#5266: Kisah Beberapa Sahabat Berwakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, beberapa sahabat yang telah berwakaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Maksudnya:Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.”

(Surah al-A’la : 16)

Firman Allah SWT lagi:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ‎

Maksudnya: Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

(Surah al-A’la : 17)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini beberapa kisah Sahabat dalam berwakaf, antaranya:

  • Abu Bakar al-Siddiq menginfaqkan semua harta, darah, kerja keras dan waktunya dalam kerja-kerja Islam, maka Allah SWT membalasnya dengan menjadikan sebahagian sahabat yang paling mulia dan paling agung setelah para Nabi dan Rasulullah SAW. Abu Bakar RA juga mewakafkan tanah di Mekah untuk anak keturunannya yang datang ke sana.
  • Umar al-Khattab RA telah mewakafkan tanah di Khaibar iaitu hasilnya.
  • Abu Talhah RA mewakafkan kebun kesayangannya iaitu ‘Bairuha’.
  • Uthman bin Affan RA mewakafkan hartanya di Khaibar. Begitu juga, beliau menggali perigi Ruumah untuk kepentingan kaum Muslimin, maka Allah SWT akan membalasnya dengan memberi minum mata air Salsabil di syurga kelak. Beliau juga membekalkan kepada para pejuang Islam ketika peperangan Tabuk. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Uthman tidak akan menderita kerugian untuk selamanya setelah beliau melakukan perbuatannya pada hari ini.” Sebenarnya Saidina Uthman banyak berwakaf. Sehingga sekarang, masih lagi dilaksanakan wakaf Saidina Uthman. Antaranya di kota suci Madinah Munawwarah, terdapatnya hotel wakaf Saidina Uthman R.A.
  • Sedangkan ‘Abd al-Rahman bin Auf pula, beliau telah menginfaqkan sebanyak tujuh ratus ekor unta dalam satu masa sahaja yang dilengkapi dengan pembekalan, kelengkapan dan makanan untuk berjihad di jalan Allah SWT dengan penuh keikhlasan.
  • Ali bin Abi Talib RA mewakafkan tanahnya yang subur.
  • Muaz bin Jabal RA pernah mewakafkan rumahnya yang terkenal dengan panggilan Dar al-Ansar.
  • Begitulah juga yang dilaksanakan oleh Anas bin Malik, Abdullah bin Umar, Zubair bin al-Awwam, Aisyah R.Anha dan ramai lagi sahabat Rasulullah SAW.

Mereka semua menjunjung firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.

 (Surah ali-Imran: 92)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada yang sentiasa ingin berwakaf atau berinfaq dan juga berzakat dengan:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *