkat yang Disusu Ipar

  1. Mohd faizal says:

    Assalammualaikum dan salam sejahtera ustaz. Saya ingin mohon bertanya satu soalan buat ustaz..mohon dapat di beri jawapan ke atas soalan ini. Soalan saya berkenaan hukum ibu susuan. Saya dan isteri ada mengambil anak saudara dari sebelah isteri saya sebagai anak angkat. Persoalannya adakah boleh jika saya memberi susu adik perempuan saya kepada anak kami dan adakah anak kami akan turut mahram dengan saya sebagai ayah angkatnya…. Ini memandangkan anak angkat kami adalah anak saudara dari sebelah keluarga isteri saya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *