#1030 Penentuan Awal Bulan Syawal di Malaysia

Siri Solat Sunat

Solat Tawaf

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Wuduk

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Nikah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-73%

Siri Solat Sunat

9 eBook Siri Solat Sunat

Rated 0 out of 5
RM12.00RM62.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Taubat

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tasbih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Baru-baru ini telah tular satu video yang menyatakan bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Isnin bersamaan 2 Mei 2022, sedangkan mengikut taqwim, kita dijangka akan menyambut 1 Syawal pada hari Selasa bersamaan 3 Mei 2022. Justeru, soalan saya, bagaimanakah sebenarnya penentuan awal bulan Islam di Malaysia, khususnya anak bulan Ramadhan dan Syawal?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ketika artikel ini ditulis, sedang hangat diperbincangkan isu jatuhnya Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini dengan pelbagai hujah dan pendapat. Persoalan ini dikemukakan kepada saya untuk ditekuni dengan sebaik-baiknya. Selepas berbincang dan menekuni isu ini dengan melakukan muraja’ah kepada ummahat al-kutub, dan rujukan kepada ahli falak sendiri, maka saya nyatakan seperti berikut:

Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”[1]

Allah SWT menjelaskan dalam ayat ini mengenai faedah dan hikmah daripada perbezaan bentuk hilal (anak bulan) dengan pertambahan mahupun pengurangan pada setiap bulannya. Diceritakan bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang hal itu. Maka Allah SWT menjawabnya dengan menyebutkan, ia adalah tanda-tanda yang mana dengannya manusia dapat mengetahui waktu-waktu ibadat mereka yang sudah ditentukan waktunya seperti puasa, haji, zakat, dan maslahah-maslahah yang lainnya.[2]

Ibn Kathir berkata, ayat di atas menjelaskan bahawa hilal itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka, iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain.[3]

Menurut al-Tabari dengan menukilkan daripada riwayat Qatadah bahawa orang ramai bertanya berkenaan; mengapa dijadikan bulan sedemikian rupa? Lalu Allah SWT menurunkan ayat berkenaannya sebagaimana yang kamu dengar iaitu ayat “هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ” (Peredaran anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu urusan dan amalan manusia). Justeru ia menjadi rujukan bagi puasa kaum Muslimin dan waktu berbuka mereka (yakni Hari Raya), penentuan waktu haji dan manasik mereka, tempoh iddah bagi kaum perempuan dan tempoh berhutang dalam sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya.[4]

Syarah Hadith ‘Berpuasa dan Berhari Raya Berdasarkan Anak Bulan’

Dalam menjawab persoalan di atas, saya mulakan perbincangan ini dengan mengemukakan nas hadith berkenaan perintah untuk melihat anak bulan dalam penentuan berpuasa dan juga berhari raya.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُبِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبانَ ثَلاثِينَ

Maksudnya: “Berpuasalah kamu ketika telah melihat anak bulan Ramadhan dan berhentilah kamu berpuasa ketika kamu melihat anak bulan Syawal, jika anak bulan tidak kelihatan bagimu maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi 30 hari.”[5]

Dalam riwayat Ibn Umar R.Anhuma, baginda Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu berpuasa sehingga melihat anak bulan (Ramadhan), dan janganlah pula kamu berhenti berpuasa sehingga melihatnya anak bulan (Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada kamu, maka hendaklah kamu menghitungnya. [6]

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan pendapat berkenaan perbahasan tentang maksud “فَاقْدُرُوا” ini . Pertama , pendapat yang memahami bahawa perkataan itu bertujuan untuk membezakan antara keadaan cerah dan keadaan mendung. Setiap satu cara untuk menentukan awal bulan. Rukyah hendaklah digunakan dalam keadaan cerah dan qadru digunakan dalam keadaan mendung. Pendapat ini dikemukakan oleh kebanyakan ulama’ mazhab Hanbali.  Kedua , tiada perbezaan antara dua syarat di atas. Perkataan “فَاقْدُرُوا” dalam hal ini bermaksud penegasan kalimah sebelumnya. Pendapat ini disokong oleh kebanyakan ulama dan ” فَاقْدُرُوا لَهُ” bermaksud “انْظُرُوا فِي أَوَّلِ الشَّهْرِ وَاحْسِبُوا تَمَامَ الثَّلَاثِينَ” (Lihatlah pada awal bulan dan kiralah sehingga sempurna 30 hari).[7]

Imam al-Nawawi menyatakan: Ulama’ berbeza pendapat mengenai maksud “ فَاقْدُرُوا لَهُ”, sebahagiannya menyatakan maksudnya ialah pembatasan baginya dan kiraannya (al-Hisab). Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan selainnya yang mengharuskan berpuasa pada hari yang malamnya terlindung (daripada kelihatan anak bulan Ramadhan). Ibn Suraij dan kumpulannya, Mutarrif bin Abdullah, Ibn Qutaibah dan selainnya menyatakan maksudnya ialah untuk memastikan dengan mengira kedudukan bulan (hisab al-manazil). Manakala mazhab Malik, al-Syafi’ie, Abu Hanifah dan Jumhur salaf dan khalaf berpandangan bahawa maksud “قَدِّرُوا لَهُ” ialah menyempurnakan 30 hari.[8]

Al-Dimyati menyatakan di dalam I‘anah al-Talibin: “Dalam al-Mughni, al-Khatib menyatakan: “Jika seorang atau dua orang bersaksi bahawa dia atau mereka telah melihat anak bulan, sedangkan secara hisab, anak bulan tidak mungkin kelihatan, maka menurut al-Subki kesaksian itu tidak diterima, kerana hisab bersifat pasti sedangkan rukyah bersifat dugaan, sudah pasti yang bersifat dugaan tidak boleh mengalahkan yang pasti.”[9]

Takwim Hijriah dan Jenis-jenisnya

Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

Secara praktikal, Takwim Hijriah terbahagi kepada beberapa jenis seperti berikut:

  • Takwim Istilahi (تقويم اصطلاحي)

Pusingan lengkap peredaran bulan mengelilingi bumi (satu bulan) adalah 29.53059 hari. Bilangan hari ini kemudiannya dibuat jujukan selama 30 tahun menghasilkan jumlah hari hampir genap 10631 hari. Jumlah hari selama 30 tahun ini membentuk purata jumlah hari setahun iaitu 354.36667 hari. Jumlah hari purata ini digunakan untuk menyusun 12 bulan taqwim berdasarkan jumlah hari 29 atau 30 hari secara selang seli menjadikan 354 hari setahun. Kaedah ini hanya digunakan untuk membuat anggaran tarikh sahaja, bukan untuk takwim ibadat.

  • Takwim Hakiki (تقويم حقيقي)

Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari. Penentuan awal bulan hijriah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki, iaitu apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

  • Takwim Wujud al-Hilal (تقويم وجود الهلال)

Takwim yang berdasarkan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

  • Takwim Imkanur Rukyah (تقويم إمكان الرؤية)

Takwim Imkanur Rukyah adalah berdasarkan penentuan setiap awal bulan hijriah ditetapkan berpandukan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.[10]

Ciri-Ciri Takwim Hijriah

Pertama: Bulan

Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 36. Bilangan bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu:

  • Muharram (ﻣﺤﺮم)
  • Safar (ﺻﻔﺮ)
  • Rabi’ al-Awwal (رﺑﻴﻊ اﻷول)
  • Rabi’ al-Thani (رﺑﻴﻊ اﻟﺜﺎﻧﻲ)
  • Jumada al-Awwal (ﺟﻤﺎدى اﻷول)
  • Jumada al-Thani (ﺟﻤﺎدى اﻟﺜﺎﻧﻲ)
  • Rejab (رجب)
  • Syaaban (شعبان)
  • Ramadhan (رمضان)
  • Syawal (شوال)
  • Zulkaedah (ذو اﻟﻘﻌﺪة)
  • Zulhijjah (ذو اﻟﺤﺠﺔ)

Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan Hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Baginda bersabda:

الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا، يَعْنِي: ثَلاَثِينَ، ثُمَّ قَالَ: وَهَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا، يَعْنِي تِسْعًا وَعِشْرِينَ، يَقُولُ: مَرَّةً ثَلاَثِينَ، وَمَرَّةً تِسْعًا وَعِشْرِينَ

Maksudnya: “Bulan itu begini, begini, dan begini.” Yakni tiga puluh hari. Kemudian Baginda bersabda: “Dan begini, begini, dan begini.” Yakni dua puluh sembilan hari. Baginda SAW menyebut sekali tiga puluh hari dan sekali lagi dua puluh sembilan hari.[11]

Kedua: Hari

Pengiraan hari dalam takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan takwim Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, berbeza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam takwim Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru Hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.[12]

Penentuan Awal Bulan Hijriah

Dengan mengambil pedoman yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadith dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:

  • Pertama: Rukyah (melihat anak bulan) semata-mata.
  • Kedua: Hisab Falak semata-mata.
  • Ketiga: Rukyah dan Hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur Rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal).

Perbezaan amalan dan cara di atas adalah disebabkan kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang berkaitan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah.[13]

Kriteria Imkanur Rukyah (إمكان الرؤية)

Berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadith dan pendapat ulama serta kajian astronomi moden, penyelesaian jalan tengah dengan cara rukyah dan hisab adalah menjadi pilihan untuk diamalkan di Malaysia kerana ia lebih hampir kepada kehendak syarak.

Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan Qamariah berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

Kriteria Imkanur Rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan ketetapan:

  1. Ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam.
  2. Jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif iaitu:

  • Umur hilal tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.

Pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersetuju untuk mengubahsuai Kriteria Imkanur Rukyah yang sedia ada. Kriteria Imkanur Rukyah adalah:

Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku pada 29 haribulan hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

  1. Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3°, atau;
  2. Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Kriteria Imkanur Rukyah ini pada mulanya diguna bagi penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain secara kaedah Wujudul Hilal. Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah menetapkan penggunaan kriteria Imkanur Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam pelaksanaan Takwim Hijriah.[14]

Negara-negara yang Puasa Awal dan Lewat pada Tahun 1443H/2022M

Antara negara-negara yang mula berpuasa sehari lebih awal berbanding Malaysia iaitu pada hari Sabtu bersamaan 2 April 2022 sebagai awal Ramadhan 1443H ialah:[15]

Arab Saudi Denmark Kyrgyzstan Syria
Afghanistan Finland Lubnan Taiwan
Albania Georgia Mauritania Tajikistan
Armenia Hungary Belanda Tatarstan
Austria Iceland Palestin Togo
Azerbaijan Iraq Qatar Turkmenistan
 Bahrain  Jepun Romania Emiriah Arab Bersatu
Belgium Mesir Rusia United Kingdom
Bolivia Kazakhstan Amerika Syarikat Uzbekistan
Bulgaria Chechnya Sudan Yaman
Burkina Faso Kuwait Sweden  Algeria
Chechnya Itali  Switzerland  Nigeria

Manakala antara negara yang mula berpuasa pada hari Ahad bersamaan 3 April 2022 sebagai awal Ramadhan 1443H sepertimana Malaysia ialah:[16]

      Bangladesh       Indonesia     Maghribi     Singapura
  Brunei Darussalam       Iran   Oman       India
     Jordan  Pakistan Thailand

 

Pandangan Dato’ Sr Dr Azhari Mohamed, Presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia ( Royal Institution of Surveyors Malaysia – RISM) dan Timbalan YDP Persatuan Falak Syar‘i Malaysia

Saya kemukakan juga pandangan pakar dalam bidang juruukur dan falak Malaysia. Ini bertepatan dengan konsep ‘rujuklah kepada ahlinya’ sepertimana firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”[17]

Ayat ini bermaksud, tanyalah wahai orang Quraisy ulama berkenaan Taurat dan Injil, nescaya mereka mengkhabarkan kamu bahawa semua para Nabi adalah manusia jika sekiranya kamu tidak mengetahui.[18]

Walaupun begitu, kaedah ada menyatakan:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: “Pengajaran diambil daripada keumuman lafaz, bukan daripada kekhususan sebab.[19]

Justeru, ia tidak terhad kepada pakar kajian Taurat dan Injil sahaja sebaliknya pada ilmu-ilmu lain juga. Merujuk kepada ahli ikhtisas adalah sebahagian daripada keperluan untuk memahami sesuatu itu dengan gambaran yang jelas dan tepat.

Tambahan lagi, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, hendaklah merujuk kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kamu tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama.[20]

Dato’ Sr Dr Azhari Mohamed menyebut: Bermula awal bulan Muharram 1443H/2021M, negara-negara MABIMS telah menggunakan kriteria yang baru bagi kebolehnampakan hilal (imkanur rukyah) berkaitan dengan penetapan awal bulan Hijriah, iaitu tinggi bulan tidak kurang 3° dan jarak lengkung tidak kurang 6.4°, dan tidak lagi menggunakan nilai-nilai 2° dan 3° atau umur bulan 8 jam.

Bagi kebolehnampakan anak bulan Syawal tahun ini, ianya agak menarik (sehinggakan telah menimbulkan pelbagai polemik dan perbincangan dalam kalangan masyarakat) disebabkan data falak menunjukkan nilai jarak lengkungnya sangat hampir dengan kriteria minimum.

Berdasarkan kiraan falak untuk 1 Mei 2022, iaitu hari ke-29 Ramadhan (hari melihat anak bulan Syawal), tinggi bulan di Tg Cincin, Langkawi (stesen rujukan paling barat) ialah 5° 15′ dan jarak lengkung adalah 6° 2′.  Ini bermakna bahawa sifat bulan mengikut hisab pada 1 Mei 2022 tidak memenuhi kriteria baru dan mustahil untuk dilihat. Oleh itu, insya Allah Hari Raya Aidil Fitri dijangka jatuh pada hari Selasa 3 Mei 2022.

Walau bagaimanapun, oleh kerana Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam penetapan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah, tarikh sebenar Hari Raya Aidil Fitri 1443H/2022M bagi Malaysia akan diumumkan setelah menerima hasil pelaporan rasmi kenampakan anak bulan dari 29 tapak cerapan anak bulan seluruh Malaysia. Pengumuman tarikh sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1443H/2022M bagi Malaysia akan dibuat melalui  pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.[21]

Pandangan Sahibul Fadhilah Ustaz Khairul Anuar bin Yazid, Ketua Seksyen Kajian Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Penentuan awal bulan Hijri di Malaysia mengguna pakai kaedah rukyah dan hisab. Rukyah (melihat anak bulan) dilaksanakan pada hari ke-29 setiap bulan (fokus 29 Ramadhan). Sekiranya anak bulan (hilal) tidak kelihatan, maka hisab digunakan dengan merujuk kepada syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang telah dipersetujui. Sekiranya syarat dipenuhi maka esoknya menjadi 1 Syawal dan sekiranya tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan 30 hari Ramadhan (puasa).

Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) adalah syarat/kriteria yang dipersetujui bersama dalam menetapkan kenampakan hilal. KIR yang ditetapkan adalah hilal dikira kelihatan sekiranya ia berada pada kedudukan tidak kurang daripada 3° tinggi dari ufuk dan 6.4° elongasi/jarak lengkung bulan-matahari ketika matahari terbenam pada hari ke-29 (hari rukyah/hari cerapan). Syarat ini baru saja diperkenalkan pada Muharram 1443H menggantikan syarat lama iaitu hilal dikira kelihatan sekiranya berada pada kedudukan tidak kurang daripada 2° tinggi dari ufuk dan 3° elongasi/jarak lengkung atau umur hilal 8 jam selepas ijtima’. (Syarat KIR baru tidak lagi menerima umur hilal sebagai kriteria).

Kriteria baru diperkenalkan selepas kajian hilal dalam tempoh yang agak lama dilaksanakan di Malaysia dan juga merujuk kepada data hilal yang diperolehi dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei dan juga dibuat untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan KIR yang lama.

Bagi bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah, pihak yang bertanggungjawab untuk merukyah hilal dan melaporkan kenampakan hilal ialah jawatankuasa yang dipengerusi dan diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri. Mereka ini diberi tanggungjawab untuk merukyah hilal di 29 lokasi cerapan hilal seluruh Malaysia. Sekiranya hilal kelihatan, laporan akan dipanjangkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, begitu juga jika hilal tidak kelihatan. Pihak PPMBRR yang akan memutuskan keputusan kenampakan hilal dan diumumkan kepada masyarakat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kesimpulan

Dalam persoalan di atas, saya rumuskan dan tekankan kepada beberapa noktah utama:

  • Menjadi pensyariatan untuk melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal berdasarkan nas yang sahih seperti yang dibincangkan di atas.
  • Ijtihad dengan mengguna pakai hisab dan imkanur rukyah boleh diterima pakai berdasarkan istinbat mengikut sebahagian pendapat ulama’.
  • Kuasa menentukan anak bulan terletak kepada pemerintah (Ketua Negara iaitu jika di Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi sesebuah Negeri). Hal ini selaras dengan peranan dan tanggungjawab pemerintah. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah.” [22]
  • Apabila berlaku khilaf, maka hakim atau pemerintahlah yang akan memutuskannya. Hal ini selaras dengan kaedah:

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya:Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf”

Ini bermaksud, ketetapan hakim dan seumpamanya dalam masalah-masalah yang bersifat amali, memutuskan sebarang bentuk perselisihan.

Al-Qarafi menyebutkan dalam al-Furuq bahawa hukum pemerintah dalam masalah ijtihad mengangkat perselisihan. Orang yang berselisih kembali daripada mazhabnya kepada mazhab pemerintah, dan fatwanya berubah setelah diputuskan oleh hakim berkenaan apa yang diperselisihkan sebagaimana pendapat yang sahih daripada para mazhab ulama. [23]

  • Mentaati Ulul Amri adalah satu kewajipan sepertimana disebut dalam nas Ilahi:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman kepada ajaran yang dibawa Muhammad, taatilah Allah, rasul-rasul- Nya dan penguasa umat Islam yang mengurus urusan kalian dengan menegakkan kebenaran, keadilan dan melaksanakan syariat.”[24]

Justeru, dalam isu di atas, keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang diumumkan adalah wajib dipatuhi dan ditaati. Sama ada pada tahun ini puasa hanya 29 hari, maka jadilah Hari Raya pada hari Isnin, atau jika 30 hari, maka Hari Raya jatuh pada hari Selasa. Keputusan tersebut bukan semata-mata perlu dihormati, tetapi wajib ditaati. 

Penutup

Perbahasan ilmiah adalah amat menarik dan baik apabila dirujuk kepada pakar-pakar yang berautoriti. Pepatah ada menyebut:

لِكُلِّ فَنٍّ رِجَالٌ

Maksudnya: “Setiap bidang itu ada tokoh-tokohnya.” [25]

Justeru, merujuk kepada tokoh-tokoh dan pakarnya dalam bidang tersebut adalah perintah Tuhan seperti yang saya ulaskan di atas. Termasuk juga hal anak bulan dan kaitan dengan ilmu Falak ini.

Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.[26]

Apatah lagi, dalam isu agama yang berkaitan dengan ibadat, makanya kesatuan dan perpaduan amatlah dituntut agar kesatuan seperti ini menzahirkan ukhuwwah sesama umat Islam dan masyarakat. Semoga Malaysia sentiasa dinaungi rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT yang layak dinyatakan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Saya tertarik dengan kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi, katanya: Usaha ke arah kesatuan orang-orang Islam di dalam puasa dan Hari Raya serta keseluruhan syiar yang lain adalah dituntut. Seandainya tidak mampu mencapai kepada kesatuan yang sempurna dalam kalangan sesama negara di seluruh dunia, sekurang-kurangnya hendaklah memelihara kesatuan juz’ie secara khusus sesama orang-orang Islam di dalam sesebuah negara. Sekiranya pemerintah dalam sesebuah negara telah memutuskan satu penetapan hilal bagi berpuasa mahupun Hari Raya, maka wajib bagi orang Islam di dalam negara tersebut untuk mengikutinya dan mentaatinya kerana ia merupakan ketaatan dalam perkara yang makruf. Sekiranya terdapatnya perselisihan dari sudut penetapan hilal di negara-negara lain, maka keputusan pemerintah di negara tersebut didahulukan berdasarkan, “setiap negara itu ada rukyahnya yang tersendiri”.[27]

Marilah sama-sama kita mengambil semangat akhir Ramadhan dengan melaksanakan segala ketaatan dan ibadah dalam mukhayyam tarbawi Ramadhan. Moga ia  akan menatijahkan ketakwaan kepada kita semua. Saya akhiri dengan doa dan ucapan:

‎تَقَبَّلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ ، كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 April 2022 bersamaan 25 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 189

[2] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 121.

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/522

[4] Lihat Tafsir al-Tabari, 3/553.

[5] Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

[6] Riwayat al-Bukhari (1906) dan Muslim (1080)

[7] Lihat Fath al-Bari, 4/121

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/186

[9] Lihat ‘Ianah al-Talibin, 2/243

[10] Lihat https://muftiwp.gov.my/en/falak/bayan-al-falak/2573-bayan-al-falak-siri-ke-3-kepentingan-takwim-hijri-dalam-penentuan-hukum-hakam-dan-pentadbiran-hal-ehwal-islam-di-malaysia. Diakses pada 27 April 2022.

[11] Riwayat al-Bukhari (5302)

[12] Op. Cit.

[13] Ibid

[14] Ibid

[15] Lihat https://www.hmetro.com.my/global/asia/2022/04/827759/beberapa-negara-mula-berpuasa-hari-ini. Diakses pada 27 April 2022.

[16] Lihat https://jurufalak.com/2022/04/03/menyingkap-perbezaan-tarikh-awal-ramadan-1443h/; https://international.sindonews.com/read/731743/40/negara-negara-ini-mulai-puasa-ramadhan-pada-minggu-3-april-2022-1648919040?showpage=all. Diakses pada 27 April 2022.

[17] Surah al-Nahl: 43

[18] Lihat Safwah al-Tafasir, 2/118

[19] Lihat al-Mahsul, 3/125

[20] Lihat Fatwa antara Ketelitian dan Kecerobohan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 45

[21] Lihat  https://www.facebook.com/FalakMalaysia/posts/5010900282339956, Diakses pada 27 April 2022

[22] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/604

[23] Lihat Al-Furuq, 2/103

[24] Surah al-Nisa’: 59

[25] Lihat Tarikh Ibn Khaldun, 1/551

[26] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/604

[27] Lihat https://www.alqaradawi.net/content/الحسابالفلكيوإثباتأوائلالشهور. Diakses pada 27 April 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published.