#5265: Ijma’ dalam Berwakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat ijma’ ulama’ berkaitan dengan isu berwakaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.

(Surah al-A’la : 16)

Firman Allah SWT lagi:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ‎

Maksudnya: Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

(Surah al-A’la : 17)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa para ulama telah berijma’ berkenaan dengan pensyariatan wakaf. Kami nukilkan di sini beberapa ijma’ yang telah dinukilkan daripada kitab Mausu’ah al-Ijma’, antaranya:

  • Perlaksanaan wakaf adalah harus dengan ijma’ sahabat dan ahli ilmu.
  • Jika sekiranya wakaf dimaklumi pada awal dan kesudahannya tanpa terputus, maka ia wakaf yang sahih tanpa khilaf.
  • Jika seorang berkata: “Aku wakafkan sesuatu ini kepada seseorang yang tertentu selama setahun kemudian kepada fakir miskin,” maka sah wakafnya dengan sepakat ulama.
  • Mewakafkan tanah untuk membina masjid adalah harus dengan ijma’ umat Islam.
  • Para ulama bersepakat bahawa harus mewakafkan tanah untuk dijadikan kubur.
  • Wakaf bagi minuman seperti telaga adalah sah dengan ijma’ umat Islam.
  • Wakaf untuk rumah api (tempat ibadat bukan Islam), gereja, biara, kitab Taurat, Injil, permaidani untuk gereja dan biara tidak harus bagi umat Islam.

Justeru, berdasarkan ijma’ yang dinyatakan di atas, jelas bahawa amalan wakaf ini telah disyariatkan dalam Islam dan ia merupakan salah satu amalan yang sangat digalakkan oleh Syarak.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *