#802: Memfitnah Orang Kafir

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya memfitnah orang kafir? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah bermaksud ujian.[1] Tambahan lagi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah sesuatu dan mereka-reka.[2] Manakala dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda.[3]

Justeru, berdasarkan kepada pentakrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Hal ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW sebagaimana hadith daripada Huzaifah R.A, bahawa Baginda bersabda:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya:Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).[4]

Selain itu, terdapat dalam riwayat yang lain dengan lafaz qattat “قَتّاتٌ”.[5] Tambahan pula, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan lagi bahawa nammam itu ialah orang yang duduk bersama-sama dalam satu kumpulan yang ramai, dan berakap-cakap tentang sesuatu perkara, lalu mereka menambah-nambah — yakni mereka-reka — perkara tersebut dengan tujuan untuk memfitnah. Akan tetapi qattat pula ialah orang yang mencuri dengar perbualan suatu kumpulan itu sedang mereka tidak tahu, dan kemudian menokok-tambah dengan sesuka hati cerita tersebut untuk tujuan memfitnah.[6] Selain itu, termasuklah juga perbuatan tersebut dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain untuk tujuan memfitnah.

Selain daripada itu, sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya mengakui dan bersetuju bahawa ‘memfitnah’ bukan daripada akhlak seorang Muslim, mahupun daripada nilai-nilai yang baik. Sebaliknya, Allah SWT berfirman:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya:Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.[7]

Al-Sa‘di ketika mengulas ayat ini menyebutkan, termasuk di dalam perkataan-perkataan yang baik itu adalah menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran, mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain perkara yang termasuk dalam lingkungan kata-kata yang baik. Apabila tidak semua manusia mampu untuk membantu orang lain dengan hartanya, maka mereka diperintahkan untuk berbuat baik kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuklah di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir.[8]

Terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Ghanm, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

شِرَارُ عِبَادِ اللهِ الْمَشَّاءُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفَرِّقُونَ بَيْنَ الْأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ الْبُرَآءَ الْعَنَتَ

Maksudnya: “Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.[9]

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya, Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa.[10]

Bukan itu sahaja, Nabi SAW ada meninggalkan pesanan yang lengkap dan menyeluruh berkenaan bagaimana berinteraksi dengan golongan bukan Islam — yakni dalam kalangan kafir zimmi dan kafir mu‘ahad — serta mengancam sesiapa yang melanggar pesanan ini dengan ancaman yang dahsyat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.’Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya:Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”[11]

Selain itu juga, terdapat riwayat daripada al-Qasim bin Mukhaimirah, daripada salah seorang sahabat Nabi SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ، لَمْ يَجِدْ رِيحَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ سَبْعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seseorang daripada kalangan kafir zimmi, dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak sejauh 70 tahun perjalanan.[12]

Begitu juga terdapat hadith yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat.[13]

Al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa termasuk di dalam erti al-Mu‘ahid ialah kafir zimmi dan mustakman — yakni yang diberi jaminan keamanan. Di antara perkara yang termasuk dalam kezaliman ke atas mereka adalah seperti mengutip bayaran jizyah atau kharaj bukan kepada sesiapa yang diwajibkan ke atasnya atau mengambil lebih daripada sepatutnya.[14] Tambahan lagi, Syihabuddin al-Qarafi menyebutkan, ikatan janji setia dengan kafir zimmi mewajibkan beberapa hak yang mesti dijaga. Hal ini kerana mereka hidup dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah SWT dan RasulNya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk, atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka, atau apa jua jenis daripada penganiayaan, maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan Rasul-Nya serta naungan agama Islam.[15]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa perbuatan memfitnah orang bukan Islam adalah haram kerana ia termasuk dalam perkara yang menzalimi mereka dan terdapat ancaman daripada Rasulullah SAW kepada sesiapa yang menzalimi mereka. Lebih-lebih lagi budaya fitnah-memfitnah ini bukan daripada akhlak seorang Muslim mahupun daripada akhlak-akhlak yang baik.

Bukan itu sahaja, budaya fitnah-memfitnah ini juga akan membawa kepada perpercahan serta keruntuhan sebuah keharmonian dan keamanan negara. Oleh sebab itu, ia sewajarnya ditinggalkan dan dijauhi sama sekali. Pada kesempatan ini juga, kami ingin mengingatkan supaya berwasapadalah dengan doa orang yang dizalimi sebagaimana sabda Nabi SAW:

اتَّقِ دَعْوَةَ الـمَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya:Dan berhati-hatilah kepada doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT.[16]

Termasuklah dalam kalangan yang dizalimi itu orang bukan Islam kerana tidak disyaratkan bahawa yang dizalimi itu hanya daripada kalangan orang Islam. Bahkan terdapat dalam riwayat daripada Anas bin Malik R.A, dengan lafaz tambahan:

وَإِنْ كَانَ كَافِرًا

Maksudnya:Sekalipun orang kafir.[17] [HR Ahmad (12549)]

Apatah lagi, kita diseru supaya berbuat baik dan berlaku adil walaupun kepada orang bukan Islam. Firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya:Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.[18]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Maqayis al-Lughah, 4/472.

[2] Lihat Fath al-Bari, 13/4.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=fitnah. Diakses pada 28 Mac 2022.

[4] Riwayat Muslim (105)

[5] Riwayat al-Bukhari (6056)

[6] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 369.

[7] Surah al-Baqarah: 83

[8] Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 57.

[9] Riwayat Ahmad (17998)

[10] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 369.

[11] Riwayat al-Bukhari (3166)

[12] Riwayat Ahmad (18072)

[13] Riwayat Abu Daud (3052)

[14] Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 8/211.

[15] Lihat al-Furuq, 3/14.

[16] Riwayat al-Tirmizi (2014)

[17] Riwayat Ahmad (12549); al-Mubarakfuri menukilkan daripada al-Munawi di dalam al-Taisir bahawa sanadnya dinilai sahih. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/131)

[18] Surah al-Mumtahinah: 8

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *