#1659: Definisi Idhtiba‘ (اضْطِبَاعٌ) dan Hukumnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan Idhtiba‘ (اضْطِبَاعٌ) serta hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan di sini pengertian Idhtiba‘ (اضْطِبَاعٌ). Imam al-Nawawi menyebutkan, idhtiba‘ ialah seorang lelaki menjadikan bahagian tengah kainnya di bawah bahu kanannya di sisi ketiaknya, kemudian melemparkan dua hujung kain tersebut ke sebelah bahu kirinya. Maka, jadilah bahu kanannya terbuka. Perkataan idhtiba‘ diambil daripada dhab’ (الضَّبع) — dengan dimatikan huruf ba’ — iaitu bahagian atas lengan. Dikatakan juga pertengahan bahagian atas lengan, ada pendapat mengatakan antara ketiak dan separuh bahagian atas lengan. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr Zulkifli al-Bakri, hlm. 154).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa maksud Idhtiba‘ dari sudut syarak ialah seseorang lelaki yang berihram dengan meletakkan kain selendang yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanannya terbuka. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 5/109)

Kemudian berkenaan hukumnya pula, Imam al-Nawawi menyatakan, Idhtiba‘ adalah disunatkan hingga akhir tawaf. Ada pendapat menyatakan, ia berterusan selepas tawaf iaitu ketika mendirikan solat sunat tawaf, dan juga selepasnya sehinggalah selesai daripada sa‘ie. Pendapat yang paling sahih adalah apabila selesai daripada melakukan tawaf, maka tidak lagi idhtiba‘, kemudian dirikanlah solat sunat tawaf. Apabila selesai  mendirikan solat, ulangi idhtiba‘ dan melakukan sa‘ie dalam keadaan beridhtiba‘.

Sesungguhnya idhtiba‘ hanya pada tawaf yang ada berlari-lari anak (ramal). Manakala tawaf yang tidak terdapat dalamnya berlari-lari anak, tidak ada padanya idhtiba‘. Selain itu, disunatkan idhtiba‘ pada semua pusingan tawaf yang tujuh. Kanak-kanak adalah sebagaimana orang yang baligh pada hukum sunat idhtiba‘ mengikut mazhab yang masyhur. Perempuan pula tidak beridhtiba‘ kerana tempat idhtiba‘ itu termasuk dalam aurat. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr Zulkifli al-Bakri, hlm. 174).

Terdapat hadith daripada Ibn Ya‘la, daripada bapanya bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ بِالبَيْتِ مُضْطَبِعًا وَعَلَيْهِ بُرْدٌ

Maksudnya: “Nabi SAW melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan beridhtiba‘ dan Baginda memakai Burd (sejenis pakaian).”

Riwayat al-Tirmizi (859) dan beliau menyebutkan, hadith ini adalah hadith al-Thauri daripada Ibn Juraij, dan kami tidak mengetahuinya melainkan daripada hadithnya. Hadith ini adalah hasan sahih.

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menukilkan daripada al-Qari yang menyatakan, idhtiba‘ dan ramal (berlari-lari anak) adalah disunatkan pada setiap tawaf yang selepasnya dilakukan sa‘ie. Selain itu, idhtiba‘ juga adalah disunatkan pada setiap pusingan berbeza halnya dengan ramal. Selain daripada itu, idhtiba‘ tidak disunatkan pada selain tawaf, dan apa yang dilakukan oleh orang awam iaitu dengan beridhtiba‘ ketika bermulanya ihram semasa haji atau umrah adalah sesuatu yang tiada asal baginya, bahkan dimakruhkan semasa solat.

Kemudian al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa idhtiba‘ adalah disunatkan dalam tawaf. Al-Hafiz menyebutkan, ia adalah digalakkan (sunat) di sisi jumhur ulama kecuali Imam Malik. (Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, 3/506).

Begitu juga hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ وَأَصْحَابَهُ اعْتَمَرُوا مِنَ الْجِعْرَانَةِ فَرَمَلُوا بِالْبَيْتِ وَجَعَلُوا أَرْدِيَتَهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ قَدْ قَذَفُوهَا عَلَى عَوَاتِقِهِمُ الْيُسْرَى

Maksudnya: “Rasulullah SAW dan para sahabatnya melakukan umrah dari Ji‘ranah, maka mereka melakukan ramal (berlari-lari anak) mengelilingi al-Bait (Kaabah) dan memasukkan pakaian ihram mereka di bawah ketiak mereka (sebelah kanan), dan melemparkan hujungnya (iaitu yang datang dari bawah ketiak kanan) ke atas bahu kiri mereka.

Riwayat Abu Daud (1884)

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad menyebutkan, hadith ini mengandungi penjelasan lanjut berkenaan idhtiba‘ dan tafsirannya. Hal ini kerana dalam hadith sebelumnya, dinyatakan dengan lafaz, “مضطبعاً” (dalam keadaan beridhtiba‘), dan di sini ditafsirkan pula maksud idhtiba‘ iaitu meletakkan rida’ (kain selendang ihram) yang dipakai di bawah ketiaknya yang kanan dan kemudiannya melemparkan hujung kain itu ke atas bahunya sebelah kiri. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 221/19).

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, jelaslah bahawa idhtiba’ ialah perbuatan mendedahkan bahu sebelah kanan, dengan menjadikan kain selendang ihram yang dipakai dimasukkan di bawah ketiak sebelah kanan, lalu dibawa hujungnya itu ke atas bahu sebelah kiri.

Selain itu, idhtiba‘ ini juga disunatkan dan dituntut kepada semua jemaah haji lelaki kerana, perbuatan tersebut adalah apa yang mengikut tuntutan yang dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *