Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Adakah boleh  pelajar Muslim menyanyi lagu kristian di sekolah ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

Surah al-Jathiyah (18)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Kemudian Kami tetapkan undang-undang yang lengkap bagimu yang menyeru kepada segala kebaikan dan melarang dari segala keburukan dari urusan Kami yang berhubungan dengan hukum syarak, maka ikutilah syariat itu. Sesungguhnya dalam mengikutinya terdapat kebahagiaan yang kekal, kebaikan, dan kejayaan. Dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui  iaitu orang-orang yang kehendak mereka tidak berdasarkan ilmu dan tidak mengikutinya. Mereka adalah setiap orang yang menyimpang dari syariat Rasulullah SAW yang hanya mengikuti hawa nafsu dan kehendaknya, maka mereka adalah termasuk dalam hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.777)

Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat: Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan di sini bahawa selepas mendengar dan menekuni beberapa lagu, kami dapati ia bercanggah dengan kefahaman umat Islam berkenaan dengan konsep Nabi Allah Isa AS. Ini kerana, keyakinan kami sebagai mana nas Ilahi:

 إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا ۖ وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ ۖ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي ۖ وَتُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ بِإِذْنِي ۖ وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِي ۖ وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.

Surah al-Maidah (110)

Justeru, kami katakan tidak dibolehkan bagi pelajar Muslim menyanyi lagu kristian di sekolah kerana terkandung di dalamnya ungkapan – ungkapan yang mensyirikkan Allah. Ini kerana dosa mensyirikkan Allah amatlah berat sebagaimana firman Allah SWT :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Kami mengambil kesempatan dengan tulus ikhlas untuk menasihati khususnya kepada ibu-bapa dan guru-guru Muslim supaya mengawasi anak-anak dan membimbing mereka kepada ajaran Islam yang sebenar supaya tidak terjerumus ke lembah kesyirikan.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply