#1056 Makna ‘Jalan Keluar’ dalam ayat 2 Surah al-Talaq

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah yang dimaksudkan sebagai ‘jalan keluar’ bagi sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam ayat 2 daripada surah al-Talaq? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”[1]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.[2]

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia.[3]

Makna taqwa

Ibn Manzur menjelaskan bahawa, dari sudut bahasa, taqwa bermaksud menjaga diri atau berhati-hati. Allah SWT berfirman:

هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ ‎

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan Dialah yang berhak memberi keampunan.”[4]

Maksud ayat di atas adalah hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk ditakuti azab seksa-Nya dan hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk diperlakukan dengan apa yang mendatangkan keampunan-Nya.[5]

Menurut al-Raghib al-Asfahani, taqwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.[6]

Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa taqwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Dalam erti kata lain, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT.[7]

Al-Jurjani pula menyebut bahawa taqwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseorang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan suatu perbuatan atau meninggalkannya.[8]

Dasar taqwa ialah seorang hamba meletakkan pelindung antara dirinya dengan sesuatu yang dia takutkan dan khuatirkan. Jadi, taqwa seseorang kepada Rabb-nya ialah dia meletakkan antara dirinya dan apa yang dia takutkan daripada Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya daripada semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut adalah dengan melakukan segala ketaatan dan menjauhi segala larangan.[9]

Allah SWT berfirman:

اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya.”[10]

Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa hendaklah Allah Azza wa Jalla itu ditaati dan tidak dilakukan maksiat kepada-Nya, sentiasa diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak diingkari.[11]

Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim juga ada menyebutkan, hakikat taqwa adalah melakukan ketaatan kepada Allah SWT dilandasi keimanan dan mengharapkan pahala-Nya kerana ada perintah dan larangan sehingga seseorang melakukan perintah Allah SWT dengan mengimani Zat yang memerintah dan membenarkan janji-Nya, dan dia meninggalkan apa yang Allah larang baginya dengan mengimani Zat yang melarangnya dan takut terhadap ancaman-Nya.

Sepertimana disebut oleh Thalq bin Habib bahawa apabila berlaku fitnah, padamkanlah fitnah itu dengan takwa. Maka orang ramai bertanya: “Apakah taqwa itu?” Beliau menjawab, taqwa itu adalah engkau melakukan ketaatan kepada Allah berdasarkan cahaya — yakni dengan keimanan dan ilmu yang benar — daripada Allah, kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, dan engkau meninggalkan segala bentuk kemaksiatan kepada-Nya berdasarkan cahaya daripada-Nya, kerana takut terhadap azab seksa-Nya.

Menurut Ibn al-Qayyim lagi, ini adalah sebaik-baik definisi bagi kalimat taqwa. Hal ini kerana seluruh amal mesti memiliki permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak dikatakan sebagai ketaatan dan qurbah — yakni amalan yang mendekatkan diri kepada Allah — sehinggalah ia berdasarkan dan bersumberkan daripada keimanan. Dengan demikian, yang menjadi pendorong ia melakukan suatu amalan adalah keimanan semata-mata, bukan adat (kebiasaan), hawa nafsu, mengharapkan pujian dan kedudukan dan selainnya. Amalan tersebut hendaklah diawali dengan keimanan, manakala tujuan akhirnya adalah mengharapkan pahala daripada Allah dan keredhaan-Nya. Inilah yang disebut dengan al-ihtisab — yakni mengharapkan pahala.[12]

Menurut Ibn Kathir pula, orang yang bertaqwa ialah orang yang takut akan kesyirikan dan perkara yang diharamkan Allah SWT, mengerjakan semua perkara yang difardhukan serta berhati-hati dengan hukuman daripada-Nya jika meninggalkan petunjuk-Nya, di samping mengharapkan rahmat-Nya dengan membenarkan segala perkara yang datang daripada-Nya.[13]

Tafsiran ulama terhadap kalimat “مَخْرَجًا

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami datangkan terlebih dahulu ayatnya iaitu firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.[14]

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menyebutkan riwayat daripada Masruq bahawa ia bermaksud sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, maka baginya jalan keluar iaitu jalan yang diketahui Allah SWT, jika Dia menghendaki maka boleh untuk diberikan atau ditegah. Manakala ayat selepasnya pula iaitu ‘Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya’ bermaksud dari jalan yang tidak diketahuinya.

Selain itu, dinukilkan juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, maka baginya jalan keluar yakni selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat. Manakala Rabi‘ pula berpendapat bahawa maknanya ialah jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia.[15]

Selain itu, Qatadah pula mentafsirkan ‘jalan keluar’ dalam ayat di atas sebagai jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Manakala makna ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” pula ialah memberinya rezeki daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan.[16]

Di samping itu, al-Qurtubi juga ada menukilkan pendapat para ulama berkenaan makna ayat di atas. Di antaranya, menurut al-Kalbi, maknanya ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah dengan penuh kesabaran ketika ditimpa musibah, maka Allah SWT akan memberikannya jalan keluar daripada api neraka menuju ke syurga. Manakala al-Hasan pula berpendapat iaitu jalan keluar daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sedangkan Abu al-‘Aliyah berpendapat, jalan keluar daripada segala kesusahan dan al-Rabi‘ pula berpendapat, maknanya ialah Allah SWT akan menjadikan baginya jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia.

Selain itu, al-Husain bin al-Fadhl juga ada menyebutkan bahawa makna ayat di atas ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan menunaikan segala kewajipan fardhu, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar daripada segala balasan seksa. Begitu juga diberikan rezeki kepadanya yakni balasan pahala daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dalam erti kata lain, Allah SWT memberkati setiap apa yang diberikan dan dikurniakan kepadanya.

Selain daripada itu, menurut Sahl bin Abdullah, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam mengikuti sunnah, maka Dia akan memberinya jalan keluar daripada hukuman ahli bidaah dan mengurniakan kepadanya syurga dari jalan yang tidak disangka-sangka. Namun, terdapat ulama yang berpendapat bahawa maknanya ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah dalam rezeki dengan memutuskan pengharapannya kepada makhluk, maka Allah SWT akan memberinya jalan keluar dengan kecukupan.

Di samping itu, Umar bin Uthman al-Sadafi menyebutkan, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, lalu dia berhenti pada batasan-Nya dan menjauhi maksiat kepada-Nya, maka Dia akan memberinya jalan keluar daripada perkara yang haram kepada perkara yang halal, daripada kesempitan kepada keluasan, daripada neraka kepada syurga dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Inilah keberkatan dalam rezeki sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ‘Uyaynah. Tambahan lagi, Abu Sa‘id al-Khudri juga ada menyebutkan bahawa maknanya ialah sesiapa yang berlepas diri daripada daya dan upayanya dengan menyerahkannya kepada Allah SWT, maka Dia akan memberinya jalan keluar daripada apa yang dibebankan ke atasnya melalui pertolongan dan bantuan kepadanya.[17]

Seterusnya, jelaslah bahawa terdapat hubung kait yang rapat di antara ketaqwaan kepada Allah SWT dengan ‘jalan keluar’ berupa rezeki, pertolongan, bantuan, petunjuk-Nya dan seumpamanya yang termasuk dalam kurniaan-Nya sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama.   Perkara ini juga dalam dilihat melalui firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:Dan (Tuhan berfirman lagi): ‘Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.’”[18]

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat, “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” beliau menyebutkan, maknanya ialah hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan segala larangan. Manakala ayat seterusnya pula iaitu “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) yakni hujan dari langit dan tanaman dari bumi.[19] Selain itu al-Baidhawi ada menyebutkan ayat, “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Selain itu, dikatakan juga maknanya ialah hujan dan tanam-tanaman.[20]

Selain daripada itu, al-Zamakhsyari juga ada menafsirkan ayat, “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” dengan maksudnya bahawa Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Begitu juga, turut dikatakan maknanya ialah hujan dan tanam-tanaman.[21] Manakala al-Suyuti pula berpendapat, ayat tersebut bermaksud langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya.[22]

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri menyebutkan, perkataan “بَرَكَاتٍ” dalam ayat di atas merupakan kata jamak kepada perkataan “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan, ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit. Manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, ‘afiyah pula daripada keberkatan bumi.[23] Dr. Hamka ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertaqwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Hal ini kerana iman dan taqwa itu menimbulkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.

Berkat itu ada dua jenis, iaitu hakiki dan maknawi. Berkat yang hakiki ialah seperti hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain. Manakala berkat yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk daripada Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas.[24]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa terdapat banyak tafsiran ulama terhadap makna ‘jalan keluar’ yang terdapat dalam ayat berkenaan. Sekalipun begitu, tafsiran-tafsiran tersebut adalah saling berdekatan dan makna-maknanya tidak jauh antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, ‘jalan keluar’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merupakan antara bentuk kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa, yang berupa rezeki, pertolongan, bantuan, petunjuk dan seumpamanya.

Justeru, secara ringkasnya, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, maka akan diberikan kepadanya ‘jalan keluar’ yakni daripada perkara yang haram kepada perkara yang halal, daripada kesempitan kepada keluasan, daripada neraka kepada syurga, memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, diberikan kecukupan, dipermudahkan segala urusan, dijauhi daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi hamba Allah yang termasuk dalam kalangan mereka yang bertaqwa kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Julai 2022 bersamaan 6 Dzulhijjah 1443H

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

[3] Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581.

[4] Surah al-Muddatthir: 56

[5] Lihat Lisan al-‘Arab, 15/401.

[6] Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 531.

[7] Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 322.

[8] Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 68.

[9] Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/398.

[10] Surah Ali ‘Imran: 102

[11] Lihat al-Mu‘jam al-Kabir oleh al-Tabarani, no. 8502; Jami‘ al-Bayan, 3/375.

[12] Lihat al-Risalah al-Tabukiyyah, hlm. 15.

[13] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/163.

[14] Surah al-Talaq: 2-3

[15] Lihat Tafsir al-Tabari, 23/446.

[16] Lihat Tafsir al-Tabari, 23/448.

[17] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/159-160.

[18] Surah al-A‘raf: 96

[19] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420.

[20] Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294.

[21] Lihat al-Kassyaf, 2/260.

[22] Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274.

[23] Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486.

[24] Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *