Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana jika seorang imam yang mengimamkan solat jenazah, melakukan takbir sebanyak lima kali?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Jumlah takbir di dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِىَ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

Maksudnya: “Rasulullah menangisi Najasyi di hadapan orang ramai pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar ke tempat solat dan bertakbir sebanyak empat takbir.”[1]

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Di dalam hadis ini terdapat dalil di mana mana jumlah takbir solat jenazah adalah empat kali takbir. Ini adalah mazhab kami dan mazhab jumhur.”[2]

Hal ini menjadi dalil bahawa takbir di dalam solat jenazah itu berjumlah empat kali. Ini merupakan pandangan jumhur fuqaha’. Imam al-Nawawi menegaskan hal ini ketika mengulas berkenaan rukun solat jenazah di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin.[3]

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan kata-kata Saidina Umar R.A yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Said bin al-Musayyab. Kata Saidina Umar R.A: “Jumlah takbir pernah dibuat empat, lima dan 6 kali. Lalu kami putuskan untuk dibuat 4 sahaja.”[4]

Dalam isu di atas, jika seorang imam bertakbir sebanyak 5 kali dalam solat jenazah, maka solat tersebut tetap sah dan tidak memudaratkan solat yang sedang dilakukan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di mana beliau menyebut: “Jika seseorang melakukan takbir sebanyak 5 kali maka ianya tidak membatalkan solat menurut qaul al-asah. Dan jika Imam bertakbir sebanyak 5 kali maka tidak boleh diikuti mengikut qaul al-asah. Bahkan sama ada dia boleh memberi salam atau menunggu untuk salam bersama imam.”[5]

Ibnu Qasim al-Ghazzi menyatakan: “Sekiranya jika imam melakukannya (bertakbir kali kelima), maka (perbuatan tersebut) tidak boleh diikuti. Sama ada makmum memberi salam (mufaraqah) ataupun menunggu untuk salam bersama-sama dengan imam. Itu adalah lebih baik.”[6]

Imam al-Baijuri pula menjelaskan: “Kata musonnif (Ibnu Qasim) tidak diikuti imam yang bertakbir 5 kali iaitu tidak disunatkan ikut tambahan takbir yang dilakukan oleh imam. Jika dia tetap ikut, maka tidaklah membatalkan solatnya seperti mana yang difatwakan oleh Imam al-Ramli. Kata beliau: dia boleh bagi salam selepas niat mufaraqah ataupun tunggu sebentar sehingga dia boleh salam bersama imam. Inilah yang lebih baik.”[7]

Imam al-Nawawi turut menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa jika dia terlebih dari empat kali takbir, tidak perlu untuk sujud sahwi. Hal ini berbeza dengan solat biasa yang mana wajib diikuti setiap perbuatan imam.[8]

Kesimpulan

Kami pernah solat di Masjid al-Nabawi selepas solat Asar, diadakan solat Jenazah. Ketika itu, imamnya adalah guru kami, Syeikh Muhammad Ali al-Thani. Beliau telah bertakbir sebanyak lima kali pada masa solat Jenazah. Hal ini ditanya kepadanya, dan dikatakan hukumnya harus dan tidak batal solat. Itulah seingatan saya.

Berdasarkan kenyataan di atas, jika imam bertakbir 5 kali ketika solat jenazah maka tidaklah membatalkan solat. Dan menjadi pilihan bagi makmum untuk ikut ataupun tidak. Jika dia mahu mengikut imam, maka selepas itu bacalah doa untuk si mati walaupun sudah dibaca pada takbir sebelumnya. Sebaliknya jika dia tidak mahu mengikut imam, dia diberi pilihan kepadanya untuk mufaraqah dengan memberi salam ataupun tunggu sebentar untuk memberi salam bersama imam.

Marilah kita berdoa untuk orang yang mati di kalangan kita:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

[1] Riwayat Muslim (2247)

[2] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/23

[3] Lihat Minhaj al-Talibin, 1/332

[4] Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/301

[5] Lihat Minhaj al-Talibin, 1/333

[6] Lihat Fath al-Qarib al-Mujib Fi Syarh alfaz al-Taqrib, hlm 114

[7] Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 1/480

[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/188

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *