Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibolehkan bagi seseorang meminta sesuatu jawatan sebagai pemimpin kerana merasakan dirinya berkelayakan?

 

Jawatan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.

Surah Yusuf (55)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Meminta menjadi pemimpin adalah sesuatu yang diperkecilkan oleh Rasulullah SAW, namun permintaan Nabi Yusuf AS ini kerana itu merupakan jalan untuk berdakwah kepada Allah, memberi keadilan kepada masyarakat, menghilangkan kezaliman yang mereka alami, dan melakukan berbagai kebaikan yang dahulu tidak pernah mereka lakukan sebelumnya.” (Lihat Mukhtasar al-Fatawa al-Misriyah, hlm. 564).

Syeikhuna Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi berkata: Maka Yusuf menjawab—sebagaimana yang Dia kabarkan — ( قَالَ ٱجۡعَلۡنِي عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلۡأَرۡضِۖ) “Jadikanlah aku bendaharawan negeri.” yaitu Mesir, menggantikan posisi Al-‘Aziz yang telah meninggal pada masa itu.

Kemudian menjelaskan sebab permintaannya untuk menjawat kementerian kewangan dan ekonomi dengan perkataannya, (إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٞ) aku dapat menjaga dan mengatur hal yang diberikan kepadaku, pandai dalam pengaturan dan pengurusan suatu perkara. (Lihat Aisaru al-Tafasir li Kalam al-Aliy al-Kabir, 2/216)

Antara pengajaran yang boleh diambil bolehnya menyatakan keahlian dan kelayakan  orang yang dicalon untuk suatu pekerjaan, dan ini tidak termasuk menyucikan dan membangga diri.

Justeru, kami katakan nas ini menunjukkan keistimewaan kepada Nabi Yusuf kerana kelayakan yang dikurniakan oleh Allah SWT atas pelbagai ilmu yang dimilikinya termasuk ekonomi dan pentadbiran. Lagi mempunyai integriti yang tinggi dan amanah yang mantap.

Jawatan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud kedudukan dalam pekerjaan yang menentukan tugas seseorang, seperti jawatan sebagai pemimpin negara, ketua pengarah, pegawai penyelidik, setiausaha, pengerusi, dan sebagainya.

Jawatan merupakan suatu amanah yang amat besar kerana tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang itu juga besar. Setiap yang memegang amanah daripada sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besarnya mempunyai tanggungjawab yang tersendiri dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتٍ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Hadith riwayat Muslim (3408)

Hadith di atas dapat dijadikan sebagai pedoman kepada kita bahawa setiap tanggungjawab yang diberikan tidak akan terlepas daripada perhitungan, bahkan seorang hamba juga akan dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya terhadap tuannya.

Hukum Meminta Jawatan Pemimpin

Jawatan sebagai pemimpin pada zaman ini zahirnya kelihatan menyeronokkan kerana mempunyai ramai penyokong dan banyak kelebihan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan, akan tetapi di sebaliknya terdapat banyak tanggungjawab dan penat lelah yang perlu dilalui. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah memberikan peringatan awal kepada para sahabat mengenainya, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإمَارَةِ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ القِيامَةِ، فَنِعْمَ المُرْضِعَةُ وبِئْسَتِ الفاطِمَةُ

Maksudnya: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.”

Hadith riwayat al-Bukhari (7148)

Syeikh Ahmad al-Qastalani menyatakan bahawa (الإمَارَةِ) bermaksud al-Imamah al-Uzma (kekuasaan tertinggi) atau kepimpinan melalui perwakilan mandat. Penyesalan bagi mereka di akhirat pula apabila mereka tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 10/222)

Terdapat juga tegahan daripada Nabi SAW daripada memohon jawatan seperti yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Samurah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، لَا تَسْأَلِ الإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Wahai Abdul Rahman, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau diberikan permasalahan (jawatan), maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Dan jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah SWT).”

Hadith riwayat  al-Bukhari (6722), Muslim (1652) dan Abu Dawud (2929)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa antara faedah hadith ini adalah makruh hukumnya meminta jawatan sama ada jawatan pemimpin, kehakiman, penguatkuasa dan lain-lain. Faedah lainnya juga adalah sesiapa yang meminta jawatan tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT dan tidak mempunyai kecukupan (kemampuan) untuk melaksanakan pekerjaan itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/116)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Perkataan ‘وُكِلْت’ diberi harakat dhammah pada huruf waw dan harakat kasrah pada huruf kaf. Kemudian huruf kaf ini terkadang tidak diberi tasydid dan terkadang pula diberi tasydid. Apabila tidak diberi tasydid, maka ertinya dipalingkan kepada perkara, dan siapa yang diserahkan kepada dirinya sendiri, maka dia binasa, seperti yang disebutkan di dalam doa: ” وَلَا تَكِلنِي إِلَى نَفْسِي” (Dan jangan engkau serahkan aku kepada diriku). Kalimat ‘وَكَلَ أَمْره إِلَى فُلَان’, ertinya dia menyerahkan urusan itu kepada si fulan. Sedangkan kalimat ‘وَكَّلَه’ ertinya dia mewakilkannya untuk menjaganya. (Lihat Fath al-Bari, 20/165)

Hadith ini membawa maksud bahawa hukum meminta jawatan sebagai pemimpin ini adalah makruh. Akan tetapi hukum makruh ini adalah bagi mereka yang tidak yakin tentang kemampuannya untuk memimpin sedangkan ada orang lain yang lebih yakin dan layak untuk memimpin. Adapun jika seseorang itu benar-benar layak dan yakin untuk memimpin, maka diharuskan baginya meminta jawatan tersebut.

Hal ini seperti mana yang dikisahkan tentang Nabi Yusuf A.S di dalam al-Quran, ketika mana Baginda berdoa kepada Allah agar diberikan jawatan di Mesir.

Firman Allah SWT:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “(Yusuf) berkata: ‘Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya’.”

(Surah Yusuf: 55)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa ayat ini memberi maklum balas berkenaan hadis larangan meminta jawatan dan tatacara kepada umat Islam jika menginginkan jawatan. Antara kesimpulan daripada hadith-hadith dan ayat al-Quran di atas adalah:

  • Individu yang tidak mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin seperti lemah, tua umurnya, atau sekadar mementingkan diri sendiri sahaja, adalah dilarang daripada meminta jawatan atau kekuasaan kerana tidak berkelayakan.
  • Diharuskan bagi seseorang untuk meminta jawatan dan menunjukkan kesediaannya jika tujuan untuk memperkenalkan diri.
  • Orang yang meminta jawatan perlu mempunyai ciri-ciri seperti boleh dipercayai, kuat pengetahuan agama, dan sangat layak dalam hal kekuasaan.
  • Diharuskan juga bagi seorang yang alim untuk bekerja dibawah seorang yang fasiq ataupun raja yang kafir jika tiada jalan lain lagi untuk menegakkan kebenaran kecuali melalui 2 jalan tersebut.

Tetapi jika pendapat dan keputusan orang alim tersebut seperti membenarkan hawa nafsu dan keinginan mereka, maka tidak boleh.

  • Seseorang boleh mempromosikan dirinya kepada orang lain tentang ilmu, kehebatannya serta kemampuannya mengikut keadaan; seperti mencari pekerjaan dan yang sejenisnya.
  • Dialog sesama manusia menjadi perkara yang penting dalam mengenali antara satu sama lain, maka orang yang mahu akan jawatan juga harus pandai dalam berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Munir, 13/11)

Kesimpulan

Perbuatan meminta-minta sesebuah jawatan perlulah melihat kepada kesesuaian dan kelayakan terlebih dahulu, bukan semua orang boleh dengan sewenang-wenangnya menggalas jawatan sebagai pemimpin.

Mengharapkan sesuatu jawatan dan meminta diberikan jawatan tersebut adalah makruh sekiranya orang tersebut tidak menepati kriteria sebagai seorang pemimpin yang berkelayakan dan memimpin masyarakat ke arah ajaran islam.

Jika seseorang itu memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan, dan menepati kriteria sebagai pemimpin yang berwibawa, maka diharuskan baginya meminta jawatan tersebut. Seperti mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi berkenaan bidang yang diminta dan keadaan semasa, serta kuat dalam kepimpinannya.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply