#744 Tidur Selepas Masuk Waktu Solat

Siri Solat Sunat

Solat Tawaf

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Wuduk

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Nikah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-73%

Siri Solat Sunat

9 eBook Siri Solat Sunat

Rated 0 out of 5
RM12.00RM62.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Taubat

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tasbih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya jika seseorang itu tidur sebelum mendirikan solat selepas masuknya waktu solat? Misalnya, tidur pada jam 9 malam sebelum mendirikan solat Isyak terlebih dahulu. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya:Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”[1]

Ayat ini menunjukkan bahawa solat-solat itu telah ditentukan waktunya yang tersendiri. Dalam erti kata lain, setiap solat memiliki waktu permulaan dan waktu akhirnya. Justeru, tidak boleh mendahulukannya mahupun mengakhirkannya. Hal ini kerana Allah SWT mewajibkan para hamba-Nya untuk mendirikan solat dan menentukan waktu-waktu solat itu. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak boleh menunaikannya bukan pada waktunya melainkan terdapatnya keuzuran syar‘i seperti tertidur, tidak sengaja (terlupa) dan seumpamanya.[2]

Definisi tidur

Tidur ialah keadaan rehat dan tidak sedar terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling dalam tempoh tertentu. Tidur tidak sama dengan koma kerana orang yang tidur mudah terjaga. Manusia atau haiwan yang sedang tidur boleh terjaga dengan cepat, misalnya, akibat bunyi bising atau cahaya lampu yang terang. Semua manusia dan beberapa jenis haiwan mesti mempunyai jumlah tidur yang cukup dalam sehari pada sela masa yang tetap. Apa yang berlaku semasa tidur. Apabila seseorang itu tidur, semua aktiviti menurun dan otot berehat. Denyutan jantung dan kadar pernafasan menjadi perlahan. Orang itu, perlahan-lahan menjadi tidak sedar terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Orang yang tidur menukar posisi keseluruhan badan sekurang-kurangnya 12 kali semasa tidur selama lapan jam. Kepala, tangan, atau kaki lebih kerap digerakkan.

Apa yang berlaku tanpa tidur. Orang yang tidak cukup tidur kehilangan tenaga dan menjadi cepat marah. Apabila tidak tidur selama dua hari, mereka mendapati bahawa perhatian menjadi kurang tajam. Seseorang hanya dapat melakukan tugas bersungguh-sungguh sekejap sahaja, kemudian dia akan rasa terganggu. Banyak kesilapan dilakukan, terutamanya dalam tugas rutin, dan terlepas perhatian pada masa tertentu. Setiap orang yang “tidak tidur” terlelap selama beberapa saat atau lebih. Orang itu betul-betul tidur nyenyak melainkan jika aktif secara berterusan. Orang yang tidak tidur selama lebih daripada tiga hari sukar berfikir, melihat, dan mendengar dengan jelas. Ada yang mengalami halusinasi, iaitu melihat sesuatu yang tidak benar-benar wujud. Mereka juga terkeliru antara khayalan dengan kehidupan sebenar dan sering terhenti kerana terlupa apabila berbual. Ada manusia yang tidak tidur selama 11 hari tetapi orang yang lama tidak tidur hilang hubungannya dengan realiti. Mereka berasa sangsi dan takut akan orang lain. Contohnya, mereka menyangka bahawa doktor ialah pengurus mayat yang datang untuk mengebumikan mereka, atau makanan yang dimakan mereka telah diracun.

Perlunya tidur. Tidur mengembalikan tenaga kepada tubuh, terutamanya kepada otak dan sistem saraf. Manusia memerlukan tidur gelombang perlahan dan juga tidur bermimpi. Kekurangan tidur gelombang perlahan tidak dapat ditukar ganti dengan penambahan tidur bermimpi dan begitulah juga hal yang sebaliknya. Tidur gelombang perlahan dapat membantu terutamanya dalam membentuk protein dan mengembalikan kawalan otak dan sistem saraf terhadap otot, kelenjar, dan sistem tubuh yang lain. Tidur bermimpi penting khususnya untuk mengekalkan aktiviti mental seperti pembelajaran, penaakulan, dan penyesuaian emosi.[3]

Jelaslah bahawa tidur merupakan satu perkara lumrah bagi seorang manusia yang normal. Tidur yang cukup diperlukan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum. Walau bagaimanapun, tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima, iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat sebuah riwayat daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda:

ليس في النَّومِ تفريطٌ إنَّما التَّفريطُ على مَن لم يُصَلِّ الصَّلاةَ حتَّى يجيءَ وقتُ صلاةٍ أخرى

Maksudnya:Tidaklah tidur itu dianggap meremehkan solatnya, kerana orang yang dianggap meremehkan solatnya itu ialah sesiapa yang tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat yang lain.[5]

Mengenai hukum tidur selepas masuknya waktu solat fardhu dan sebelum menunaikan solat tersebut, Ibn Hajar al-Haitami ada menyebutkan, jika seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat dan kuat sangkaannya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat tersebut, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur — yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat — tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu. Jika seseorang itu tidak mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia mampu bangun untuk menunaikan solat — jika dia tidur selepas masuknya waktu solat — maka dia berdosa dan wajib bagi sesiapa yang mengetahui keadaannya untuk mengejutnya pada waktu itu.[6]

Begitu juga Zainuddin Ahmad al-Malibari juga menyebutkan bahawa makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaanya dia akan bangun sebelum habisnya waktu solat itu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, maka haram baginya untuk tidur — kerana tidur itu akan menyebabkannya terlepas waktu solat.[7]

Selain daripada itu, Nawawi al-Jawi juga ada membincangkan mengenai perkara ini, yang mana beliau menyatakan bahawa tidur selepas masuknya waktu solat, jika dia mengetahui akan terlepas waktu solat disebabkan tidur tersebut, maka haram baginya untuk tidur dan dia melakukan dua dosa, iaitu dosa disebabkan meninggalkan solat dan dosa disebabkan tidur. Jika dia bangun sebelum habisnya waktu solat yang berbeza dengan sangkaan awalnya, maka dia tidak berdosa disebabkan meninggalkan solat, namun dia tetap berdosa kerana tidur, maka dosa tidur tadi tidak terangkat melainkan dengan beristighfar.

Walau bagaimanapun, jika kuat sangkaanya bahawa dia akan bangun sebelum keluarnya waktu solat, maka tidak berdosa baginya walaupun terkeluar daripada waktu solat disebabkan tidur — yang dibina atas sangkaan bahawa dia mampu untuk bangun sebelum keluarnya waktu solat — tetapi hukumnya adalah makruh kecuali jika seseorang itu sangat mengantuk dan dia tidak dapat mengatasi rasa mengantuknya itu.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat makruh untuk seseorang itu tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat itu. Jika dia tidak yakin mampu untuk bangun sebelum habisnya waktu solat tersebut, maka haram baginya untuk tidur sehinggalah dia menunaikan solat tersebut terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu mahu tidur sebentar disebabkan keadaan tertentu seperti terlalu letih dan mengantuk, maka diharuskan untuknya tidur sebentar tetapi dengan syarat berusaha untuk bangun selepas itu seperti mengunci jam loceng di telefon bimbit dan sebagainya, atau meminta ahli keluarga dan rakan-rakan mengejutkannya pada waktu tertentu selepas seseorang itu masuk tidur.

Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini mengingatkan dan menegaskan bahawa yang terbaik adalah menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu sebelum melaksanakan perkara-perkara lain, termasuklah tidur dan sebagainya. lebih-lebih lagi di awal waktu secara berjemaah adalah lebih baik dan paling disukai berdasarkan keumuman nas yang menyebutkannya. Tidak sepatutnya seseorang Muslim itu mengambil sikap sambil lewa terhadap solat yang merupakan tiang agama dan juga perkara pertama daripada amalannya yang akan dihisab. Kami akhiri dengan sebuah riwayat daripada Abdullah, beliau berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّ العَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ؟ قَالَ: الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya:Aku bertanya kepada Nabi SAW: ‘Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?’ Baginda menjawab: ‘Menunaikan solat pada waktunya.’[9]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Surah al-Nisa’: 103

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 120.

[3] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 21/476-478.

[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 42/17.

[5] Riwayat ibn Hibban (1460), Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilainya sebagai sahih atas syarat Imam Muslim.

[6] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/407.

[7] Lihat Fath al-Mu‘in, 1/89.

[8] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 191.

[9] Riwayat al-Bukhari (527)

Leave a Reply

Your email address will not be published.