#782: Membunuh Semut Yang Memberi Mudarat
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita membunuh semut yang mengganggu dan menyakiti kita? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, terdapat empat jenis haiwan yang dilarang untuk dibunuh sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, hud-hud dan al-Surad (sejenis burung lang).”
Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut, hadith ini adalah sahih.
Justeru, hadith di atas, jelas menunjukkan bahawa semut termasuk dalam haiwan yang dilarang untuk dibunuh. Namun, menurut al-Bujairami, semut yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah yang dikenali sebagai al-Naml al-Sulaimani iaitu sejenis semut besar yang tidak mengganggu berbeza dengan semut kecil yang mengganggu dan memudaratkan. (Lihat Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib, 4/317)
Selain itu, al-‘Azim Abadi ada menukilkan daripada al-Damiri bahawa beliau berpendapat semut yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah semut besar Sulaimani sebagaimana dinyatakan juga oleh al-Khattabi dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah. Adapun semut kecil yang dipanggil sebagai al-Zar “الذَّرّ”, maka membunuhnya adalah dibolehkan. Manakala Imam Malik pula berpendapat makruh untuk membunuhnya — yakni semut kecil itu — kecuali ia memberi mudarat (atau mengganggu manusia) dan tidak ada cara lain bagi mencegah gangguan tersebut melainkan dengan membunuhnya, sedangkan Ibn Abi Zaid pula berpendapat diharuskan untuk membunuhnya apabila ia mengganggu atau menyakiti manusia. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 14/119)
Selain daripada itu, terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
نَزَلَ نَبِيٌّ مِنَ الأَنْبِيَاءِ تَحْتَ شَجَرَةٍ، فَلَدَغَتْهُ نَمْلَةٌ، فَأَمَرَ بِجَهَازِهِ فَأُخْرِجَ مِنْ تَحْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِبَيْتِهَا فَأُحْرِقَ بِالنَّارِ، فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ: فَهَلَّا نَمْلَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Salah seorang nabi singgah di bawah sebatang pokok, lalu dia digigit seekor semut, lantas Baginda memerintahkan agar barang-barangnya dialihkan dari pokok itu, kemudian Baginda memerintahkan agar sarang semut itu dibakar dengan api. Maka Allah mewahyukan kepadanya: ‘Mengapa tidak hanya dibakar semut yang menggigit sahaja?’”
Riwayat al-Bukhari (3319) dan Muslim (2241)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, terdapat dalam kalangan ulama yang menjadikan hadith ini sebagai dalil bagi mengharuskan perbuatan membakar haiwan yang mengganggu dan memberi mudarat dengan api berdasarkan kaedah syar‘ man qablana, sekiranya tidak ada dalam syariat kita apa yang mengangkatnya. Akan tetapi terdapat dalam syariat kita larangan untuk menyeksa dengan api. Kemudian, beliau menukilkan pendapat Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini, bahawa hadith ini bermaksud dibolehkan untuk membunuh semut bagi syariat nabi tersebut. Begitu juga, dibolehkan membunuh semut dengan menggunakan api.
Hal ini kerana, asal dalam membunuh dan membakar adalah tidak berlaku kekerasan atau penyeksaan padanya, bahkan ia adalah untuk membakar lebih daripada seekor semut — yakni membakar sarangnya. Adapun di dalam syariat kita tidak dibolehkan membakar haiwan dengan menggunakan api melainkan dalam masalah Qisas dengan syaratnya. Begitu juga, tidak dibenarkan untuk membunuh semut berdasarkan hadith Ibn Abbas. Begitu juga dinukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh, beliau berpendapat hadith ini menjadi dalil mengenai keharusan membunuh setiap haiwan yang memberi mudarat dan mengganggu atau menyakiti manusia. (Lihat Fath al-Bari, 6/358)
Di samping itu, terdapat juga riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
كنَّا معَ رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ في سَفَرٍ، فانطلقَ لحاجتِهِ فرأَينا حُمَرةً معَها فرخانِ فأخذنا فَرخَيها، فجاءتِ الحُمَرةُ فجعلت تفرِشُ، فجاءَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ فقالَ: من فجعَ هذِهِ بولدِها؟ ردُّوا ولدَها إليها. ورأى قريةَ نملٍ قد حرَّقناها فقالَ: مَن حرَّقَ هذِهِ؟ قُلنا: نحنُ. قالَ: إنَّهُ لا ينبَغي أن يعذِّبَ بالنَّارِ إلَّا ربُّ النَّارِ
Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah SAW dalam satu permusafiran, kemudian Baginda SAW pergi untuk menunaikan keperluannya. Kemudian, kami melihat seekor burung bersama dua ekor anaknya. Lalu kami mengambil kedua anaknya dan burung tersebut datang dan mengepak-ngepak sayapnya. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda: ‘Siapakah yang menyakiti burung ini dengan mengambil anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya.’ Setelah itu, Baginda SAW melihat sebuah sarang semut yang telah kami bakar dan Baginda bersabda: ‘Siapakah yang membakar sarang ini?’ Kami menjawab: ‘Kami (yang membakarnya).’ Baginda bersabda lagi: ‘Sesungguhnya tidak layak untuk menyeksa dengan api melainkan Allah SWT kerana Dia ialah Penguasa api.’”
Riwayat Abu Dawud (2300)
Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa membakar sarang serangga adalah makruh. Adapun semut, keuzuran padanya adalah sangat sedikit. Hal ini kerana, kemudaratannya boleh dihilangkan tanpa perlu kepada cara membakarnya dengan api. Sesungguhnya diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
إنَّ نبيًّا مِنَ الأنبياءِ قَرصتهُ نملةٌ، فأمرَ بقريةِ النَّملِ، فأُحْرِقَت، فأوحى اللَّهُ عزَّ وجلَّ إليهِ: في أن قرصَتكَ نملةٌ، أَهْلَكْتَ أمَّةً منَ الأُمَمِ تسبِّحُ
Maksudnya: “Dahulu ada di antara para nabi telah digigit oleh seekor semut, kemudian Nabi itu memerintahkan untuk pergi ke sarang semut tersebut lalu membakarnya. Maka Allah mewahyukan kepada Nabi tersebut: ‘Adakah kerana seekor semut yang menggigitmu, kemudian kamu menghancurkan umat daripada umat-umat yang bertasbih.’”
Riwayat Ibn Majah (3216)
Kemudian, al-Khattabi menyatakan, semut terbahagi kepada dua jenis. Pertamanya, jenis yang mengganggu dan memudaratkan, maka mencegah kemudaratan atau gangguan daripada semut itu adalah dibolehkan — yakni membunuhnya. Keduanya, jenis yang tidak memberi mudarat iaitu jenis semut yang memiliki kaki yang panjang, dan tidak boleh untuk membunuhnya. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/283)
Oleh itu, jelaslah bahawa sekalipun dibolehkan untuk membunuh semut yang memudaratkan, namun tidak dibenarkan untuk membunuhnya dengan cara membakarnya melainkan jika hal demikian hanya satu-satunya cara untuk membasminya. Maka ketika itu dibolehkan untuk membakarnya bagi membasminya. (Lihat Hasyiah al-Bujairami ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/306)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk membunuh semut sekiranya ia memberi mudarat atau mengganggu manusia. Namun, jika ia tidak memberi mudarat atau ancaman, maka hukumnya adalah haram untuk membunuhnya berdasarkan hadith Nabi SAW yang jelas melarang daripada membunuh semut, lebih-lebih lagi tanpa sebarang sebab mahupun keuzuran.
Ingatlah bahawa nyawa haiwan adalah terpelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya atau mencegah kemudaratan. Terdapat banyak hadith yang menceritakan bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas haiwan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Rasulullah SAW pernah bersabda :
ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ: يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya, dan tidak memotong kepalanya — yakni membunuhnya — kemudian membuangnya.’”
Riwayat al-Nasa’ie (4349)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H