#907 Berjimak Dengan Isteri Pada Siang Ramadhan kerana Terlupa

Last Updated: April 8, 2022By Tags: , , ,
[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya baru berkahwin beberapa minggu sebelum Ramadhan. Baru-baru kami suami isteri telah berjimak pada siang Ramadhan secara tidak sengaja kerana terlupa berada dalam bulan Ramadhan. Justeru, bagaimanakah status puasa kami dan adakah saya sebagai suami dikenakan kaffarah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya:Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”[1]

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul fiqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan. Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan bahawa telah dihalalkan bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa, maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala mafhum — yakni yang difahami — daripada ayat ini pula adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Secara umumnya bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadhan, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Mengenai hal ini, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, persetubuhan pada siang hari Ramadhan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekalipun tidak berlaku inzal — yakni keluar air mani. Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak menjejaskan puasanya berdasarkan ayat di atas kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ” dalam ayat itu bermaksud jimak. Walau bagaimanapun, jika persetubuhan itu terjadi dalam keadaan terlupa bahawa mereka sedang berpuasa, maka ia tidak membatalkan puasa.Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya:Sekiranya seseorang itu terlupa (bahawa dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah SWT yang telah memberinya makan dan minum.[2]

Hadith di atas secara jelas menyebutkan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa. Justeru, para ulama menqiyaskan kedua-dua perbuatan itu dengan jimak dan selainnya daripada perkara yang membatalkan puasa, jika dilakukan dalam keadaan terlupa.[3] Dalam erti kata lain, puasa orang yang berjimak dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa tidak batal, sebaliknya puasa mereka masih dikira sah. Oleh sebab itu, Baginda mengarahkan supaya golongan yang terlupa ini untuk meneruskan puasa tersebut.

Begitulah juga kaffarah disebabkan persetubuhan pada siang Ramadhan turut tidak dikenakan ke atas suami. Hal ini jelas dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa kaffarah tersebut hanya wajib kepada sesiapa yang sengaja membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan, serta dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan. Justeru, mereka yang terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadhan, jahil tentang haramnya membatalkan puasa selain puasa Ramadhan dengannya, sengaja membatalkan puasa Ramadhan selain persetubuhan atau dalam musafir yang diharuskan berbuka, lalu dia melakukan persetubuhan, dalam semua keadaan tersebut, dia wajib qadha’ sahaja puasanya yang ditinggalkan itu tanpa kaffarah.[4]

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, jika terdapat keuzuran yang dibenarkan seperti seseorang yang mendatangi isterinya dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, atau jahil tentang haramnya perbuatan itu, atau berbuka secara sengaja dengan makan dan minum lalu mendatangi isterinya, atau dia sedang bermusafir atau sakit yang membolehkannya diberi keringanan (rukhsah) untuk berbuka lalu dia mendatangi isterinya, atau dia berpuasa selain puasa Ramadhan, atau seumpamanya, maka kesemua keadaan ini mewajibkannya untuk qadha’ puasanya sahaja — dan tidak dikenakan kaffarah — sebagaimana diwajibkan qadha’ puasa kepada orang sakit dan musafir yang meninggalkan puasanya.[5]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa persetubuhan antara suami isteri pada siang Ramadhan kerana terlupa bahawa mereka sedang berpuasa, tidak membatalkan puasa kedua-duanya dan puasa mereka masih lagi dikira sah. Perkara ini bertepatan dengan riwayat daripada Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[6]

Apabila puasa kedua-duanya masih dikira sah, maka begitulah juga tidak diwajibkan ke atas suami yang berjimak pada siang Ramadhan disebabkan oleh terlupa kaffarah. Justeru, suami dan isteri yang melakukan persetubuhan pada siang Ramadhan kerana terlupa tidak perlu menggantikan (qadha’) puasa itu semula mahupun diwajibkan kaffarah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Riwayat al-Bukhari (1933)

[3] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/116.

[5] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/203.

[6] Riwayat Ibn Majah (2043)

Leave A Comment