#3487: Menggunakan AI dalam Menghasilkan Gambar/ Kartun

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum menggunakan AI generatif dalam penghasilan kreatif (gambar, video, audio, media), seperti DALL-E, Mid Journey, Stable Diffusion dsb. – AI generatif boleh menghasilkan gambar makhluk hidup atau tidak bernyawa. Apakah hukum menghasilkan gambar menggunakan teknologi seperti ini? Adakah sama seperti hukum melukis gambar, atau hukum mengambil foto? Apakah hukum menggunakan gambar-gambar yang dihasilkan? Ada yang gunakan untuk tujuan kajian teknologi, pengajaran dan pembelajaran, dan ada juga untuk perniagaan. Adakah hukum yang sama terguna pakai untuk semua situasi, atau ada penjelasan dan hukum berbeza mengikut konteks berbeza? – Jika menggunakan video atau audio yang menyerupai makhluk hidup, apakah situasi hukum dan keberkatan didalam konteks mencari rezeki, seperti buat iklan, buat konten, mengambil upah dari pihak klien untuk tujuan yang diinginkan klien, dsb. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Ai (Artificial Intelligence)

AI merupakan singkatan kepada Artificial Intelligence atau dalam bahasa Melayu dipanggil Kecerdasan Buatan/Kepintaran Buatan. Ia merupakan kecerdasan yang dimiliki dan ditunjukkan suatu sistem beraturcara atau mesin jentera yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip yang dijana oleh pemikiran manusia. AI telah difahami sebagai satu bidang ilmu komputer di pertengahan tahun 1950-an.

Istilah AI telah diterapkan dalam program dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas yang lebih kompleks daripada program komputer biasa, walaupun masih jauh dapat menandingi pemikiran manusia. Kemampuan AI kini digunakan secara meluas di bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, dan sistem diagnostik.

Justeru, kami memahami AI sebagai penggunaan teknologi tinggi dalam bentuk machine learning dan data mining yang sentiasa berkembang dalam urusan kehidupan dan kehendak manusia, ke arah yang lebih mudah, pantas, dan berkesan.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#3173: Peranan Manusia dalam Menghadapi Artificial Intelligence[1]

#2562: Guna Bantuan AI dalam Menyiapkan Tugasan (Assignment)[2]

#1474: Islam dan ‘Kecerdasan Buatan’[3]

#2084: Melukis Gambar Manusia[4]

#2077: Melukis Pokok Bodhi Bagi Tujuan Perniagaan[5]

#2007: Melukis Gambar yang Tidak Menutup Aurat di Buku Teks[6]

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum asal bagi menggunakan Ai ini adalah harus dan tidak menjadi masalah untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian. Namun, sekiranya ia digunakan untuk tujuan yang haram seperti mencuri, menipu, melukis lukisan yang diagungkan/disembah, membuat lukisan/ web-web lucah, perniagaan haram dan seumpamanya, maka hukumnya menjadi haram dan berdosa. Sebagaimana kaedah menyebut:

 إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Adapun, membuat lukisan atau iklan dengan menggunakan Ai bagi tujuan yang baik seperti pelajaran, perniagaan, dakwah dan seumpamanya, maka hukumnya kembali kepada harus selagi mana tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat dan seumpamanya. . Kaedah fiqh menyebut:

الْحَاجَةُ تٌنزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

Akhir kalam, kami mengharapkan semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman yang baik kepada kita dalam berinteraksi dengan AI mengikut neraca Syariah, dan dalam mencari mardhatillah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/3173-peranan-manusia-dalam-menghadapi-artificial-intelligence/

[2] https://maktabahalbakri.com/2562-guna-bantuan-ai-dalam-menyiapkan-tugasan-assignment/

[3] https://maktabahalbakri.com/1474-islam-dan-kecerdasan-buatan/

[4] https://maktabahalbakri.com/2084-melukis-gambar-manusia/

[5] https://maktabahalbakri.com/2077-melukis-pokok-bodhi-bagi-tujuan-perniagaan/

[6] https://maktabahalbakri.com/2007-melukis-gambar-yang-tidak-menutup-aurat-di-buku-teks/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *