#880: Hikmah di Sebalik Puasa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hikmah di sebalik disyariatkan berpuasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”[1]

Nabi SAW telah bersabda:

بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan”[2]

Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bernaza diam membisu kerana (Allah) al-Rahman.”[3]

Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.[4]

Hikmah Puasa

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu daripada tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT yang sentiasa sama ada dalam keadaan sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.

Puasa membawa seorang mukmin mempunyai nizam dan disiplin yang tinggi. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”

Kami nukilkan juga di sini kenyataan daripada pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[5] dalam menjelaskan hikmah puasa, antaranya disebut:

Puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadah yang difardhukan oleh Allah. Puasa bermaksud, setiap orang Islam yang melakukannya kerana mematuhi perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadanya tanpa memandang sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ianya mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.[6]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

[1] (Surah al-Baqarah: 183)

[2] Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)

[3] (Surah Maryam: 26)

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69

[5] 1/65-69

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/65-69

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *