#1524: Hukum Haji Wanita Secara Bersendirian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajib haji bagi seorang wanita yang menunaikan haji secara bersendirian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya seorang wanita adalah diwajibkan untuk menunaikan fardhu haji sekiranya dia berkemampuan. Hal ini berdasarkan umumnya firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat halangan-halangan yang membawa kepada keadaan tidak berkemampuan terhadap seseorang, maka gugurlah kewajipan tersebut ke atasnya.

 

Haji Wanita Secara Bersendirian

Berdasarkan persoalan di atas, terdapat 2 pandangan daripada ulama’ empat mazhab.

  • Wanita Tidak Boleh Melakukan Haji Tanpa Mahram: Hukum ini terpakai bagi wanita sama ada untuk menunaikan haji wajib atau haji sunat. Ini merupakan pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali.

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma katanya, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تُسافِرِ المَرْأةُ إلّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ، ولاَ يَدْخُلُ عَلَيْها رَجُلٌ إلّا ومَعَها مَحْرَمٌ، فَقالَ رَجُلٌ: يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي أُرِيدُ أنْ أخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذا وكَذا، وامْرَأتِي تُرِيدُ الحَجَّ، فَقالَ: اخْرُجْ مَعَها

Maksudnya: “Janganlah mana-mana wanita bermusafir kecuali bersama mahramnya, dan janganlah seorang lelaki masuk menemuinya kecuali bersamanya (wanita tersebut) mahramnya. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ingin keluar bersama tentera (peperangan) sekian-sekian, dan isteri aku pula ingin menunaikan haji. Maka Rasulullah SAW menjawab: Keluarlah menunaikan haji bersamanya.”

Riwayat al-Bukhari (1862)

Dan diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَحُجَّ امْرَأَةٌ إلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ

Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita melakukan haji kecuali bersamanya mahram.”

Riwayat al-Daraqutni (2442). Al-Albani menyebutkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (3065)

  • Wanita Boleh Melakukan Haji Tanpa Mahram: Dengan syarat bersamanya wanita lain yang dipercayai, atau diyakini selamat (tidak terancam keselamatannya). Ini merupakan pandangan ulama’ mazhab Maliki, Syafi‘i, dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad. Ini juga yang dipegang oleh mazhab Zahiri.

Dalil mereka adalah seperti berikut:

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Imam al-Syafi‘ie berkata, jika sekiranya apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa kemampuan bermaksud bekalan dan pengangkutan, dan seorang wanita mempunyai perkara tersebut, dan bersamanya wanita lain yang dipercayai dan mereka melalui laluan yang berpenghuni serta aman, maka wanita tersebut termasuk dalam mereka yang diwajibkan haji. Sekalipun suaminya atau mahramnya tidak bersamanya, kerana Rasulullah SAW tidak menyebutkan pengecualian tersebut bagi mereka yang diwajibkan haji melainkan adanya bekalan dan pengangkutan. (Lihat al-Umm, 2/117)

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami berdasarkan mazhab Syafi‘ie bahawa tidak wajib bagi wanita tersebut untuk menunaikan haji dan dia disyaratkan pergi bersama-sama dengan suami atau mahramnya. Akan tetapi harus baginya pergi dengan seorang perempuan yang dipercayai atau seorang diri sekiranya dia yakin terjamin keselamatan dirinya.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ

Maksudnya: “Tidak dihalalkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melakukan perjalanan jauh (safar) sejauh perjalanan sehari semalam tanpa bersamanya mahram”

Riwayat al-Bukhari (1088)

Disebutkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa para ulama’ menambahkan beberapa syarat bagi wanita iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 2/126)

Al-Bujairimi ada menyebutkan bahawa jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala Minhaj al-Tullab, 6/35)

Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya. Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/334; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104)

 

Kesimpulan

Kami katakan, diharuskan bagi wanita yang berseorangan untuk melakukan haji wajib jika memenuhi salah satu syarat:

  1. Ditemani wanita lain yang dipercayai, sekurang-kurangnya dua orang.
  2. Diyakini selamat jika bermusafir seorang diri.

Manakala bagi haji sunat, wanita perlu mempunyai mahram kerana hukum asaal kewajipan telah pun gugur daripadanya, maka tiada keperluan mendesak yang membolehkan dia untuk menunaikan haji tersebut tanpa mahram atau suaminya.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *