#957: Menelan Kahak Semasa Puasa
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang menelan kahak ketika berpuasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menurut Kamus Dewan Bahasa, kahak bermaksud lendir yang dikeluarkan daripada kerongkong. Manakala dahak pula bermaksud gelema (lendir) yang keluar daripada kerongkong ketika batuk.
Dalam bahasa Arab, kahak disebut dengan lafaz ‘نخامة’, manakala air liur pula disebut dengan lafaz ‘رِيق’. Menurut kamus al-Muhit, ‘نخامة’ bermaksud kahak yang dikeluarkan oleh seseorang daripada kerongkongnya, yang bersumber daripada saluran pernafasan. Manakala ‘رِيق’ pula adalah air yang dihasilkan secara semulajadi oleh mulut.
Berbalik kepada persoalan di atas, perlu dilihat, bahawa sekiranya lendir kahak tersebut berada pada bahagian zahir bagi rongga mulut, maka jika seseorang menelan kahak tersebut, batallah puasanya. Inilah seperti yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini, katanya: “Sekiranya turun kahak daripada otak dan sampai kepada had zahir daripada mulut iaitu pada makraj huruf Kha’ (خ) begitu juga dengan makhraj Ha’ (ح) berdasarkan pendapat yang kuat, maka jangan dibiarkan kahak itu berjalan pada rongga mulut dan hendaklah mengeluarkannya jika dia mampu. Dan sekiranya dia tidak mengeluarkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk mengeluarkannya dan sampai pula kahak tersebut ke bahagian dalam maka puasanya adalah batal.”[1]
Justeru, difahami daripada kenyataan di atas, bahawa had zahir bagi rongga mulut adalah mengikut kadar makhraj huruf (خ) dan (ح), manakala had batin bagi rongga adalah berdasarkan makhraj huruf (ه) dan (ء). Maka, jika kahak sudah berada pada had zahir bagi rongga mulut, dan kemudian ditelan kahak tersebut, maka batal puasanya.
Sebaliknya, tidak batal puasa sekiranya ditelan kahak yang berada di bahagian dalam seperti berada di bahagian halkum dan ke dalam, yang tidak mampu untuk dikeluarkan. Ini kerana mengambil kira faktor kesukaran untuk mengeluarkan kahak yang telah berada di bahagian tersebut.
Hal ini juga sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut: “Sekiranya kahak tidak sampai ke had zahir daripada mulut, maka tidak lah memudaratkan puasa. Dan sekiranya kahak itu sampai pada mulut dengan sebab kahak itu turun dari otak melalui lubang yang kecil dari kepala sehingga ke bahagian dalam mulut iaitu atas dari paras halkum, maka ia dilihat (berdasarkan beberapa keadaan). Jika dia tidak mampu untuk mengeluar dan meludahkannya sehingga masuk ke bahagian dalam rongga, maka tidak memudaratkan puasanya.”[2]
Selain itu, Syeikh Taqiyuddin Abu Bakr al-Husaini menjelaskan: “Sekiranya kahak turun dari kepalanya sehingga ia berada di bahagian atas kerongkong (belum sampai ke mulut), maka hukumnya bergantung kepada dua keadaan. Sekiranya dia tidak mampu mengeluarkannya, kemudian kahak tersebut turun sehingga sampai di perutnya, maka tidak batal puasanya. Namun, jika dia mampu mengeluarkannya, tetapi tidak melakukannya sehingga akhirnya kahak tersebut turun (sehingga ke perut), maka batallah puasanya.[3]
Dar al-Ifta’ Jordan juga pernah mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini. Mereka menyebut: Sekiranya orang yang berpuasa sengaja menelan kahaknya, maka batal puasa tersebut. Ini kerana dia mampu untuk mengawal kahak tersebut (daripada tidak tertelan). Namun, jika dia tidak mampu mengeluarkan kahak itu dan tertelan (tanpa disengajakan), maka puasanya tidak batal. Kahak adalah kotoran yang seharusnya dia jauhi daripadanya.[4]
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa puasa seseorang tidak batal sekiranya dia menelan kahak yang sudah berada di bahagian dalam, seperti di bahagian halkum dan ke dalam, yang tidak mampu untuk dikeluarkan olehnya. Hal ini dengan mengambil kira faktor kesukaran untuk mengeluarkan kahak yang telah berada di ruangan tersebut.
Akan tetapi, sekiranya lendir kahak tersebut sudah berada pada bahagian zahir bagi rongga mulut, kemudian ditelan kahak itu, maka batallah puasanya. Had zahir bagi rongga mulut – seperti dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini – adalah mengikut kadar makhraj huruf (خ) dan (ح), manakala had batin bagi rongga adalah berdasarkan makhraj huruf (ه) dan (ء).
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat al-Iqna’ oleh al-Khatib al-Syarbini, 1/337
[2] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/360
[3] Lihat Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar, 1/205
[4] Lihat https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103#.YlT_AMhBzIU