#875: Berpuasa 28 Hari

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ada persoalan, bagaimana sekiranya seseorang itu berada di negara yang memulakan puasa lewat sehari, tetapi bermusafir ke negera yang berpuasa awal kemudian melengkapkan sehingga ke 29 Ramadhan. Hal ini akan menyebabkan dia berpuasa selama 28 hari sahaja. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Bilangan Hari di dalam Bulan Hijriah

Sebagaimana disebutkan dalam hadith Ibnu ‘Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ فَلاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ وَلاَ تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya bulan (hijriyah) antara 29 hari (atau 30 hari). Janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat hilal (anak bulan). Dan janganlah kamu berhari raya sehingga kamu melihat hilal. Jika hilal tidak kelihatan, maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi 30 hari.[1]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan kami juga tidak mengira. Satu bulan itu, begini dan begini.” Maksudnya, kadang-kadang (jumlah harinya) dua puluh sembilan hari dan kadang-kadang tiga puluh hari.”[2]

Berpuasa 28 Hari Disebabkan Oleh Permusafiran

Pada asasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan dan juga berhari raya pada bulan Syawal ditentukan berdasarkan kelihatannya anak bulan. Asas kepada perkara ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

Maksudnya: “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan)”[3]

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: “Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.[4]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Di dalam mazhab al-Syafi’ie, penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama.[5]

Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka.

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”.[6]

Berkenaan dengan seseorang yang memulakan puasa di negara lain yang memulakan puasa lewat sehari disebabkan oleh tidak kelihatannya anak bulan di negara mereka, kemudian dia bermusafir ke negara lain yang memulakan puasa awal sehari dan melengkapkan Ramadhan sehingga ke hari 29 sahaja, maka hal ini akan menyebabkan dia berpuasa selama 28 hari. Justeru, al-Khatib al-Syiribini telah menjawab berkenaan isu ini, katanya:

“Sesiapa bermusafir dari negeri lain yang tidak dilihat anak bulan Syawal ke negeri yang kelihatan anak bulan, maka wajib untuk dia berhari raya bersama mereka, iaitu di negeri yang dilihat padanya anak bulan Syawal, sama ada dia telah berpuasa dua puluh lapan hari ataupun dua puluh sembilan hari. Justeru, hendaklah dia mengqadha’kan sehari puasa jika dia hanya berpuasa selama dua puluh lapan hari kerana bulan dalam Islam tidak akan kurang daripada 29 hari. Berbeza jika dia telah berpuasa sebanyak dua puluh sembilan hari, maka tidak wajib qadha’ baginya kerana ia telah menepati bilangan bulan Islam yang paling sedikit, iaitu 29 hari”.[7]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula menyatakan: Apabila penduduk di sesebuah negeri yang tidak kelihatan anak bulan Syawal pergi ke negeri yang telah kelihatan anak bulan, dia hendaklah berbuka bersama-sama penduduk negeri itu sama ada dia telah berpuasa 28 hari disebabkan bulan Ramadhan di negerinya kurang daripada 30 hari ataupun telah berpuasa 29 hari disebabkan bulan Ramadhan di negerinya genap 30 hari. Sekiranya berpuasa hanya 28 hari, dia hendaklah mengqadha’ puasanya sehari kerana bilangan hari dalam sebulan tidak ada yang demikian. Walaubagaimanapun, sesiapa di kalangan penduduk sesebuah negeri yang telah berhari raya pergi ke negeri yang penduduknya masih berpuasa pada hari tersebut, dia hendaklah imsak bersama-sama mereka. [8]

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan isu ini, maka beliau menjawab: “Maka bagi orang tersebut hendaklah dia berpuasa dan berhari raya dengan orang yang ada di negerinya. Namun jika puasa yang dilakukan tidak sampai 29 hari, maka dia tetap berhari raya bersama dengan negeri yang dia datangi. Sedangkan kekurangan satu hari, mesti diqadha’ selepas berkahirnya Ramadhan. Hal ini kerana bulan Hijriyah tidak mungkin kurang dari 29 hari. [9]

Dalam keadaan ini, menurut qaul mu’tamad dalam mazhab Syafie, wajib qadha sehari selepas Ramadhan untuk mencukupkan sekurang-kurang Ramadhan iaitu 29 hari. Ini berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi, Imam Syihabuddin al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami.[10]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan hujah-hujah di atas, kami menyimpulkan bahawa seseorang yang memulakan puasa di negara lain yang memulakan puasa lewat sehari disebabkan oleh tidak kelihatannya anak bulan di negara mereka, kemudian dia bermusafir ke negara lain yang memulakan puasa awal sehari dan melengkapkan Ramadhan sehingga ke hari 29 sahaja, maka hal ini akan menyebabkan dia berpuasa selama 28 hari, maka hendaklah dia bersama-sama dengan penduduk negeri tersebut menyambut hari raya Eid al-Fitri, dan kemudiannya menqadha’kan puasanya selama sehari. Hal ini kerana bulan Islam tidak akan kurang daripada 29 hari. Justeru, hendaklah dia melengkapkan puasanya yang tidak mencukupi 29 hari dengan berpuasa tambahan sehari setelah tamatnya bulan Ramadhan dan hari raya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

 

[1] Riwayat Muslim (1080)

[2] Riwayat al-Bukhari (1913)

[3] Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

[4] Riwayat Muslim (1081)

[5] Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e, 2/161

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 2/144-145

[7] Ibid, 2/145

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78

[9] Lihat Majmu’ Fatawa, 15/155.

[10] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/384, Nihayah al-Muhtaj, 3/157

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *